Sehening Kalbu

Kelana Berlandaskan Hati, Percaya Mengikat Diri…

Aidiladha titik demografi Islam

Posted by anakkawi on December 21, 2007

Oleh HAPPIS BASHA

AIDILADHA yang disambut oleh seluruh umat Islam hari ini memanifestasikan kepada seluruh pelosok dunia betapa pentingnya demografi Islam dalam memperkukuhkan segala bentuk hubungan sosial yang positif di antara sesama manusia, malah hubungan spiritual, mental, dan fizikal dengan Maha Pencipta.

Aidiladha yang disambut setiap tahun bukan sahaja membangkitkan kemeriahan, malah kaum Muslimin dan Muslimat juga harus memperbaharui azam, mempertingkatkan cita-cita, mencari kebahagiaan, menempa kemajuan untuk agama, bangsa, tanah air dan mempereratkan lagi perhubungan yang universal.

Bagi mencapai matlamat tersebut, pengorbanan amat diperlukan oleh umat Islam bagi membangunkan kecerdasan spiritual dalam memberi makna ibadah terhadap setiap perilaku dengan langkah-langkah pemikiran bersifat fitrah, menuju manusia yang seutuhnya, berusaha memiliki pola pemikiran integralistik (tauhid), dan berprinsip ‘hanya kerana Allah s.w.t’.

Dengan pengorbanan jiwa, manusia dapat mengenali dan mendidik diri sentiasa menjadi seseorang yang tabah menghadapi segala ujian Ilahi. Ini perlu digabungkan dengan menggerakkan prinsip mentaliti dengan kesan pijakan dasar yang bertunjangkan ‘nalar’ (pemikiran yang dapat membezakan yang baik dan buruk) bagi mencerna unsur-unsur penting dalam melakukan anjakan paradigma dan menerapkan nilai-nilai positif.

Aidiladha bukanlah sekadar perayaan untuk bersukaria, ia merupakan suatu ibadah korban yang banyak memberi manfaat kepada semua golongan yang melakukan korban atau menerima bahagian korban tersebut. Ibadah ini juga membuktikan keikhlasan dan ketaatan kita terhadap perintah Allah s.w.t. Bahkan secara tidak langsung, ia juga dapat membuahkan perasaan persaudaraan sesama umat Islam. Ini dapat dilihat jurangnya antara golongan bangsawan dengan golongan bawahan yang akan bersua titik pertemuannya sekali gus menghapuskan sifat sombong dan riak daripada jiwa bangsawan dan menghilangkan perasaan iri hati dan dengki di dalam hati golongan bawahan.

Zakat yang disumbangkan oleh golongan bangsawan akan membawa manfaat, apabila doa fakir miskin diperlihatkan rahmat-Nya kepada mereka di akhirat kelak. Di sini terserlah kejernihan cahaya keindahan ajaran Islam yang berputik di sebalik perintah yang telah ditetapkan Allah s.w.t.

Apa yang penting di sini, kita sebagai umat Islam perlu berkorban memiliki ketelusan hati dan kerangka pemikiran yang jernih lagi terancang bagi menyerap ciri-ciri tersebut lalu menolak sebarang kekusutan yang merangkumi pelbagai perkara yang batil. Allah s.w.t amat menekankan aspek perpecahan ummah sebagai sesuatu yang negatif dan menjadi satu kemurkaan-Nya di mana gejala ini mampu meruntuhkan sesebuah tamadun.

Lantaran itu, ukhuwah Islamiah amat diperlukan bagi mempertingkatkan persefahaman dan keserasian perpaduan serta kasih sayang di antara golongan bangsawan dengan golongan bawahan. Bagi mempraktikkan ukhuwah memang hanya akan dapat terwujud apabila masyarakat sudah mampu memiliki dan menghayati prinsip-prinsip tasamuh (toleransi), sekali gus terbuka untuk melakukan tausiyah (saling mengingatkan).

Retrospektif Aidiladha yang menggambarkan betapa pentingnya pengorbanan jiwa Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail kepada perintah Allah s.w.t . Dengan bersandarkan kesabaran dan kekuatan spiritual ini, maka Allah s.w.t memerintahkan agar penyembelihan anaknya digantikan dengan haiwan diikuti dengan pembinaan Baitullah oleh Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail yang mempertemukan seluruh umat Islam di dunia di Kota Suci Mekah.

Walaupun hari ini berlaku kepesatan demografi yang kian memuncak, namun kehadiran Aidiladha tetap mempertemukan jejak langkah daripada pelbagai masyarakat Islam menuju ke Baitullah sujud kebesaran Ilahi bagi menunaikan ibadah haji. Dengan hikmah dan kelebihan yang tersendiri daripada matlamat pengabdian manusia semata-mata kepada Allah s.w.t, termaktub seperti yang disebutkan dalam al-Quran itu. Firman Allah Taala yang bermaksud :”Dan (ingatlah) Aku (Allah) tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku”. (Surah Az-Zariyat: 56).

Pengorbanan para nabi, para sahabat membuktikan bahawa pengorbanan tetap akan sealiran dengan orang-orang beriman dan bertakwa bagi mempersiapkan diri untuk berkorban. Berkorban masa, tenaga, ilmu, harta, wang ringgit, jiwa raga, fikiran, hatta berkorban kepentingan ummah dan juga perasaan. Dan berbagai-bagai lagi rupa bentuk pengorbanan lain. Inilah gambaran rupa sebenar ‘sejuta wajah’ kehidupan orang-orang yang beriman. Mereka termasuk golongan orang-orang yang benar-benar berkorban dan berjihad.

Berjihad (mentarbiahkan diri) dan berkorban demi untuk mencapai kemajuan, kejayaan, kebahagiaan hidup yang diredai Allah s.w.t di dunia dan juga di alam akhirat nanti. Walaupun kehidupan manusia di muka bumi ini amat terbatas sejak dilahirkan mahupun sehingga hari kematiannya, manusia tidak dapat hidup tanpa bantuan orang lain.

Begitu juga Nabi Ibrahim yang memerlukan anaknya bagi pembinaan Baitullah, Nabi Adam yang memerlukan Hawa, apatah lagi kita insan yang lemah ini.

Bukankah Islam itu menganjurkan persaudaraan? Mengambil kita hakikat yang sebenar, demografi ini seharusnya diteruskan oleh umat Islam bukan hanya dengan menunggu kehadiran Aidiladha, tetapi setiap masa harus mengadakan pelbagai rancangan sosial yang positif yang akhirnya akan mempertemukan sebuah titik revolusi yang bertamadun daripada pelbagai aspek pada dunia Islam.

Diperoleh dari Utusan Malaysia Online

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: