Sehening Kalbu

Kelana Berlandaskan Hati, Percaya Mengikat Diri…

INBIOSIS – TemuBual

Posted by anakkawi on December 18, 2007

Tamu Selasa: Galak saintis hasilkan penemuan baru

Oleh Norliza Abdullah

INBIOSIS laksana penyelidikan asas dalam biologi sistem jana maklumat, data

APAKAH dia biologi sistem?

Biologi sistem adalah satu bidang penyelidikan yang menggunakan gabungan pelbagai disiplin sains iaitu biologi, kimia, matematik dan fizik. Bidang biologi yang dimaksudkan merangkumi teknik terkini dalam bioteknologi moden seperti genomik, proteomik dan transkriptomik. Penyimpanan dan analisis data yang dihasilkan daripada bidang berkenaan memerlukan kepakaran biologi perkomputeran dalam menafsirkan hasil penemuan.


Sebagai pusat kecemerlangan penyelidikan apakah tujuan utama penubuhan Institut Biologi Sistem (INBIOSIS)?

Institut ini bertindak sebagai pusat penyelidikan, rujukan serta latihan dalam kajian bioteknologi moden menggunakan pendekatan biologi sistem. Usaha penyelidikan ini meletakkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai pelopor bidang biologi sistem di Malaysia. Sebagai sebuah pusat penyelidikan biologi sistem yang terawal di rantau ini, INBIOSIS berazam untuk menjadi pusat rujukan dan latihan yang terkehadapan di dalam bidang ini. Kemuncak penubuhan pusat kecemerlangan ini adalah sebagai platfom bagi menyatukan penyelidik pelbagai disiplin untuk bekerjasama dalam memahami sesuatu sistem yang dikaji secara menyeluruh.

Apakah tumpuan penyelidikan yang dilaksanakan?

Program penyelidikan memberi tumpuan kepada penerokaan kepelbagaian biologi tropika dalam penemuan gen dan molekul semula jadi baru. Ia termasuk penggunaan teknologi transgen bagi pembaikan tanaman dan penghasilan bio molekul baru. Tumpuan ini secara langsung menyokong kegiatan bioteknologi industri dan pertanian di negara kita. Untuk itu, institut sudah memulakan penyelidikan untuk memahami proses penghasilan bahan metabolik sekunder dalam tumbuhan. Secara semula jadinya, metabolik sekunder dihasilkan oleh tumbuhan dan bakteria apabila menghadapi tekanan persekitaran seperti kekurangan air dan mineral. Pemahaman yang mendalam mengenai proses ini boleh diaplikasi dalam penghasilan produk bioteknologi bagi industri perasa makanan dan wangian. Penyelidikan sebegini berupaya menjadi pencetus kepada penjanaan ekonomi berasaskan pengetahuan. Selain itu, ia juga dengan jelasnya menyokong Polisi Bioteknologi Kebangsaan dan memenuhi kehendak Kementerian Pengajian Tinggi untuk membangunkan kepakaran dalam bidang bioteknologi.


Siapakah tenaga penggerak dalam melaksanakan program penyelidikan di INBIOSIS?

INBIOSIS mempunyai felo penyelidik daripada kalangan pensyarah pelbagai bidang berkaitan biologi sistem dan dibantu oleh pegawai sains dan pelajar pasca-siswazah.

Mengapa UKM menubuhkan INBIOSIS?

Memantapkan kedudukan UKM sebagai pelopor bidang baru bioteknologi. Ia bermula dengan sejarah awal penubuhannya dua tahun lalu dengan gabungan dan penstrukturan semula pusat kecemerlangan penyelidikan di bawah Fakulti Sains dan Teknologi menerusi Makmal Bioteknologi Tumbuhan dan Pusat Analisis dan Teknologi Gen (CGAT). Kewajaran penubuhan institut ini diputuskan oleh UKM memandangkan kepakaran dan keupayaan yang wujud di kedua-dua pusat kecemerlangan berkenaan menjalankan aktiviti penyelidikan bioteknologi terkini lantas memantapkan kedudukan UKM sebagai pelopor bidang baru bioteknologi. Dengan penubuhan INBIOSIS, Makmal Bioteknologi Tumbuhan sudah dinaik taraf sebagai Pusat Bioteknologi Tumbuhan yang bersesuaian dengan tahap kepakaran yang tinggi dalam bidang bioteknologi tumbuhan. Bagi menjalankan penyelidikan bersifat biologi sistem, selain daripada Pusat Analisis dan Teknologi Gen serta Pusat Bioteknologi Tumbuhan, satu lagi pusat kecemerlangan ditubuhkan iaitu Pusat Bioinformatik.

Adakah penubuhan INBIOSIS berupaya melahirkan lebih ramai penyelidik dalam bidang bioteknologi?

Ya kerana secara dasarnya aktiviti teras institut memberi peluang kepada penyelidik muda untuk mengasah bakat dan kreativiti saintifik menerusi aktiviti penyelidikan seharian. Ia menyuntik semangat dan kesungguhan anak muda untuk terus gigih mencari penemuan baru bagi memantapkan budaya penyelidikan di Malaysia. Ini penting sebagai landasan dalam melahirkan lebih ramai penyelidik berwibawa sejajar dengan usaha kerajaan untuk melaksanakan ekonomi berasaskan pengetahuan. Kesungguhan penyelidik ini menjadi aset utama dalam membentuk rangkaian perkongsian bijak membangunkan industri bioteknologi negara. Tindakan ini juga menyokong keperluan kerajaan dalam membangunkan modal insan dalam persiapan Malaysia menjadi negara maju menjelang 2020.

Setakat ini, adakah INBIOSIS sudah menjalin usaha sama pintar dengan industri atau agensi berkaitan dalam memperkasakan hasil penyelidikan sedia ada?

Kerjasama kukuh wujud menerusi dana teknologi dalam dan luar negara. INBIOSIS kini membentuk kerjasama penyelidikan dengan beberapa institut biologi sistem luar negara secara berperingkat menerusi lawatan ke institut berkenaan di University of Gent (Belgium), Manchaster Interdisciplinary Biocentre, University of Sheffield dan European Bioinformatics Institute (UK).

Adakah INBIOSIS berjaya mengkomersialkan hasil penyelidikannya untuk dimanfaatkan bersama?

Memandangkan INBIOSIS memberi tumpuan pada peringkat asas, usaha pengkomersialan dijangka akan berlaku pada masa akan datang. Yang pastinya, maklumat dijana masa kini berpotensi untuk diaplikasikan dalam industri bioteknologi.

Apakah hala tuju INBIOSIS sebagai pusat penyelidikan bioteknologi rintis di rantau ini?

INBIOSIS berazam untuk terus mengukuhkan penyelidikan asas dalam biologi sistem bagi menjana maklumat dan data bagi perkembangan bioteknologi moden di Malaysia. Seiring dengan itu, INBIOSIS mempunyai aspirasi untuk mencapai tahap penyelidikan yang setara dengan institut biologi sistem pada peringkat antarabangsa.

Diperolehi dari Berita Harian Online

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: