Sehening Kalbu

Kelana Berlandaskan Hati, Percaya Mengikat Diri…

5 pemimpin Hindraf kena ISA

Posted by anakkawi on December 14, 2007

Oleh Zulkofli Jamaludin, Jalal Ali Abdul Rahim, Hardi Effendi Yaacob, Ifwan Tun Tuah dan Nahar Tajri


GAMBAR dari (kiri); R Kengadharan, P Uthayakumar, K Vasantha Kumar, V Ganabatirau dan M Manoharan.

Penahanan berasas kewajaran: PM

KUALA LUMPUR: Lima pemimpin Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam operasi polis di sekitar Lembah Klang dan Negeri Sembilan, semalam.

Mereka ialah P Uthayakumar, 46; V Ganabatirau, 34; M Manoharan, 46; dan R Kengadharan, 40 � semua Penasihat Undang-Undang Hindraf, manakala seorang lagi penyelaras pertubuhan berkenaan, K Vasantha Kumar, 34. Ganabatirau dan Manoharan juga adalah ahli DAP.

Kelima-limanya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sebelum dihantar ke Kem Tahanan dan Perlindungan Kamunting di Taiping, Perak untuk menjalani perintah tahanan serta-merta.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dalam kenyataan dikeluarkan Bukit Aman, berkata, Kengadharan ditahan di Jalan SS2/55 Petaling Jaya pada jam 12.30 tengah hari, diikuti Manoharan di Jalan Pantai Baru, Bangsar (1.55 petang) dan Vasantha Kumar di sebuah restoran di Brickfields (2 petang).

Ganabatirau pula ditahan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan (2.10 petang) dan Uthayakumar di pejabatnya di Menara Mutiara Bangsar di sini (2.30 petang).

Di KUANTAN, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berkata penahanan pemimpin Hindraf itu mengikut ISA dibuat berasaskan kewajaran kerana tindakan mereka mengancam keamanan dan keselamatan negara.


“Menjadi kewajipan saya untuk bertindak segera kerana rakyat tidak ingin melihat negara kita dalam keadaan porak-poranda,” katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) Pahang.

Mengenai kemungkinan tindakan itu dipolitikkan pembangkang, beliau berkata: “Sejak bila pembangkang tak guna macam-macam helah? Pembangkang, kerja dia membangkang.”

Ditanya sama ada ramai lagi pemimpin Hindraf akan ditangkap, Perdana Menteri berkata: “Saya tidak boleh cakap… tandatangan, tangkap.”

Sementara itu, Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Mohd Johari Baharum,

berkata perintah tahanan itu ditandatangani Abdullah selepas meneliti laporan polis pagi semalam yang menunjukkan kegiatan pemimpin Hindraf itu boleh menggugat keselamatan negara.

Mengikut Seksyen 8(1) ISA 1960, Menteri Keselamatan Dalam Negeri mempunyai kuasa menandatangani perintah menahan mana-mana individu sehingga dua tahun tanpa perlu perbicaraan. Tempoh tahanan itu boleh dilanjutkan atas persetujuan menteri berkenaan.

Pada 6 Disember lalu, Musa mendedahkan Hindraf sedang berusaha untuk mendapatkan sokongan dan bantuan kumpulan pengganas antarabangsa serta merancang menggunakan kumpulan gangster bagi menghalang pihak berkuasa merobohkan kuil pada masa depan.

Sehari selepas itu, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail pula mendedahkan Hindraf mempunyai hubungan dengan kumpulan pemisah Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) berdasarkan laporan polis yang dibuat orang awam.

Kumpulan pemisah itu diisytiharkan sebagai pengganas oleh Amerika Syarikat, Britain, Kesatuan Eropah, India dan Australia.

INFO: Siapa mereka

  • K Vasantha Kumar, 34 – Eksekutif kanan di Malaysia Building Society Bhd (MBSB). Juga penyelaras Hindraf dan namanya digunakan dalam permohonan permit bagi perarakan pada 25 November lalu tetapi ditolak.
  • V Ganabatirau, 34 – Penasihat Undang-Undang Hindraf dan juga Penasihat DAP Cawangan Sri Muda Shah Alam, Selangor. Namanya turut tersenarai dalam perintah mahkamah melarang perhimpunan haram pada 25 November lalu.
  • R Kengadharan, 40 – Mempunyai firma guaman sendiri di Petaling Jaya. Turut mengendalikan kes sivil di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
  • M Manoharan, 46 – Penasihat Undang-Undang Hindraf ini adalah graduan ekonomi yang kemudian menjadi peguam. Ahli DAP dan sudah berkecimpung dalam politik selama 15 tahun. Mewakili Uthayakumar, Ganabatirau, dan Waythamoorthy ketika ketiga-tiga mereka ditahan dua hari sebelum perhimpunan haram pada 25 November.
  • P Uthayakumar, 46 – Penasihat Undang-Undang Jawatankuasa Police Watch and Human Rights Committee. Pernah didakwa atas dua kesalahan di mahkamah. Pada 20 Mei 2004 dia ke United Kingdom mendapatkan suaka politik, kerana mendakwa diancam dan diawasi polis.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: