Sehening Kalbu

Kelana Berlandaskan Hati, Percaya Mengikat Diri…

Pemimpin impian rakyat

Posted by anakkawi on December 21, 2007


Oleh ANUAR AHMAD

PILIHAN raya umum pasti akan diadakan tidak lama lagi, cuma tarikh sebenar masih belum diilhamkan oleh Perdana Menteri. Semua lapisan masyarakat menunggu tarikh untuk menunaikan tanggungjawab menentukan kepimpinan negara untuk tempoh lima tahun akan datang.

Wakil rakyat yang sedang memegang jawatan dan juga yang cuba-cuba untuk dinamakan sebagai calon tentulah kumpulan paling sibuk ketika ini. Bagi yang sedang memegang jawatan istimewa ini, kalau dulu kelibat mereka sukar dilihat melawat kawasan, kini berjemaah Jumaat atau ke majlis keagamaan adalah satu kemestian.

Kalau dulu para pengundi dan penyokong mengadu dan bercakap melalui wakil khas bagi pihak yang berhormat, kini para pengundi boleh terus menelefon ke telefon bimbit jika ada sebarang aduan dan persoalan.

Banyak projek dan program dijanjikan semasa pilihan raya empat tahun yang lepas kini sedang dilaksanakan dengan giatnya, begitu juga dengan program kemasyarakatan yang disusun penuh sepanjang tempoh ini. Program gotong-royong, motivasi untuk anak-anak pengundi, penyerahan hadiah-hadiah kecemerlangan di dalam bidang sukan dan akademik diadakan di merata-rata kawasan.

Bagi para peramal pilihan raya, sekarang adalah masa yang lebih sibuk daripada biasa. Mereka biasanya adalah di kalangan pakar-pakar bidang politik dan sosiologi, tidak ketinggalan para bomoh dan dukun yang sering mengikuti dengan dekat perkembangan pilihan raya negara. Kedai kopi seperti biasa, akan mula dipenuhi dengan pelbagai topik hangat, sensasi yang tidak diketahui kebenarannya. Tapi itulah tanda-tandanya pilihan raya semakin hampir menjelma.

Para penganalisis yang tulen ataupun jadian ini akan mula sibuk memberikan pelbagai versi ramalan pilihan raya akan datang. Ramalan-ramalan ini pada kebiasaannya akan menggembirakan hati yang berhormat tetapi adakalanya juga menggusarkan hati para wakil rakyat yang tidak yakin dengan dirinya.

Pelbagai perkara yang membimbangkan ini biasanya akan sampai pada telinga ahli wakil rakyat yang sanggup mendengar seperti parti lawan semakin kuat bekerja, sokongan calon parti lawan semakin menyerlah, ramai rakan-rakan sudah lari dan tidak lagi mahu memberikan sokongan dan sebagainya. Itu semua adalah ragam dan pesona pilihan raya yang tak pernah berubah sejak dahulu lagi. Tetapi masyarakat umum telah banyak yang berubah. Berubah pemikiran dan juga cara melihat sesuatu. Pendidikan yang dilalui membawa banyak perubahan di dalam kehidupan masyarakat di negara ini.

Masyarakat Malaysia selepas 50 tahun merdeka, telah melalui berbagai rempah ratus dan ujian berkaitan pilihan raya. Rakyat sudah matang untuk memilih dan menentukan siapakah wakil rakyat pilihan mereka. Mereka inginkan negara yang amal, stabil dan makmur. Tinggal lagi ada ketikanya mereka sedikit ragu-ragu apabila wujud isu-isu yang melanda ahli politik negara kita.

Skandal penyalahgunaan kuasa, rasuah, tidak memberikan komitmen sebagai wakil rakyat, hinggalah cara kurang sopan wakil rakyat berbahas tentang sesuatu isu di Parlimen banyak menimbulkan rasa benci dan meluat di kalangan rakyat.

Adalah salah kalau katakan masyarakat tidak endah dengan hal sedemikian, malah semakin hari perhatian masyarakat kepada isu-isu sebegini semakin tinggi. Sebagai contoh, bukan sekali isu perkauman dimainkan oleh ahli politik sama ada di kalangan wakil rakyat, tetapi rakyat matang mengendalikan perasaan dan emosi mereka. Jelas rakyat Malaysia matang tetapi jika tidak diuruskan dengan baik kematangan ini akan hilang dan malang jika diganti dengan perasaan amarah dan prejudis.

Selepas ekonomi negara berkembang secara positif lebih lima dekad yang lalu, sudah ramai rakyat negara ini hidup lebih baik berbanding generasi sebelum merdeka. Dianggarkan pada tahun 2020 hampir lebih 70 peratus rakyat negara ini akan berada di dalam kumpulan kelas menengah.

Pada masa kini pun jumlah kumpulan ini sudah semakin membesar dengan begitu cepat sekali hasil perkembangan ekonomi negara. Kumpulan ini sama ada merupakan tenaga kerja mahir berpendidikan tinggi, tinggal di rumah-rumah yang selesa sama ada di kampung atau di bandar, mempunyai cita rasa tinggi terhadap tabiat pemakanan, trend berpakaian dan bentuk pengangkutan harian mereka.

Berbeza dengan kumpulan ekonomi rendah dan kumpulan ekonomi elit/tinggi, kumpulan menengah merupakan kumpulan pengundi yang paling ramai di dalam masyarakat. Menariknya mereka merupakan kumpulan yang paling sukar diramal kecenderungan sokongan politik di dalam pilihan raya. Mereka tanpa berselindung lebih cenderung untuk menyokong kumpulan parti yang dapat memenuhi tuntutan, kehendak dan keperluan mereka. Kumpulan ini lantang dalam menuntut hak mereka.

Jelas sekali dalam pilihan raya yang akan datang, kumpulan menengah merupakan kumpulan yang harus diteliti secara mendalam oleh parti yang bertanding. Kumpulan ini adalah kumpulan rakyat yang terpelajar, mereka membaca dan menilai prestasi wakil rakyat untuk sepanjang tahun dan bukan di saat-saat akhir sebelum pilihan raya. Mereka tahu dan terdedah kepada perbincangan isu-isu arus perdana dan begitu berorientasi kewangan. Oleh sebab itu, isu seperti kenaikan harga minyak, kenaikan tol dan harga barangan, kos pendidikan kesihatan serta kos pengangkutan yang semakin mahal sering kali menarik perhatian utama mereka. Isu penyelewengan dan salahguna kuasa serta rasuah juga sangat sensitif kepada golongan ini. Isu agama walaupun penting bagi kumpulan ini tetapi tindakannya lebih bersifat dari perspektif individu dan bukannya kolektif.

Bagi mereka, seseorang wakil atau calon yang dipilih untuk mewakili mereka mestilah mempunyai rekod yang bersih rasuah, benci kepada budaya berpoya, tidak bercakap hal yang remeh-temeh di Parlimen. Mereka inginkan wakil rakyat yang berpendidikan tinggi, profesional, imej yang bersih dan berintegriti tinggi, selalu muncul di media elektronik dan juga akhbar-akhbar membuat kenyataan positif dan memberikan pandangan yang bernas tentang perkata yang bersangkutan dengan masalah rakyat di Parlimen.

Wakil rakyat masa depan memastikan orang yang kuat membaca, mempunyai idea yang mendahului masyarakat setempat, tidak membabitkan dengan sebarang bentuk perkara yang terdedah kepada unsur rasuah dan salah guna kuasa. Masyarakat masa depan juga semakin benci dengan pemimpin yang menggunakan isu- isu perkauman untuk mendapat sokongan rakyat.

Wakil rakyat yang sedang berkhidmat adakala begitu lantang di Parlimen dalam membicarakan sesuatu hal tetapi kelantangan bersuara jelas tidak disusuli dengan hujah perdebatan yang matang. Pada banyak ketikanya mereka lebih suka berseloroh dan berhujah tanpa fakta kajian bersama. Pada yang berhormat, teruskan khidmat dengan sempurna, rakyat pasti menilai dengan teliti untuk mengundi dalam pilihan raya yang semakin hampir, selamat berjaya para yang berhormat.

* ANUAR AHMAD merupakan pensyarah Sosiologi Pendidikan di Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Diperoleh dari Utusan Malaysia Online 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: