Sehening Kalbu

Kelana Berlandaskan Hati, Percaya Mengikat Diri…

Apa Itu Tauhid?

Posted by anakkawi on December 19, 2007

 Diperoleh dari Berita Harian Online

Bersama YaPEIM: Tauhid bentuk peribadi harmonis

Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia


SUMBER RUJUKAN: Al-Quran jadi panduan umat Islam dalam menjalani kehidupan dunia dan akhirat. – Gambar hiasan

Penekanan konsep pengesaan hasilkan keserasian pemikiran, perlakuan umat

ISTILAH ‘worldview’ atau ‘weltanschauung’ sering diterjemah dengan ungkapan berbeza seperti pandangan sarwa, pandangan jagat, pandangan dunia dan pandangan hidup. Yang dimaksudkan dengan ‘worldview’ pada umumnya ialah persepsi, perspektif, tanggapan, tasawur atau sikap mental terhadap segala sesuatu.

Persepsi sesuatu bangsa terhadap segala sesuatu atau alam semesta biasanya dicirikan oleh agama atau budaya dianuti. Kerana itu, worldview kadang-kadang ditakrifkan sebagai, ‘cara manusia melihat di luar alam semesta.’ (Redfield, R, The Primitive World and its Transformation)

Dalam kaitan itu, apa yang disebut sebagai pandangan sarwa Islam biasanya diertikan sebagai bagaimana Islam melihat segala sesuatu. Penjelasan mengenai pandangan sarwa Islam seperti itu sebenarnya tidak memadai, malah mungkin mengelirukan.

Justeru, huraian Prof Syed Naquib al-Attas mengenai hal itu sangat relevan. Kata beliau, pandangan sejagat dari perspektif Islam tidak hanya pandangan minda terhadap alam fizikal atau pembabitan sosial, politik, budaya dan sejarah manusia di dalamnya; seperti tergambar dalam ungkapan Arab nazrat al Islam li al-kawn yang membawa maksud penglihatan Islam terhadap alam (fizikal).

Penakrifan pandangan sarwa Islam seperti itu dinilai tidak tepat kerana dengan menggunakan istilah nazrat, seolah-olah pandangan sarwa Islam hanyalah spekulasi falsafah berasaskan data yang nampak pada mata.

Demikian juga dengan pemakaian istilah kawn (alam fizikal) yang membawa implikasi seolah-olah pandangan sarwa Islam hanya terbatas pada dunia dan alam ciptaan. Cara penakrifan sedemikian jelas memperlihatkan pengaruh pemikiran saintifik-sekular Barat moden. Pandangan sarwa Islam merentas alam fizikal meliputi alam dunia dan akhirat.

Pandangan sarwa Islam sebenarnya berkait dengan persoalan realiti atau hakikat. Realiti dalam konteks pandangan sarwa Islam adalah lebih luas daripada cakupan istilah yang terbatas hanya pada fenomena peristiwa faktual, tidak meliputi segala terkandung dalam istilah hakikat itu.

Dalam hubungan ini, pandangan sarwa dari perspektif Islam kata Prof Syed Naquib ialah, wawasan realiti dan kebenaran yang nampak pada mata akali mengenai sefala yang wujud. Bertolak daripada kenyataan itu, Prof Syed Naquib mendefinisikan pandangan sarwa Islam sebagai visi Islam mengenai segala kewujudan.

Pandangan sarwa adalah bahagian terpenting daripada ajaran Islam. Ia menentukan bagaimana seseorang Muslim itu melihat, mendekati dan berinteraksi dengan segala sesuatu dalam kehidupannya. Apabila seseorang itu bertukar agama, maka perubahan paling mendasar yang dialaminya ialah perubahan pandangan sarwa.

Demikianlah erti dan implikasi proses pengislaman sesuatu umat, iaitu perubahan dan anjakan daripada pandangan sarwa pra-Islam kepada pandangan sarwa Islam. Dengan itu, persepsi mengenai Tuhan, manusia, alam dan kehidupan adalah berdasarkan pandangan Islam yang bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah.

Tuhan bagi orang Islam bukan lagi dewa dan bukan lagi semangat pada objek tertentu, tetapi Allah, Tuhan seluruh dan seisi alam, Yang Maha Tinggi, Maha Pencipta, Maha Penyempurna, Maha Pengatur dan Maha Pembimbing.

Tuhan bukan sebahagian daripada alam, tetapi di luar alam. Ia juga bukan sekadar suatu idea abstrak tetapi kekuatan dinamis yang menyatakan kekuasaan dan kebesaran ketuhanan-Nya menerusi nama-Nya yang 99 (al-Asma’ al-Husna), dengan penekanan pada keesaan dan kelainan-Nya daripada segala sesuatu.

Kerana penekanannya yang istimewa pada tauhid (pengesaan Tuhan) maka pandangan sarwa Islam selalu disebut pandangan sarwa tauhid. Memang keesaan Allah adalah teras ajaran Islam. Kesaksian terhadap Allah adalah inti kalimah syahadah. Ungkapan syahadah membawa pelbagai implikasi besar terhadap kehidupan seseorang Muslim.

Tauhid mempunyai dua dimensi, tauhid rububiyah bermaksud meyakini keesaan Allah sebagai satu Tuhan yang mencipta, menyempurnakan, memberi aturan dan petunjuk kepada seluruh alam dan manusia sebagai khalifah-Nya di bumi. Tauhid uluhiyyah pula bermaksud meyakini keesaan Allah sebagai al-Ma’bud, satu-satunya Tuhan yang disembah oleh manusia selaku hamba Allah.

Fahaman tauhid dalam kedua-dua dimensi itu membawa implikasi bahawa Allah adalah satu-satunya tuhan tumpuan rasa hormat, syukur, cinta, takut, setia, pengabdian, kebaktian, asal (dari mana manusia datang) dan kesudahan (ke mana ia akan pulang). Selain sebagai satu-satunya tumpuan, Allah juga adalah satu-satunya sumber nilai, aturan, petunjuk dan ilmu.

Ungkapan kalimah syahadah adalah deklarasi pembebasan manusia daripada segala bentuk pengabdian sesama makhluk. Di samping itu, ia juga adalah deklarasi komitmen manusia untuk melaksanakan kehendak Allah baik dalam hubungan dengan Tuhan, mahu pun hubungan sesama manusia dan alam.

Tauhid pada hakikatnya bukan sekadar suatu fahaman atau idea yang hanya bersifat konseptual. Sebenarnya ia adalah satu kaedah integrasi yang sebaiknya. Penghayatan tauhid dapat menghasilkan kesepa duan peribadi manusia yang dicirikan oleh keserasian harmonis antara pemikiran, perasaan, cita rasa dan perlakuan. Tidak ada konflik atau percanggahan antara pemikiran dengan perlakuan, antara cita rasa dengan pemikiran atau seumpamanya.

Keperibadian yang mengalami percanggahan adalah keperibadian yang pecah dan bukan keperibadian yang dicerna oleh tauhid. Demikianlah manusia tauhid, selamanya dalam kesepaduan yang menepati semangat ayat, “sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku (seluruhnya) semata-mata kerana Allah, Tuhan sarwa alam.”

Sebagai kaedah integrasi, tauhid juga dapat membawa kesatuan umat manusia. Dilihat dari perspektif tauhid, manusia daripada segala bangsa dan warna adalah warga keluarga besar anak cucu Adam, hamba dan makhluk Tuhan Yang Maha Esa. Lebih daripada itu, tauhid juga membawa semangat kekeluargaan serta keharmonian di kalangan segala jenis makhluk warga alam, termasuk manusia dan persekitarannya.

Tidak kurang pentingnya ialah tauhid sebagai kaedah integrasi ilmu. Kesepaduan ini berasaskan hakikat bahawa satu-satunya sumber ilmu ialah Tuhan Yang Maha Esa dan semua cabang ilmu bermatlamat untuk pengabdian kepada-Nya.

Demikian pandangan sarwa Islam mengenai Tuhan. Usaha pendakwahan dan pendidikan Islam menekan pembentukan pandangan sejagat dilakukan menerusi tradisi pengajian agama membabitkan pelbagai disiplin ilmu terutama usuluddin, tasauf, tafsir dan hadis.

YaPEIM mengucapkan selamat menyambut Aidiladha kepada semua muslimin dan muslimat seluruh negara serta mendoakan semoga jemaah Malaysia akan beroleh haji mabrur dan selamat kembali ke tanah air.

INTI PATI

  • Tauhid mempunyai dua dimensi, tauhid rububiyah bermaksud meyakini keesaan Allah sebagai satu Tuhan yang mencipta, menyempurnakan, memberi aturan dan petunjuk kepada seluruh alam dan manusia sebagai khalifah-Nya di bumi.
  • Tauhid uluhiyyah pula bermaksud meyakini keesaan Allah sebagai al-Ma’bud, satu-satunya Tuhan yang disembah oleh manusia selaku hamba Allah.
  • Ungkapan kalimah syahadah adalah deklarasi pembebasan manusia daripada segala bentuk pengabdian sesama makhluk.
  • Tauhid pada hakikatnya bukan sekadar suatu fahaman atau idea yang hanya bersifat konseptual. Sebenarnya ia adalah satu kaedah integrasi yang sebaiknya.
  • Leave a Reply

    Fill in your details below or click an icon to log in:

    WordPress.com Logo

    You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

    Twitter picture

    You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

    Facebook photo

    You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

    Google+ photo

    You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

    Connecting to %s

    Apa Itu Tauhid?

    Posted by anakkawi on December 19, 2007

     Diperoleh dari Berita Harian Online

    Bersama YaPEIM: Tauhid bentuk peribadi harmonis

    Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia


    SUMBER RUJUKAN: Al-Quran jadi panduan umat Islam dalam menjalani kehidupan dunia dan akhirat. – Gambar hiasan

    Penekanan konsep pengesaan hasilkan keserasian pemikiran, perlakuan umat

    ISTILAH ‘worldview’ atau ‘weltanschauung’ sering diterjemah dengan ungkapan berbeza seperti pandangan sarwa, pandangan jagat, pandangan dunia dan pandangan hidup. Yang dimaksudkan dengan ‘worldview’ pada umumnya ialah persepsi, perspektif, tanggapan, tasawur atau sikap mental terhadap segala sesuatu.

    Persepsi sesuatu bangsa terhadap segala sesuatu atau alam semesta biasanya dicirikan oleh agama atau budaya dianuti. Kerana itu, worldview kadang-kadang ditakrifkan sebagai, ‘cara manusia melihat di luar alam semesta.’ (Redfield, R, The Primitive World and its Transformation)

    Read the rest of this entry »

    Leave a Reply

    Fill in your details below or click an icon to log in:

    WordPress.com Logo

    You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

    Twitter picture

    You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

    Facebook photo

    You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

    Google+ photo

    You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

    Connecting to %s

     
    %d bloggers like this: