Sehening Kalbu

Kelana Berlandaskan Hati, Percaya Mengikat Diri…

Bahan natrium benzoat selamat dimakan

Posted by anakkawi on December 21, 2007

SAYA merujuk kepada kenyataan Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia (siaran 15 Disember) mengenai penggunaan natrium benzoat yang boleh menyebabkan penyakit.

Kementerian Kesihatan Malaysia merasakan perlu untuk memaklumkan kepada pengguna di negara ini akan status semasa bahan tersebut iaitu asid benzoik (AB) atau garamnya seperti natrium benzoat – satu bahan awet yang telah lama diluluskan penggunaannya bagi industri makanan dan minuman untuk membantut kerosakan dan mengekalkan rasa.

Bahan ini telah dibenarkan oleh Codex Alimentarius Commission, sebuah badan di bawah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) yang bertanggungjawab menyediakan dan membangunkan standard makanan, garis panduan dan kod amali yang berkaitan di bawah Joint FAO/WHO Food Standards Programme.

Natrium benzoat telah dibenarkan di banyak negara seperti Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat, Australia, Kanada, Jepun dan negara-negara di Asia termasuk Malaysia dan negara serantau ASEAN.

Ia telah digunakan sebagai bahan awet lebih dari 100 tahun. Bahan awet yang digunakan dalam produk makanan kita adalah selamat dan tiada kesan negatif kepada kesihatan jika ia dimakan pada kadar biasa.

Kesan sampingan yang dilaporkan bagi asid benzoik ialah iritasi pada mata dan kulit, dan ia boleh menambah buruk simptom alergi bagi mereka yang ada penyakit urticaria, asma dan rhinitis. Bagi kes yang teruk ia boleh menyebabkan kejutan anaphylactik.

Mengikut Food Standards Australia New Zealand (FSANZ): “Buat masa ini tiada bukti klinikal yang menyarankan pengambilan makanan yang tinggi kandungan sulphite dan benzoat boleh menyebabkan kesan sampingan kepada orang ramai”.

Pihak Joint FAO/WHO Expert Committee on Food Additives (JECFA) juga telah membuat kajian ulangan ke atas keselamatan natrium benzoat dan telah menyatakan “Dari data yang ada, telah mencukupi akan kurangnya bukti untuk menyebabkan kanser (carcinogenicity) dan kurangnya bukti toksik untuk pertumbuhan dan reproduktif”.

Pada Mei 2006, Kementerian Kesihatan telah menjalankan satu penilaian risiko ke atas asid benzoik dalam makanan di Malaysia dengan bantuan pakar penilaian risiko dari FAO. Penilaian risiko ini dijalankan kerana kami menyedari akan meluasnya penggunaan asid benzoik dalam makanan seperti sos dan minuman ringan termasuk kordial. Penilaian ini berdasarkan andaian tahap maksimum yang dibenarkan sehari (ADI) iaitu 5mg/kg berat badan (JECFA 1996) (Nota: ADI-Allowable Daily Intake- satu anggaran bagi sesatu bahan itu boleh dimakan setiap hari dan sepanjang hayat seorang manusia tanpa menunjukkan risiko yang signifikan ke atas kesihatannya berdasarkan bukti saintifik semasa).

Kajian itu menunjukkan pendedahan menyeluruh (total exposure) bagi asid benzoik daripada makanan ialah 68.2 peratus ADI bagi penduduk Malaysia yang normal.

Bagi sos, asid benzoik menyumbangkan 5 peratus ADI dan penyumbang utama ialah kicap (3% ADI). Dengan menganjurkan pengambilan yang ekstrem kepada persentil 97, pengambilan asid benzoik daripada sos keseluruhannya hanyalah 22 peratus ADI sahaja.

Dan bagi pendedahan kepada minuman ringan, berdasarkan standard maksimum yang dibenarkan iaitu 350mg/kg atau bsj (bahagian sejuta) , pendedahannya (mean exposure) ialah 26.11 peratus ADI.

Oleh kerana risiko dari pengambilan semasa dalam masyarakat kita yang jelas di bawah ADI yang diterima, Kementerian Kesihatan akan terus membenarkan penggunaan asid benzoik dan garamnya sebagaimana yang termaktub dalam Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Bagi hasil kajian yang dinyatakan oleh CAP, kita akan terus memantau dan mengkaji keputusan dari badan-badan penggubal standard makanan yang lain sebelum kita mengubah langkah dan haluan.

Kementerian Kesihatan akan terus mengambil tindakan ke atas pengusaha yang tidak bertanggungjawab menggunakan bahan awet yang berlebihan. Pada tahun 2006, dari 538 minuman ringan yang di analisis di seluruh negara, 20 sampel (3.7%) telah didapati melanggar standard dalam Peraturan-peraturan Makanan 1985. Dan sehingga Ogos 2007, sebanyak 388 sampel yang sama telah diambil dan 16 sampel (4.12%) didapati melanggar. Tindakan undang-undang telah dan sedang diambil.

– DR. ABD RAHIM,

Pengarah Bahagian Keselamatan dan Kualiti

Makanan, Kementerian Kesihatan, Putrajaya.

Diperoleh dari Utusan Malaysia Online

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: