Sehening Kalbu

Kelana Berlandaskan Hati, Percaya Mengikat Diri…

Ya Tuhan!

Posted by anakkawi on December 14, 2007

Dipetik dari Mingguan Wanita Online 

Tak temui bahagia bersama suami

“Saya sering tercari-cari kebahagiaan tetapi tidak bertemu lagi. Suami yang saya harapkan dapat membimbing, masih tetap dengan perangainya.” Inilah luahan hati seorang isteri dalam kiriman e-melnya ke ruangan ini. Perkahwinan ibarat sebuah perjudian, ada masanya untung dan ada masanya kerugian. Semoga ceritanya dapat dijadikan iktibar bagi para isteri yang mungkin mengalami masalah yang sama.

Mungkin kisah saya tidak memberi erti kepada segelintir pembaca tetapi derita yang saya tanggung membuatkan jiwa saya bertambah parah. Untuk makluman semua, dalam usia mentah, panahan cinta menjerumuskan saya ke lembah duka. Hubungan dengan teman lelaki akhirnya mencatat sejarah hitam apabila saya disahkan mengandung.

Selama sembilan bulan duka ini saya kongsi sendiri. Teman lelaki berjanji tidak akan meninggalkan saya tetapi sakit pening, saya perlu peduli seorang diri. Dia langsung tidak membantu sebaliknya sering memaki hamun.

Mahu berterus-terang dengan keluarga, saya tidak sampai hati kerana emak sakit. Saya berhenti belajar dan menjaga emak. Melihat keadaannya, saya hanya mampu menangis di dalam hati dan dalam masa yang sama saya cukup benci dengan teman lelaki kerana mempersiakan diri saya.

Malah saya pernah bersumpah tidak akan berkahwin dengannya dek kerana perlakuannya itu walau pun sebelum ini teman lelaki masih mengharapkan saya. Ini kerana saya amat yakin dia tidak akan menjadi suami yang baik kerana kejahilannya, tidak pernah sembahyang, berpuasa dan amal ibadat lain. Dalam hati hanya berfikir kenapalah saya ditakdirkan berkasih pada usia yang sangat muda, belum matang. Buat sesuatu mengikut perasaan sahaja. Kalau sekiranya sekarang ditakdirkan saya bercinta, nauzubillah takkan saya dekati zina itu.

Setelah kandungan hampir 9 bulan, barulah ibu perasan perubahan diri saya yang sangat ketara. Ibu mendesak memberitahu. Suami mengakui mahu bertanggungjawab. Malam dinikahkan, esoknya saya melahirkan seorang bayi lelaki. Esoknya suami sudah kembali bekerja. Dari mengandung saya sendirian, kini setelah ada anak, saya juga terus sendiri. Alhamdulillah, keluarga benar-benar mengambil berat akan hal saya. Bagaimana hidup saya selepas itu? Segalanya bermain di fikiran dan kini segalanya telah terjawab.

Kami kembali berjauhan. Saya membesarkan anak sendirian, hidup kami berlawan fitrah kehidupan suami isteri. Atas persetujuan bersama, kami mengambil keputusan untuk hidup berjauhan. Suami nun jauh di sana dan saya masih di Semenanjung. Semua ini kerana kami tidak sanggup lalui. Pantang berjumpa, pasti bergaduh, Suami jenis panas baran, tidak pernah puasa atau sembahyang. Yang dia tahu enjoy saja. Tak boleh ditegur dan perangai kami jauh berbeza. Dua bulan sekali, suami akan balik tetapi masih dengan perangainya yang menyakitkan hati.

Entahlah puan kaunselor, mungkin kerana kasih sayang yang sudah lama pudar saya tidak pernah bahagia bersamanya ditambah pula suami tidak pernah menghargai diri ini. Percaya atau tidak sepanjang perkenalan saya dan dia dari tingkatan dua, satu barang pun tidak pernah diberi. Duit hantaran pun tidak merasa.

Kini usia saya 22 tahun dan suami pula 25 tahun. Saya bukan jenis meminta-minta, akhirnya bila kami kahwin koboi, satu pun saya tidak merasa. Kenapalah saya merasai kepayahan begini. Dahulu saya gadis kampung, tidak tahu bersosial tetapi akhirnya kerana cinta, saya hanyut. Walau pun saya redha dengan apa yang berlaku tetapi hajat saya biarlah kebahagiaan melingkari kehidupan saya.

Dalam hati kecil ini, saya masih lagi punya impian untuk menjadikan kami sebuah keluarga yang bahagia. Apa yang peliknya bila suami balik, saya yang tidak pernah tinggal solat akan tinggalkan solat. Rumah yang terurus akan jadi tidak terurus. Yang paling saya takut, bulan puasa pun dia akan mengajak saya melakukan persetubuhan di siang hari. Ya Allah betapa besarnya dosa saya kerana itulah saya lebih senang duduk berdua saja dengan anak.

Pernah saya terfikir ingin berpisah tetapi saya fikirkan kewangan. Saya tidak punya pendidikan tinggi dan gaji juga kecil. Saya sering menasihati suami melalui SMS agar jangan tinggal solat. Kadang-kala saya fikir suami tidak matang lagi. Bilakah saya akan bahagia? Mungkinkah suatu hari nanti? Saya masih tidak pasti, adakah saya perlu meneruskan hubungan saya bersama suami atau berpisah atau terus bersabar. Ini kerana suami tidak pernah abaikan soal kewangan kami.

Apalah nasib saya ini.

Mingguan Wanita

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: