Sehening Kalbu

Kelana Berlandaskan Hati, Percaya Mengikat Diri…

Soal Jawab Berkenaan Korban

Posted by anakkawi on December 21, 2007

Afdal menyaksikan binatang sewaktu dikorbankan

SOALAN 1:
Dalam kita melaksanakan ibadah korban, kaedah yang manakah lebih afdal. Menyaksikan sendiri sembelihan lembu korban atau menggunakan kaedah yang paling popular kini iaitu menyalurkan sejumlah wang korban kepada agen-agen yang mengendalikan agihan daging korban di luar Malaysia?

JAWAPAN:
Ibadah korban merupakan salah satu ibadah yang mendekat diri seseorang itu kepada Allah s.w.t. Ini jelas dalam firman Allah yang bermaksud: Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keredaan) Allah, tetapi ketakwaan dari kamulah yang dapat mencapainya.

Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya kepada kamu. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik. (al-Hajj: 37 ).

Ibadah korban adalah manifestasi kepada keimanan seseorang kepada Allah s.w.t. Islam tidak menghalang seseorang yang ingin berkorban memindahkan bahagiannya keluar dari daerahnya atau negerinya atau negaranya. Sebenarnya tiada halangan.

Namun, jangan sampai kita memindahkan bahagian kita sedang masih ada di kalangan masyarakat kita yang memerlukan manfaat daripada ibadah korban. Jika masyarakat di negara kita ada yang memerlukan maka afdalnya melakukan ibadah korban di negara sendiri.

Kadang-kadang ada yang salah faham dengan menafikan keperluan ibadah korban di sesetengah tempat dengan alasan “kawasan ini orang kaya ramai tiap-tiap hari makan daging, tak perlu buat korban di sini, kalau buat pun orang di sini tak hairan dengan daging korban”.

Islam memerintahkan kita melakukan ibadah korban bukan semata-mata untuk makan dagingnya tetapi menghidupkan syiar Islam pada hari kebesaran Islam.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud: Supaya mereka menyaksikan berbagai manfaat bagi mereka dan supaya mereka menyebut nama Allah pada hari yang Telah ditentukan atas rezeki yang Allah telah berikan kepada mereka berupa binatang ternak. Maka makanlah sebahagian daripadanya dan (sebahagian lagi) berikanlah untuk dimakan orang-orang yang sengsara dan fakir. (al-Hajj:28 ). Amalan korban adalah syiar islam, ini jelas dalam firman-Nya yang bermaksud: Demikianlah (perintah Allah). Dan barang siapa mengagungkan syiar-syiar Allah, maka sesungguhnya itu timbul dari ketakwaan hati. (al-Hajj: 32).

Orang yang berkemampuan dituntut dengan tuntutan sunat muakkad, supaya mengorbankan binatang korban. Hikmahnya supaya dengan ibadah korban tersebut dapat membuang sifat-sifat yang tercela, dengan percikan darah daripada binatang korban memperoleh keampunan Allah s.w.t.

Sebaik-baiknya orang yang melakukan korban itulah yang sepatutnya menyembelih. Namun, jika tidak mampu boleh diwakilkan kepada orang lebih arif dan warak. Sebaik-baiknya orang yang melakukan ibadah korban menyaksikan binatang itu ditumbangkan.

Maksudnya, falsafah ibadah korban bukan mengagih daging korban semata-mata malahan mendidik orang yang melakukan ibadah korban itu sendiri.

SOALAN 2
Saya difahamkan seekor lembu boleh dibahagikan kepada tujuh bahagian. Tetapi saya keliru tentang bilangan pembahagian korban?

JAWAPAN:
Dalam ibadah korban seekor lembu harus dikongsikan oleh tujuh orang. Sama ada seorang satu bahagian atau seorang dua bahagian dan sebagainya.

Sekiranya seekor lembu disertai tujuh orang maka pembahagiannya ialah seorang satu bahagian. Bilangannya ialah sekiranya daging lembu selepas disembelih dah dilapah beratnya 100 kilogram (kg), maka dibahagikan dengan tujuh jadilah seorang dapat lebih kurang 14 kg. Ini bererti setiap seorang bahagiannya 14 kg. Daripada 14 kg itu 1/3 boleh diambil oleh peserta korban atau lebih kurang 4.5 kg. Dan yang lebihnya hendaklah diagihkan kepada fakir miskin dan orang yang memerlukannya.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud: Maka makanlah sebahagian daripadanya dan (sebahagian lagi) berikanlah untuk dimakan orang-orang yang sengsara dan fakir. (al-Hajj: 28).

Kebiasaannya masjid atau surau akan menganggarkan berat daging korban dan mengagihkannya pada peserta korban dan kepada fakir miskin serta petugas ibadah korban.

Adalah lebih baik orang yang menyertai ibadah korban menyerahkan pengurusan daging korban itu kepada ahli jawatankuasa korban.

Sebarang soalan untuk ruangan Kemusykilan Agama boleh dihantar melalui e-mel ke agama@utusan.com.my atau ke Ruangan Agama, Utusan Malaysia, 46M, Jalan Lima, Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur. Faks: 03-9222 4967

Diperoleh dari Utusan Malaysia Online

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: