Dari Berita Harian Online.
KATA orang, mak dan bapa mentua itu ibarat ibu dan ayah kandung. Layanan kita pada mereka seharusnya sama seperti layanan dan hormat yang diberikan pada ibu dan bapa sendiri. Begitu juga dalam menerima layanan mereka terhadap kita, tidak kira kasih sayang, teguran mahupun kemarahan.
Tetapi, berapa ramai yang dapat menerima hakikat ini dan menerima ibu bapa mentua secara sepatutnya? Kalau ibu dan bapa mentua baik, waaaahhh…kitalah menantu kesayangan, kononnya. Tapi, bila kena tegur, terus tak mahu bertegur-sapa, menjenguk kerana terpaksa, layanan ala-ala (ala kadar) saja.
Mengapa? Bukan mudah menerima kehadiran `orang asing’ dalam hidup secara tiba-tiba, tambah pula apabila sudah dewasa, sesudah diri menjadi buluh. Ini perkara biasa dalam apa juga jenis perhubungan. Persahabatan dengan rakan pun, kita biasanya akan terus bersahabat baik dengan rakan yang kita kenali sejak kecil.
















