Sehening Kalbu

Kelana Berlandaskan Hati, Percaya Mengikat Diri…

Aspirasi: SMS ‘main-main’ undang musibah

Posted by anakkawi on December 19, 2007

Bersama Radzi Latif
radzilatif@yahoo.com

Pengguna telefon bimbit tidak patut sebar mesej provokatif cetus kekecohan

“JANGAN bimbangkan diri saya. Saya berada dalam keadaan selamat.” Itulah kandungan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar oleh seorang gadis kepada adik lelakinya. Gadis itu dilaporkan hilang sejak tiga bulan sebelum itu.

Menerusi SMS itu, setidak-tidaknya adik dan keluarga wanita itu tidak begitu bimbang lagi terhadap kehilangan kakaknya. Cuma, mereka hanya perlu mengesahkan sama ada SMS itu benar-benar dihantar oleh gadis terbabit atau orang lain.

Penghantar SMS ini juga mungkin membolehkan perhubungan dilakukan dan menemukan mereka semula. Hari ini SMS juga menjadi alat komunikasi popular untuk memilih idola dalam sesuatu pertandingan, khasnya dalam dunia hiburan.

Peminat perlu menghantar SMS untuk mengundi sebanyak mungkin idola mereka. Dalam satu pertandingan hiburan yang menggunakan undian SMS, kutipan mencecah hingga RM10 juta. Ia adalah satu perniagaan yang menguntungkan.

SMS juga dihantar kepada kawan sebagai bahan jenaka termasuk yang berunsur seks dan sebagainya. Terbaru, menjelang hari raya Korban ini, SMS dihantar kepada rakan dengan senda-gurau yang keterlaluan. Ini termasuk mengajak orang ramai mengasah parang sedangkan pada akhir SMS itu mereka menyatakan bahawa yang hendak disembelih ialah haiwan korban.

SMS juga digunakan untuk tujuan lain yang bertentangan dengan tatasusila dan budaya rakyat negara ini. Minggu lalu, umpamanya tersebar SMS mengatakan beberapa perhimpunan akan diadakan pada Ahad lalu di sekitar bandaraya Kuala Lumpur dan di beberapa negeri lain termasuk Johor susulan daripada isu Hindraf baru-baru ini .

Anggota keselamatan dikerah berjaga-jaga kerana mereka percaya apa saja boleh berlaku. Bagi pihak keselamatan, sama ada SMS itu palsu atau tidak, mereka yakin ia sudah sampai ke ribuan telefon bimbit dan ramai yang menerimanya dan tidak kurang pula memanjangkan kepada orang lain.

Jumlah penerima SMS ini begitu pantas berlipat kali ganda dalam masa singkat. Walaupun penyebaran SMS itu dianggap sebagai surat layang bentuk baru, namun ia tidak dipandang ringan. Pasukan keselamatan terpaksa mengambil setiap langkah berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Penyebaran SMS ini mungkin dilakukan oleh seseorang saja dan kemudian dipanjangkan kepada ramai orang mengikut rangkaian persahabatan masing-masing. Disebabkan penyebaran SMS ini begitu pantas, ia diperoleh dengan cepat dan mudah.

Di Malaysia hari ini, setiap orang dewasa boleh dikatakan mempunyai telefon bimbit peribadi, malah anak-anak yang masih bersekolah juga sudah dibekalkan dengan telefon bimbit. Mereka ini diberi oleh keluarga mereka telefon itu bagi memudahkan mereka berhubung.

Matlamat pemberian telefon ini adalah baik, untuk membuat pemantauan di mana anak mereka berada. Apa yang membimbangkan ialah apabila kemudahan itu disalahgunakan.

SMS berbentuk provokasi mudah mengundang kehadiran ramai orang untuk menghadiri perhimpunan seperti itu, meskipun orang pertama yang menghantarnya mungkin ‘main-main’. Orang seperti ini tidak pernah memikirkan kesan atau implikasi terhadap penyebaran maklumat yang berbahaya ini. SMS seperti ini boleh menyebabkan banyak nyawa terancam.

Dalam, mana-mana perhimpunan, pelbagai kejadian tidak diduga boleh berlaku, terutama jika ia penuh dengan provokasi. Peristiwa 13 Mei 1969 adalah berpunca daripada perhimpunan seperti ini yang penuh dengan provokasi.

Apabila ada pihak cuba menunjuk kehebatan mereka, maka terjadilah cabar mencabar yang akhirnya mencetuskan perbalahan, seterusnya perkelahian sehingga boleh menyebabkan pertumpahan darah.

Dalam keadaan penyebaran SMS dan membendung gejala buruk yang mungkin berlaku, maka pihak berkuasa terpaksa mengambil tindakan pantas untuk memaklumkan kepada orang ramai. Pihak berkuasa terpaksa membuat penjelasan dan memaklumkan kepada umum bahawa sebarang perhimpunan tanpa kebenaran adalah haram.

Sekiranya tidak ada pengumuman mengenainya dibuat, pasti ramai orang yang akan menyertai perhimpunan seperti ini. Malah, dalam konteks penyebaran SMS berhubung perhimpunan di beberapa tempat di bandaraya Kuala Lumpur itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan terpaksa membuat kenyataan yang mengatakan bahawa tidak ada sebarang perhimpunan diadakan.

Seluruh rakyat bersyukur kerana perhimpunan itu benar-benar tidak berlaku dan orang ramai masih patuh kepada peraturan dan undang-undang negara. Bagi mereka yang pernah mengalami zaman darurat atau setidak-tidak perintah berkurung, ia amat meresahkan.

Jika perintah berkurung dikuatkuasakan, semua kegiatan menjadi terbatas dan orang ramai hanya diberi masa untuk membeli barang keperluan. Bagi kaum peniaga, inilah masa yang sangat mereka benci.

Apakah motif penyebar SMS seperti ini? Mereka mungkin suka-suka atau sengaja mahu melihat keadaan di negara ini kelam kabut. Mereka mahu menjadikan negara ini kecoh dan memberi kesempatan kepada anasir luar memainkan peranan mereka.

Lihat sajalah liputan media yang disiarkan di negara asing mengenai keadaan di negara ini yang ditayangkan berulang-ulang sehinggakan orang asing mengatakan keadaan di Malaysia kacau bilau.

Sudah tentu, keadaan ini menakutkan pelancong dan pelabur. Jadi, apa faedahnya mereka berbuat demikian sedangkan ia tidak mendatangkan faedah kepada negara. Bagi surat layang, jumlah penyebarannya mungkin terhad.

Pelakunya terpaksa membuat salinan surat layang berkenaan dan mengedarkannya. Ia mengambil masa menulis nama mereka, kalau ada pun hanyalah menggunakan nama samaran. Tetapi, bagi SMS, pengirimnya lebih mudah dikesan berasaskan nombor telefon yang digunakan.

Ia hanya menjadi sukar jika pengirimnya menggunakan telefon bukan miliknya. Jika ia telefon yang dipinjam, maka pemilik sebenar telefon itu mungkin boleh dianggap bertanggungjawab sedangkan perbuatan itu tidak dilakukannya.

Pengiriman SMS adalah satu teknologi komunikasi yang hebat. Ia boleh menghubungi seseorang untuk memaklumkan sesuatu perkara berfaedah. Ini termasuk kesesakan jalan raya, maklumat mengenai pelbagai perkara dan sebagainya.

Penghantaran SMS boleh dibuat di mana saja. Tidak hairanlah ada yang menghantar SMS sewaktu memandu sedangkan perbuatan itu amat membahayakan dirinya. Meskipun, setiap SMS yang dihantar ada kos yang perlu dibayar tetapi ia adalah sesuatu keperluan yang amat menarik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah pun memberi amaran tegas bahawa kerajaan akan mengambil tindakan tegas, termasuk mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), terhadap pihak yang menyebarkan khabar angin menerusi SMS.

Tentunya rakyat setuju dengan tindakan itu kerana perbuatan pihak menyebarkan khabar angin, boleh menimbulkan suasana tidak selesa serta menjejaskan hubungan kaum.

Datuk Dr Mohd Radzi Abdul Latif ialah Presiden Yayasan Kajian dan Strategi Melayu (YKSM)

Diperoleh dari Berita Harian Online

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: