Sehening Kalbu

Kelana Berlandaskan Hati, Percaya Mengikat Diri…

Cik Kuntum: Kawan ‘makan’ kawan

Posted by anakkawi on December 14, 2007

Dipetik daripada Berita Harian – Citra 

SEJAK meninggalkan alam pengajian hampir sedekad yang lalu, Cik Kuntum ada juga berhubungan dengan rakan lama khususnya yang satu kuliah. Itupun, bukanlah selalu�adalah dalam dua atau tiga bulan sekali. Tetapi baru-baru ini, seorang teman lama yang agak rapat dengan Cik Kuntum ketika belajar dulu kembali menghubungi Cik Kuntum selepas membaca ruangan ini.

Tidak sangka pula Tini (bukan nama sebenar) yang agak pemalu satu ketika dulu, kini bukan main peramah lagi. Pelbagai cerita mengenai rakan lama dikhabarkan kepada Cik Kuntum. Memandangkan Cik Kuntum pun sudah lama tidak mendengar cerita teman lain yang kini sudah berkeluarga dan beranak-pinak, apa lagi kami pun berbual panjang dalam telefon.

Tetapi dalam banyak cerita teman sekuliah dulu, Cik Kuntum tertarik dengan cerita mengenai seorang ‘mamat’ yang dulu kami gelar Mat Jenin kerana dia memang suka berangan. Bahkan seperti Mat Jenin, beliau juga suka bercakap besar dan berlagak orangnya.
Ingatkan perangainya hanya ketika belajar dulu, tidak sangka pula masih terbawa-bawa dengan sikap lamanya yang suka menyusahkan orang. Ceritanya begini, menurut Tini, baru-baru ini Mat Jenin ada menghubunginya selepas sekian lama mereka tidak berjumpa, iaitu sejak meninggalkan alam pengajian. Terkejut juga Tini apabila suara jantan yang kedengaran dalam telefon memperkenalkan dirinya sebagai Mat Jenin.

Dipendekkan cerita, Mat Jenin mengaku beliau mendapat nombor telefon Tini daripada seorang lagi teman lama kami, Hamidah (juga bukan nama sebenar). Seperti kata Tini, beliau tidak kisah apabila Mat Jenin menghubunginya memandangkan mereka kawan lama yang agak rapat juga dulu, maklum teman satu kelas tutorial sejak tahun satu.

Tetapi, kata Tini, apabila Mat Jenin mula menceritakan impian (atau angan-angannya) untuk membuka kedai makan bertaraf kafe, Tini terus berasa kurang selesa, bimbang Mat Jenin ingin mempergunakannya seperti teman lain.

“Aku bukan apa Kuntum, dalam pada dia bercerita, aku teringat kisah Midah. Masa Mat Jenin telefon aku, buka cerita saja dia dah kutuk Midah. Kononnya kedekut tak nak tolong kawan. Minta pinjam duit dua tiga ribu pun tak nak bagi. Kalau aku jadi Mida pun, aku tak nak bagi. Ingat RM2,000 tu RM2 ke? Nasib baik aku dah tahu cerita sebenar daripada mulut Midah sendiri. Apa yang kelakar, bila nak minta tolong nombor telefon kawan, pandai pula minta daripada Midah.

“Apa yang aku dengar, awal tahun ini Mat Jenin ada buka kedai aksesori perempuan di Plaza B di ibukota, pinjam duit along. Tapi tak mampu nak bayar sewa kedai. Jadi dia nak pinjam dengan Midah beberapa ribu ringgit. Manalah kawan tu ada duit. Walaupun bergaji besar, Midahkan tolong adik dia bersekolah, lagipun keluarga Midah bukannya orang senang.

“Yang aku pelik tu, Mat Jeninkan berpendidikan tinggi. Bodoh sangat pergi pinjam dengan along, siapa suruh. Takkanlah dia tidak tahu yang along ni kerjanya macam samseng. Tak mampu bayar, dia akan kejar sehingga ke lubang cacing. Tak dapat si peminjam, keluarga pun jadi.

“Sekarang nak buka perniagaan lain. Cuak juga aku dengar. Banyak jugalah idea dia. Nak buat ala Bali dengan sentuhan modenlah, nak perkenal konsep makanan Nusantaralah, banyak lagi yang dia cerita. Seram sejuk aku dengar. Manalah tahu dalam pada bercerita tu, dia sebenarnya nak ajak aku tolong dia, jadi rakan kongsi ke, nak pinjam duit aku ke. Tapi, nasib baiklah sampai sudah sekadar cerita mengenai impiannya,” kata Tini mengakhiri perbualan.

Jadi, Cik Kuntum ingat cerita mengenai Mat Jenin berakhir setakat perbualan berkenaan. Jumaat lalu, Cik Kuntum terima panggilan daripada Tini sekali lagi. Kali ini, suara Tini cemas sekali.

“Kuntum, engkau kena tolong aku. Mat Jenin nak jumpa aku esok. Tadi, dia telefon aku. Benar sangkaan aku, Mat Jenin nak minta tolong aku untuk buat pinjaman perniagaan. Bukan sedikit duit yang dia nak pinjam, RM100,000! Dahlah tu, dia minta aku guna slip gaji aku sebab dia mana ada kerja, sibuk dengan angan-angan nak buka perniagaan.

“Tetapi, dia nak jadikan aku rakan kongsi. Mula-mula aku fikir okay juga selepas dia terangkan pada aku. Sebagai rakan kongsi, aku tidak perlu buat apa-apa, cukup bulan keuntungan dibahagi sama rata. Menarik juga. Tetapi, bila aku fikirkan balik, bahaya cadangan Mat Jenin.

“Bukan aku tak nak tolong kawan, tetapi banyak duit yang dia nak pinjam tu. Manalah tahu, tiba-tiba perniagaan dia lingkup, dia pula lari. Pengsan aku nak bayar, sebab pinjaman tu seperti yang dia cadangkan, guna nama aku. Macamana pandangan kau, aku sebenarnya gatal mulut pergi bersetuju tadi, tapi sekarang takut pula,” katanya panjang lebar.

Mendengar cerita Tini, Cik Kuntum hanya ada satu pendapat saja. Jangan bantu Mat Jenin! Mungkin ada yang anggap Cik Kuntum tidak berperi kemanusiaan, tetapi ini bukan caranya membantu teman. Memikirkan pelbagai cerita rakan mengenai kisah mereka terpaksa melunaskan hutang orang lain selepas menjadi penjamin kepada pinjaman insan berkenaan, Cik Kuntum rasa ada baiknya Tini tidak menyerahkan diri kepada singa lapar seperti Mat Jenin.

Pengalaman adik Cik Kuntum mungkin boleh dijadikan iktibar. Lima tahun lalu, dia membuat pinjaman perniagaan berjumlah RM50,000 untuk bekas isterinya (ketika itu mereka masih suami isteri). Cik Kuntum punyalah terkejut apabila dimaklumkan mengenai kebodohan adik sendiri, tetapi ketika itu memandangkan mereka suami isteri, apalah salahnya tolong isteri sendiri.

Tetapi, apa yang Cik Kuntum geram, saban bulan adik Cik Kuntum terpaksa membayar balik pinjaman berkenaan sebanyak RM400 sebulan, sedangkan perniagaan isterinya, orang kata hidup segan mati tak mahu. Apabila mereka bercerai kerana masing-masing akui tiada persefahaman (bercerai secara baik kerana adik Cik Kuntum ni baik orangnya), adik Cik Kuntum masih terus membayar hutang pinjaman berkenaan walaupun bekas isterinya berjanji di mahkamah akan melunaskan hutang berkenaan.

Alasan adik Cik Kuntum, dia malas nak bawa ke mahkamah lagi, jadi apabila asyik dapat surat daripada bank, beliau bayar saja bagi mengelakkan namanya disenaraihitamkan.

Dalam kes Tini dan Mat Jenin, boleh ke pakai janji mulut Mat Jenin? Mengenangkan sikapnya yang sejak lebih 10 tahun lalu masih tidak ke mana walaupun menggenggam segulung ijazah, Cik Kuntum rasa ada baiknya Tini lupakan saja hasrat ingin menjadi rakan kongsi Mat Jenin. Lagipun, konsep silence partner bukannya selalu berjaya, bimbang Tini pula yang bakal menanggung beban hutang.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: