Sehening Kalbu

Kelana Berlandaskan Hati, Percaya Mengikat Diri…

PASTIKAN SISTEM PENDIDIKAN TINGGI TIDAK TERCICIR

Posted by anakkawi on December 5, 2007

LIDAH PENGARANG
LAPORAN Bank Dunia mengenai sistem pendidikan tinggi di Malaysia sememangnya memberi gambaran kurang enak tentang pencapaian kita dalam bidang tersebut.

Ia juga menimbulkan tandatanya, benarkan Malaysia terlalu jauh ketinggalan dalam bidang pendidikan tinggi sehingga dikategorikan sebagai berada pada tahap kritikal.

Jika benar, mengapa ia berlaku sedemikian dan adakah sistem pendidikan tinggi yang terpakai selama ini langsung tidak menepati empat ciri penting yang disenaraikan oleh Bank Dunia itu?

Melihat sepintas lalu mungkin laporan itu ada kewajarannya. Ini terutamanya apabila hasil penarafan Times Higher Education Supplement (THES) baru-baru ini menunjukkan tiada satu universiti tempatan tersenarai di kalangan 200 universiti terbaik dunia.

Hakikatnya, gesaan supaya sistem pendidikan tinggi di negara ini mempunyai fokus dan strategi pembaharuan telah lama disedari oleh kerajaan.

Sebab itu kita memperkenalkan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara tidak lama dulu.

Isi kandungannya sarat dengan pelbagai inisiatif kerajaan untuk mencetuskan transformasi pendidikan supaya ia tidak beku di takuk lama.

Malah pelan tersebut diakui oleh banyak pihak sebagai lambang keyakinan kerajaan terhadap pengurusan universiti dalam melonjakkan pencapaian ke tahap yang lebih cemerlang.

Sememangnya diakui pelbagai perkembangan yang sedang berlaku pada abad ke-21 ini menuntut kepada orientasi, pendekatan, kaedah dan kurikulum baru supaya produk yang dihasilkan menjadi relevan kepada keperluan semasa.

Malah penekanan terhadap lima tonggak institusi iaitu tadbir urus, kepimpinan, akademik, pengajaran dan pembelajaran serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) menepati saranan Bank Dunia itu.

Ia memberi petunjuk bahawa kita tidak ketinggalan sebaliknya pelbagai persediaan telah dibuat dan sedang dilaksanakan untuk menangani pelbagai kelemahan yang wujud sebelum ini.

Begitu juga dengan penubuhan universiti apex yang amat jelas bertujuan melahirkan para penyelidik bertaraf Nobel Laureate sekali gus meningkatkan daya inovasi dan kreativiti di universiti tempatan.

Ia juga memastikan sistem pendidikan tinggi tempatan dapat bersaing dengan apa yang ditawarkan oleh negara-negara jiran supaya kita boleh duduk dan berdiri pada ketinggian yang sama.

Namun pelan yang komprehensif itu akan menjadi sia-sia jika setiap universiti tempatan tidak bersungguh-sungguh menjadikan reputasi akademiknya sebagai strategi utama dalam inisiatif penambahbaikan institusi masing-masing. Setiap universiti tempatan mesti bertekad untuk mempertingkatkan kecemerlangan masing-masing selari dengan matlamat pelan yang dirangka oleh kerajaan.

Para peneraju universiti tempatan perlu melipat- gandakan usaha untuk menambah baik prestasi mereka supaya tidak lagi dikategorikan sebagai keciciran.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: