Sehening Kalbu

Kelana Berlandaskan Hati, Percaya Mengikat Diri…

Tenaga Pengajar Jua Perlu Belajar

Posted by anakkawi on December 19, 2007

Orang yang mengajar ilmu perlulah jua menyedari kedankaln diri sendiri. Jangan asik salahkan anak murid kerna tidak pandai belajar, namun salahkan juga diri sendiri yang tidak berapa bijak mengajar…

Diperoleh dari Berita Harian Online

Pensyarah muda masih dangkal ilmu

Oleh Siti Suriani Othman

Ahli akademik perlu berhemah buat teguran

ALIRAN di negara kita pada masa sekarang menunjukkan ramai di kalangan pensyarah universiti tergolong daripada golongan muda. Hal ini secara tidak langsung memberi banyak petanda, sama ada baik atau sebaliknya.

Antaranya, keadaan ini menunjukkan kesedaran mengenai kepentingan pendidikan tinggi di kalangan rakyat Malaysia, sehingga ramai yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi selepas ijazah pertama (sama ada peringkat sarjana atau doktor falsafah) yang secara tidak langsung melambangkan pendemokrasian pendidikan semakin berkembang.

Sebaliknya, keadaan ini pernah merisaukan seorang profesor dalam perbualan kami mengenai ‘watak muda’ yang mula membanjiri bidang akademik tanah air. Katanya, hal ini juga memberi isyarat negatif, menunjukkan ramai anak muda hari ini seolah-olah tidak mempunyai pilihan lain lalu menyambung pengajian selepas tamat ijazah pertama.

Dalam hal ini, memandangkan kebanyakan mereka tidak mempunyai pekerjaan, jadi pilihan untuk melanjutkan pelajaran adalah pilihan terakhir dilakukan dengan ‘terpaksa’. Akhirnya, selepas tamat, mereka berjaya juga menjadi pensyarah universiti.

Namun, golongan ini tidak mampu menunjukkan tahap intelektual yang tinggi. Perkara ini tidak berlaku pada zamannya.

Mungkin hal ini ada benarnya, memandangkan ramai graduan hari ini boleh melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana hanya dengan keputusan keseluruhan minimum 3.00. Namun, secara peribadinya, saya tidak begitu setuju dengan pandangan ini memandangkan seseorang yang berjaya menghabiskan pengajian pada peringkat sarjana pastinya mempunyai paling tidak, satu peringkat intelektual yang agak tinggi berbanding mereka yang tidak.

Namun, perbualan dengan seorang rakan yang juga seorang pensyarah muda baru-baru ini membuatkan saya terfikir, mungkin ada benarnya apa yang dikatakan oleh profesor itu. Memang benar, sesetengah daripada kita (golongan pensyarah muda) agak cetek ilmu.

Namun, hal ini biasa memandangkan ilmu perlu diteguk perlahan-lahan dan ia memakan masa lama. Apa yang memburukkan keadaan ialah sesetengah pensyarah muda yang agak terbawa-bawa dengan perasaan, yang kadang kala berasakan diri banyak pengetahuan dan berasa kita lebih hebat daripada orang lain.

Kami membicarakan mengenai penerbitan akademik, misalnya ialah buku penerbitan. Lalu, rakan saya ini memberikan satu tajuk buku kepada saya sebagai cadangan bacaan. Bukunya berbentuk motivasi, terbitan Barat dan bukan buku ilmiah.

Berbanding buku yang pernah saya tulis, Membongkar Rahsia Penulisan Berita Objektif: Pengenalan Kepada Semantik Umum di Malaysia: 2006, dia memberi pendapat buku yang dicadangkan itu jauh lebih baik berbanding buku tulisan saya, dan mempunyai ruang lingkup khalayak yang ramai.

Pendapat ini pada saya amat kelakar! Bukan tidak boleh dikritik, tetapi apa yang jelas, pensyarah muda ini kurang peka dan kurang faham mengenai maksud sebenar penulisan ilmiah. Tambahan lagi, perbezaan yang dilakukannya (antara sebuah buku motivasi dan buku ilmiah) adalah ibarat membezakan ayam dengan lembu.

Memang kedua-duanya adalah buku, tetapi dalam genre yang amat berbeza. Sama sekali tidak akan boleh kita membezakan antara ayam dengan lembu. Ayam lebih baik atau lembu? Masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangan, tetapi sentiasa berada dalam ‘reban’ atau ‘ladang’ sama.

Maksudnya, penerbitan buku apa sekalipun, walaupun dalam bentuk buku komersial atau buku ilmiah sentiasa dilingkungi kovensyen penulisan dan penerbitan buku dalam genre terbabit. Penulisan tidak boleh dilakukan sesuka hati, malah buku tidak akan boleh diterbitkan tanpa mengikut konvensyen penerbitan buku.

Perbualan ini membuatkan saya terfikir, mungkinkah ada pensyarah muda harapan Malaysia yang sedangkal ini fikirannya? Sedangkan, perkara ini jarang berlaku di kalangan akademia yang agak berusia (hal ini mungkin mengiyakan kenyataan profesor tadi), yang kebanyakan saya kenali bersikap seperti resmi padi.

Misalnya, dalam satu persidangan peringkat kebangsaan awal tahun ini di Johor Bahru, saya membentangkan satu kertas kerja yang bukan dalam bidang kepakaran (kewartawanan), tetapi mengenai penulisan ilmiah di Malaysia.

Selepas pembentangan itu, saya disapa oleh seorang profesor emeritus yang turut mendengar pembentangan sesi itu. Beliau menegur satu perkara mengenai kertas kerja itu yang pada saya, jika beliau mahu menunjukkan kehebatan dan statusnya, beliau boleh berbuat demikian di khalayak ramai dan saya dimalukan.

Tetapi, itu bukan sifat orang yang bijak serta pandai membawa diri. Biarpun teguran itu berfakta, ia tetap dilakukan dengan berhemah. Berbeza dengan rakan tadi, sudahlah tidak berfakta, tidak pula berhemah. Sekali lagi, kenyataan profesor tadi semakin benar dalam hati saya.

Perkara ini bukan kecil kepada semua pensyarah muda. Sebelum mengkritik apa saja, perlulah penuhkan ilmu di dada. Misalnya, penerbitan ilmiah dalam bentuk piawaiannya terdiri daripada esei, kertas kajian, tesis, kertas persidangan, artikel kajian, abstrak, bab dalam buku, buku serta hasil terjemahan.

Itu adalah antara bentuk penerbitan ilmiah yang biasa di kalangan ahli akademik. Berbanding buku komersial, pastinya ruang lingkup perbincangan adalah lebih fokus kepada bidang ilmu yang dibincangkan, sekali gus mengurangkan jumlah sasaran khalayak.

Hal ini dimaklumi semua ahli akademik, bahkan hal ini pernah dibincangkan dalam satu bengkel penerbitan ilmiah yang dibawakan Prof Madya Dr Hamedi dari Universiti Malaya mengenai betapa buku ilmiah kurang mendapat sambutan.

Bahkan, untuk mencapai jualan sehingga 500 naskhah pun belum tentu. Pastinya, jika perbandingan dibuat antara prospek buku ilmiah dan buku komersial, ia bukan perbandingan setara.

Sifat kurang ilmu, tetapi suka bercakap tanpa asas sepatutnya dielakkan pensyarah muda. Perbuatan sebegini bukan hanya merosak imej peribadi pensyarah, malah secara tidak langsung tahap ilmunya dipersoal serta mencalar imej organisasi.

Malah, satu penulisan saya (dalam Berita Harian 2007) mengenai kebanyakan kita yang begitu payah untuk beratur di tandas awam juga pernah ditegur sinis ahli akademik. Buat apalah pensyarah tulis mengenai tandas!

Pada saya, sikap beratur di tandas awam membawa implikasi falsafah etika penting. Ia penting, namun agak susah untuk diterangkan kepada masyarakat umum mengenai kepentingannya. Ia juga tidak dijadikan satu amalan yang dilihat penting kebanyakan kita.

Namun, di sebalik persoalan yang nampak mudah ini, tersirat falsafah amat tinggi. Misalnya, kenapa hal ini tidak berlaku di negara Barat? Pemerhatian sepanjang beberapa bulan di United Kingdom menunjukkan, setiap individu beratur di kaunter walaupun hanya ada seorang lain di hadapannya.

Hal ini boleh dikaji dalam bentuk lebih mendalam dan menjurus kepada bidang ilmu tertentu seperti melihat kepada falsafah di sebalik ketidakakuran ini, misalnya dalam konteks falsafah Timur dan Barat atau mengkajinya dalam kajian bidang sosiologi atau psikologi.

Tetapi, hasil kajian ini nanti terbatas dan istilahnya kurang difahami masyarakat massa. Justeru, akhbarlah satu-satunya ruang untuk menyalurkan idea itu dengan cepat, sasaran yang tepat dan dengan bahasa difahami semua.

Sekali lagi, bercakaplah apabila berilmu, tidak perlu mengaku semua tahu. Moga tulisan ringkas ini boleh membuka mata dan pastinya tidak semua pensyarah muda begini.

Penulis ialah pensyarah di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia yang kini melanjutkan pelajaran pada peringkat PhD di United Kingdom.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: