Sehening Kalbu

Kelana Berlandaskan Hati, Percaya Mengikat Diri…

Cabaran pramugari haji

Posted by anakkawi on December 19, 2007

**Orang bukan Islam pon faham betapa pentingnya ke Makkah bagi menunaikan Fardhu Haji. Kita sebagai orang Islam tanamkanlah niat untuk pergi haji itu…

Diperoleh dari Berita Harian Online

Oleh Halina Mohd Noor


Anak kapal bukan Islam cerita pengalaman menarik bawa penumpang pergi dan balik dari Makkah

IBADAT haji dan korban bukan saja dihayati seluruh umat Islam tetapi turut dirasai kebesarannya oleh golongan bukan Islam di negara ini. Paling merasainya adalah pramugari dan anak kapal yang membawa jemaah haji pergi dan balik dari Makkah.

Bagi kebanyakan pramugari kapal haji yang hanya menjalankan tugas setahun sekali ini, penerbangan itu adalah yang paling menarik dan membawa makna tersendiri.


“Apa yang saya tahu, ia adalah penerbangan penuh kesucian. Mereka ke tanah suci untuk berada lebih dekat kepada Tuhan dan kami pula membawa mereka kepadaNya (tuhan),” kata Miko atau nama sebenarnya, Ng Siew Yen, 33.

Gadis beragama Buddha yang berasal dari Kuala Lumpur ini sudah tiga tahun menyertai penerbangan yang membawa bakal haji ke Makkah. Sebelum ini, Miko yang sudah berumah tangga, bekerja sebagai pramugari di Penerbangan Malaysia dan mula menyertai kapal haji sejak 2001.

“Kapal haji adalah yang paling istimewa jika dibandingkan dengan penerbangan yang pernah saya sertai sebelum ini. Ia mempunyai cabaran tersendiri. Antaranya kami diwajibkan memakai tudung walaupun bukan beragama Islam. Bagaimanapun, ia bukan satu masalah malah ia membuatkan kami lebih selesa berdepan dengan bakal haji. Bagi saya, ia tidak lebih daripada sebahagian pakaian seragam,” katanya.

Menceritakan kembali pengalaman pertama kali memakai tudung, Miko tidak menafikan terpaksa mengambil masa lama untuk bersiap. Bagaimanapun, tudungnya itu sering senget dan beralih ke kiri dan kanan mengikut pergerakannya.

“Sebelum itu kami sudah dilatih cara memakai tudung. Walaupun sudah tiga tahun memakai tudung, tahun ini sajalah yang saya rasakan pertama kali dapat mengenakannya dengan sempurna,” katanya.

Miko mengakui tidak timbul isu memakai tudung khususnya di kalangan keluarga mahupun suaminya. Sokongan mereka yang memahami keperluan tugas sucinya itu secara tidak langsung memberi semangat untuk Miko bekerja dengan hati tenang. Alah bisa tegal biasa, tudung sudah semakin sebati dengannya terutama apabila berada di dalam kapal atau semasa keluar bersiar-siar di Madinah atau Jeddah.

Mengakui tidak begitu memahami konsep haji sepenuhnya, Miko sedar ia adalah ibadat paling penting bagi setiap umat Islam. Jika tidak, masakan mereka perlu bersusah payah menyimpan wang secara berdikit dan terbang berjam lamanya. Justeru, Miko dan rakan setugasnya memastikan setiap penumpang sentiasa selesa dan selamat sepanjang penerbangan ke destinasi dituju.

“Saya merasakan ia adalah sebahagian tanggung jawab kami untuk menjayakan ibadat mereka. Paling penting, mereka sentiasa selesa sepanjang penerbangan. Sebagai anak kapal, kami perlu sentiasa bersedia membantu bakal haji. Tambahan pula, kebanyakan bakal haji tidak berpengalaman menaiki kapal terbang dan kekok untuk menyesuaikan diri dengan suasana di dalamnya,” katanya.

Berkongsi pengalaman serupa dengan Miko, Jane atau nama sebenarnya, Fong Hsu Ching, 31, turut gembira setiap kali menyertai kapal haji. Jane yang masih bujang dan berasal dari Pulau Pinang, menyertai kapal haji sejak tiga tahun lalu selepas menamatkan kontrak sebagai pramugari selama lima tahun dengan MAS.

“Kapal haji sememangnya unik dan memberikan pengalaman paling menarik sepanjang kerjaya sebagai pramugari. Penumpang kapal ini juga lebih istimewa kerana mereka menuju destinasi penting untuk beribadah bagi umat Islam. Justeru, sebagai menghormati tujuan murni mereka, saya tidak kisah bertudung walaupun agak kekok ketika mula-mula memakainya. Malah, kini saya tidak bermasalah memakainya dan berasa cukup selesa,” katanya.

Jane sedar setiap penumpang di bawah jagaannya itu sedang menuju ke rumah Allah. Walaupun dirinya bukan beragama Islam, Jane berbangga kerana dapat menjalankan peranan sebagai anak kapal untuk membantu menjayakan misi mereka. Mungkin kerana mereka tetamu Allah, kebanyakan bakal haji tidak menimbulkan masalah malah cukup bertimbang rasa.

Melayani kerenah penumpang membuatkan Jane dan teman lain sering tersenyum. Banyak kenangan pahit dan manis yang dilaluinya sepanjang pembabitan selama tiga tahun tetapi kebanyakannya cukup mencuit hati.

“Kebanyakan penumpang menghadapi masalah ketika menggunakan tandas. Mereka tidak tahu cara menggunakannya atau membuka pintu tandas. Bagaimanapun, ia masalah lazim yang dihadapi penumpang lain juga terutama yang pertama kali menaiki kapal terbang.

“Sebagai anak kapal, kami perlu sentiasa memeriksa keselamatan dan menenangkan mereka. Antara pengalaman yang tidak dapat dilupa, apabila berdepan penumpang yang tiba-tiba tidak boleh bernafas. Waktu begini memerlukan kami bertindak pantas dengan memberikan rawatan kecemasan seperti oksigen,” katanya.

Sepanjang tempoh haji, Miko dan Jane turut merasakan kegembiraan penumpang terutama apabila mereka selamat mengerjakan ibadat itu. Membawa mereka pergi dan pulang dengan selamat memberikan kepuasan kepada Miko dan Jane serta rakan setugas yang lain. Lebih menggembirakan apabila melihat wajah setiap penumpang yang berseri apabila melangkah ke dalam kapal untuk kembali ke tanah air.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: