Sehening Kalbu

Kelana Berlandaskan Hati, Percaya Mengikat Diri…

Rendah Diri

Posted by anakkawi on December 18, 2007

Terbang atau merangkak?

Putri,
MINGGU ini saya ingin berkongsi cerita tentang diri kita ini yang kadang-kadang menghadapi masalah keyakinan diri. Saya terpanggil untuk menulis mengenai isu ini setelah Allah bagai memberikan banyak petunjuk tentang betapa pentingnya bagi kita membincangkan topik ini.

Semenjak beberapa minggu dahulu, saya telah ditakdirkan bertemu dengan individu dari berbagai lapisan masyarakat yang mempunyai masalah percaya akan kebolehan dan kelebihan diri.

Seorang suri rumah yang berkahwin muda telah memberitahu saya bagaimana dia merasakan dia tidak langsung pandai mengurus rumah tangganya. Dia berasa sangat malu untuk membenarkan sesiapa datang ke rumahnya. Dia sentiasa berasa rendah diri bila berhadapan dengan ipar duai dan rakan-rakan suaminya, membuatkannya selalu menolak ajakan suami untuk menghadiri majlis-majlis anjuran mereka. Jika terpaksa bertemu, dia memilih untuk berdiam diri kerana membuka mulut menjadi satu risiko, yalah, dia tidak mahu memperbodohkan dirinya di hadapan mereka, menurutnya.

Pelajar sekolah yang saya temui pula, selalu berasa rendah diri dengan rakan-rakan yang kelihatan bijak dan aktif. Kadang- kadang terasa cemburu juga. Apabila diminta guru untuk menonjolkan diri ketika aktiviti sekolah, dia sering kali menolak atas alasan tiada kebenaran ibu bapa sedangkan sebenarnya dia rasa sangat takut sekiranya hasil kerjanya itu tidak memuaskan dan akan mengakibatkan dirinya dikritik dan diperkatakan oleh rakan sekolah lain.

Yang berkerjaya pula berasa tekanan di tempat kerja bila melihat rakan-rakan naik pangkat, mendapat kepercayaan bos untuk mengetuai projek-projek atau dapat pelanggan besar. Bila ada majlis yang meraikan mereka yang berjaya mencapai sasaran jualan dan khidmat cemerlang, perasaan sedih dan rendah diri semakin dirasa. Kadang-kadang semasa mesyuarat, selalunya dia tidak mahu membuka mulut untuk memberikan idea-idea yang mungkin boleh diterima pakai oleh pihak pengurusan kerana tidak yakin dengan buah fikirannya sendiri.

Inilah yang dikatakan cabaran kehidupan Putri. Cabaran yang didatangkan Allah yang ada kalanya datang dari luar, dan ada kalanya cabaran itu Allah datangkan dari diri kita sendiri. Sememangnya kita sentiasa perlu tahu yang Allah tidak akan menjadikan sesuatu tanpa sebab. Setiap kejadian Allah itu ada kelebihannya termasuklah kita. Kita perlu tahu yang kita adalah istimewa, bak kata Adibah Noor.

Teringat saya akan perumpamaan yang diberikan oleh Anita Roddick, “Kalau kita fikir yang kita ini terlalu kecil dan tidak mampu untuk memberikan impak dalam kehidupan orang lain, cuba kita tidur bertemankan nyamuk diwaktu malam!” Tergelak saya ketika membaca kata-kata ini pertama kali. Sangat tepat, bukan? Sang nyamuk memang boleh mengganggu dan mampu juga menjadikan kita, manusia, yang berpuluh ratus ribu ganda lebih besar saiz daripadanya tidak dapat tidur lena. Walau kecil, nyamuk tidak berfikiran negatif, Putri. Walau kita ini besar berbandingnya, ia tetap berani mengganggu kita walaupun risikonya boleh membawa padah kepada nyawanya sendiri! Tapi dengan kepakaran mengelak yang ada, nyamuk yakin yang dia boleh mengalahkan ‘gergasi’ bergelar manusia ini. Positif sungguh pemikirannya, bukan?

Memang tidak dapat dinafikan bahawa di dalam kehidupan kita ini, terdapat individu yang senantiasa berfikiran positif manakala sesetengahnya senantiasa berfikiran negatif. Tetapi, yang paling ramai adalah kita yang kadang-kadang berfikiran positif silih berganti dengan negatif, mengikut angin dan situasi. Saya teringat seseorang yang telah menamakan mereka yang berfikiran negatif dan tidak yakin kepada diri sendiri sebagai energy vampire (puntianak tenaga). Bayangkan Putri. Puntianak adalah satu makhluk yang menyedut darah mangsanya sehingga kering dan boleh menyebabkan kematian mangsa tersebut. Pasti di sini konteksnya bukanlah menyebut darah tetapi lebih teruk dari itu.

Semangat

Energy vampire di sini bermaksud mereka yang menyedut semangat kehidupan ini dari orang sekelilingnya kerana sikap negatif mereka. Sememangnya penyedut semangat kehidupan ini lebih berbahaya dari yang menyedut darah. Kalau kehilangan darah, bolehlah kita dengan segera cuba ikhtiarkan menggantikan dari tempat lain seperti memohon derma atau minta dari bank darah.

Tetapi, di manakah kita boleh segera menggantikan semangat yakin diri yang hilang dari diri kita? Adakah bank yang menyimpan semangat ini? Atau bolehkah kita meminta derma semangat dari orang lain yang boleh kita masukkan ke dalam badan kita dengan mudah? Masukkan sahaja tiub, dan salurkan semangat masuk semula ke dalam diri kita. Mustahil bukan? Memangnya, jika seseorang hilang semangat, hanya tuan punya badan, jiwa dan raga sahaja dengan kuasa Allah boleh memulihkan kembali dirinya.

Sememangnya perasaan rendah diri dan kurang keyakinan ini perlu kita cantas segera sebagaimana kita mencantas, membuang rumput-rumput liar di halaman rumah kita. Kalau dibiarkan rumput liar tersebut terus hidup, ia bukan sahaja akan merosakkan keindahan halaman rumah kita, malahan, ia mungkin akan menjadi sarang pembiakan binatang berbahaya seperti ular! Bukan begitu, Putri?

Kita perlu sedar bahawa setiap saat hidup kita ini, kita akan menghadapi ujian – sama ada terpaksa, dipaksa atau sukarela. Itu sudah pasti. Allah telah memberikan peringatan kepada kita yang pastinya Dia akan menguji kita dengan perasaan takut, lapar, kehilangan harta benda, kehilangan orang tersayang. (Surah al-Baqarah: 155)

Jadi Putri, perasaan gabra, takut, cemas, suspen itu memang telah dijanjikan Allah untuk kita. Tetapi, perasaan itu bukanlah untuk kita semua turuti sahaja bahkan ia perlu ditangani dengan kesabaran dan yakin akan bantuan Allah (surah al-Baqarah: 156). Dengan cara itu sahaja kita akan berjaya. Menangani dengan kesabaran pun bukannya bermaksud sabar dengan berterusan mempunyai sikap takut dan tidak yakin pada diri sendiri.

Kesabaran yang diperlukan kita adalah kesabaran memperbaiki kelemahan ketika kita cuba mengatasi masalah yakin diri kita. Kesabaran membina minda yang berfikiran positif, kesabaran memberitahu diri kita yang kita boleh melakukan apa sahaja dengan bantuan Allah jika kita mahu, kesabaran menghadapi kegagalan ketika mencuba, kesabaran menghadapi perasaan malu jika diperkata, kesabaran untuk terus bangun walaupun jatuh berulangkali, kesabaran bangun awal pagi untuk mendapat keberkatan dan kejayaan, kesabaran untuk terus menapak kehadapan walau ditolak kebelakang, kesabaran berfikir bagi mendapatkan idea-idea bernas, kesabaran menghadapi mereka-mereka yang tidak yakin akan kebolehan kita, kesabaran menghadap keluarga dan rakan yang suka mempersenda cita-cita kita.

Ya, Putri, kesabaran yang itulah yang dimaksudkan dan diperlukan dalam hidup kita dewasa ini. Allah telah memberitahu kita yang tiada apa akan terjadi kepada kita kecuali dengan izin-Nya. Hanya Dia sahajalah pelindung dan penyelamat kita dan hanya pada-Nya sahaja kita semua bertawakal (At-Taubah: 51). Tiada tempat lain Puteri. Hanya pada-Nya jua.

Jadi, walau apa pun terjadi, walau apa sekalipun perbuatan orang terhadap kita, walau bagaimana sangsinya kita terhadap kemampuan diri kita, walau bagaimana takut pun kita untuk mencuba, kita mesti selalu mengingatkan diri kita yang kita ada Allah. Lihat sahajalah contoh seorang bayi yang baru dilahirkan. Semua otot-ototnya lemah. Tiada bayi yang lahir boleh merangkak kemudian terus berlari. Setiap bayi perlu mengharungi setiap peringkat untuk menguatkan otot-ototnya. Untuk mencapai tahap boleh berlari, bayi akan terpaksa berusaha mengangkat badan, jatuh tersembam, jatuh tergolek, luka, tergores kulit, berasa sakit, menangis. Tetapi dengan semangat yakin diri dan percaya pada diri sendiri, setiap bayi akan terus berusaha memperbaiki kelemahan mereka. Akhirnya, hasil titik peluh dan usahanya, kita dapat lihat sendiri…

Sebelum berundur, saya ingin berkongsi kata pujangga seorang cendekiawan Islam. Beliau telah bertanyakan satu soalan yang perlu kita tanya diri kita dan cari jawapannya. Beliau bertanya “Jika kita dilahirkan dengan dua sayap. Mengapa pula kita memilih untuk merangkak? “Mengapa ya, Putri?

Insya-Allah, mudah-mudahan, kita semua diberikan keyakinan untuk terbang tinggi, diberi kekuatan untuk mengatasi rasa gayat bila terbang; dan sentiasa terbang dengan mata fokus di hadapan walaupun terdengar suara-suara mempertikaikan di belakang! Amin. Bak kata superman, ‘Up up and away!’

– SIS ZABRINA A BAKAR, adalah pengarang buku motivasi tentang kehidupan ‘Life is an Open Secret’ yang telah mendapat pengiktirafan pembaca antarabangsa. Layarilah laman web beliau di www.lifeopensecret.com dan www.wisdomthruwords.blogspot.com

Diperoleh dari Utusan Malaysia Online

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: