Sehening Kalbu

Kelana Berlandaskan Hati, Percaya Mengikat Diri…

Berkorban untuk kemakmuran negara

Posted by anakkawi on December 21, 2007


Oleh MUHAMMAD HISYAM MOHAMAD

SYARIAT ibadah korban sempena perayaan Aidiladha atau Hari Raya Haji adalah bersusur galur kepada peristiwa pengorbanan agung yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s ke atas anaknya Nabi Ismail a.s.

Dengan kata lain, peristiwa korban yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s menjadi asas kepada syariat ibadah korban yang dilakukan oleh umat Islam pada Hari Raya Korban yang sedang kita raikan ini. Hal ini juga secara tak langsung menjadikan semangat untuk berkorban teras utama yang mendukungi sambutan Aidiladha.

Apa sebenar yang dapat kita pelajari daripada kepatuhan Nabi Ibrahim a.s kepada Allah s.w.t dan ketaatan nabi Ismail terhadap permintaan ayahandanya untuk mengorbankan beliau atas perintah Allah s.w.t?

Apa pula teladan yang dapat kita ambil daripada kerelaan dan keredaan seorang ibu yang bernama Siti Hajar terhadap ketentuan Ilahi yang terpaksa ditempuhnya berikutan perintah Allah s.w.t tadi ke atas suami dan anakandanya?

Jika ini berlaku ke atas kita, sejauh manakah pengorbanan yang dapat kita berikan? Tugas yang diamanahkan kepada Nabi Ibrahim dalam suasana dunia sekarang adalah sesuatu yang amat sukar untuk dilaksanakan oleh mana-mana orang perseorangan. Cuba kita bayangkan, adakah kita sanggup kehilangan sesuatu yang kita sayangi demi kepentingan orang lain?

Dalam dunia sekarang tidak ramai yang sanggup berkorban demi menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan. Sebab itulah kita sering membaca dan mendengar kejadian-kejadian yang dikaitkan dengan salah laku manusia, terutamanya di kalangan mereka yang memimpin pertubuhan atau syarikat, baik pertubuhan yang bersifat keuntungan mahupun yang wujud atas dasar untuk menjaga kebajikan ahli.

Dalam pertubuhan yang berpaksikan kepada keuntungan, ketiadaan unsur pengorbanan yang sejati dapat dilihat melalui kepincangan di dalam lembaran untung rugi syarikat. Berapa ramai pemimpin syarikat semasa zaman kegawatan ekonomi dahulu yang menguburkan syarikat yang mereka terajui tanpa batu nisan lantaran kegagalan mereka mengorbankan sifat tamak dan haloba apabila berhadapan dengan urusan kewangan syarikat?

Tanpa memikirkan soal kebajikan pekerja dan keluarga mereka, kepentingan kewujudan syarikat kepada ekonomi negara dan sumbangan syarikat tadi kepada kemakmuran masyarakat, mereka sanggup mengorbankan nilai tadbir urus yang baik yang sepatutnya dipatuhi demi memastikan kepentingan diri sendiri dipenuhi.

bagi pertubuhan bukan berlandaskan kepada keuntungan pula, ketiadaan nilai pengorbanan pendukungnya dapat dilihat melalui perebutan kuasa atau pucuk pimpinan ataupun melalui kewujudan puak-puak yang tertentu di dalam pertubuhan tadi.

Semua ini berlaku apabila mereka yang memegang tampuk pengurusan atau pentadbiran tadi tidak mengerti faham pengorbanan yang perlu dilakukan apabila menjawat sesuatu jawatan dalam sesebuah pertubuhan.

Sepatutnya mereka berkorban untuk kepentingan badan yang dipimpin, berkorban untuk agama dan ummah. Akan tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Mereka mengorbankan kepentingan umum untuk kepentingan peribadi.

Begitu jugalah halnya dalam parti-parti siasah di negara kita di mana barisan kepimpinan parti menjadi rebutan ramai. Mereka berebut bukan kerana ikhlas ingin mencapai matlamat utama yang digariskan oleh parti terbabit sebagaimana yang dilakukan oleh pengasas atau pelopornya terdahulu, tetapi kerana adanya nilai kebendaan yang dapat dikaut daripada jawatan yang disandang.

Gejala ketandusan unsur pengorbanan ini tidak hanya terhad di dalam pertubuhan bersifat keuntungan dan kebajikan sahaja, malah turut melibatkan bahagian perkhidmatan awam. Rungutan yang berkaitan dengan ketidakcekapan perkhidmatan merupakan satu perkara biasa yang kita dengar walaupun ia sudah mulai berkurangan. Ini secara tidak langsung menggambarkan bahawa masih ramai lagi yang tidak menghayati cogan kata “Berkhidmat Untuk Negara” yang sekali gus menunjukkan masih ada lagi segelintir kakitangan perkhidmatan awam yang tidak sanggup berkorban untuk kesejahteraan ramai.

Dalam usaha kita memakmurkan negara yang dicintai, unsur pengorbanan tidak boleh diketepikan sama sekali.

Malah kita semua – baik yang berkedudukan mahupun tidak, sama ada golongan atasan atau orang biasa – berkorbanlah untuk kesejahteraan negara.

* PENULIS ialah penyelidik di Pusat Ekonomi dan Kajian Sosial, Institut Kefahaman Islam Malaysia.

Diperoleh dari Utusan Malaysia Online

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: