Sehening Kalbu

Kelana Berlandaskan Hati, Percaya Mengikat Diri…

Bersikap adil dalam penilaian

Posted by anakkawi on December 22, 2007

Posted by : zain-ys on Sunday, October 21, 2007 – 02:41 AM CCT dalam al-ahkam.net.

 

“Ada orang tuduh Perlis wahhabi. Apabila ditanya, apa itu wahhabi? Dia gagal memberi jawabannya. Ada kata wahabi macam Arab Saudi. Saya katakan: Bukan semua fatwa Perlis sama macam Arab Saudi. Wanita di Perlis umpamanya, tidak diwajibkan berpurdah. Ada yang kata kerana Perlis terima ketokohan Muhammad bin Abdul Wahhab, tokoh reformis Saudi. Saya kata: Perlis mengiktiraf kesemua mereka yang menyumbang untuk umat Islam, sama ada Muhammad bin Abdul Wahhab, atau Muhammad ‘Abduh atau Ibn Taimiyyah atau al-Ghazali atau imam-imam yang empat atau selain mereka..”

Bersikap adil dalam penilaian

Bersikap adil terhadap kawan dan lawan amatlah sukar. Namun itulah tuntutan Islam yang agung ini. Hati manusia biasanya apa berpihak kepada orang yang disukai, sekalipun dia di pihak yang salah. Sukar pula untuk menyokong orang yang dibenci, sekalipun dia di pihak yang benar. Apabila perasaan tidak terkawal atau berdisiplin dengan ajaran Islam, maka insan biasanya akan mencari justifikasi untuk membela kesilapan orang disukainya. Dalam masa yang sama, dia mungkin akan mencari ruang untuk mempersalahkan musuh yang dibencinya. Sikap seperti ini menjadi barah kehidupan. Jika ia menguasai masyarakat, kebenaran akan terhapus dan kebatilan akan dibela.

 

Sikap ini hadir kadang kala disebabkan taksub yang berlebihan, atau kebencian yang berlebihan, atau sayang yang berlebihan, atau adanya kepentingan tertentu di sebalik kebencian yang dipamirkan atau sokongan yang diberikan. Hasilnya nanti, ketidakadilan hukuman atau penilaian akan berlaku. Ada pihak akan menjadi mangsa dendam dan perasaan. Kebenaran akan dinafikan hanya kerana kebencian. Kesalahan akan dinilai dengan kebaikan hanya kerana ketaksuban atau kecintaan atau kepentingan. Sebab itulah Islam memusuhi sikap yang seperti ini. Firman Allah dalam Surah al-Maidah: 8:(maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”.

Melanggar prinsip keadilan hanya kerana kebencian adalah sikap yang hina. Demikian ajaran al-Quran. ALLAH menyebut dalam Surah al-Nisa ayat 135: Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutar-balikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.

Kebiasaan manusia yang tidak berprinsip, akan mudah menerima khabar buruk orang yang dibencinya. Ia bagaikan peluang keemasan untuk melanyak musuhnya dan meluahkan rasa dendam. Maka banyaklah berita buruk tersebar tanpa bukti dan dalil. Pada zaman internet ini, ruang tersebut terbuka lebih luas lagi. Jangan kita hairan, jika mereka yang bersikap tidak adil ini, terdiri dari kalangan yang mempunyai pendidikan tinggi, bahkan di kalangan golongan agamawan sekalipun. Apatah lagilah orang awam. Sekalipun berpendidikan tinggi, mereka tetap gagal membuat penapisan maklumat yang sampai, terutamanya maklumat buruk orang yang mereka tidak sukai. Justeru itu Nabi s.a.w bersabda: “Cukuplah untuk seseorang itu dianggap berdusta dengan dia menceritakan setiap yang dia dengar” (Riwayat Muslim). Kata al-Imam Malik bin Anas (meninggal 179H): “Ketahuilah, tidak selamat seseorang yang menceritakan setiap apa yang dia dengar, dan seseorang tidak menjadi imam (pimpinan) sama sekali apabila dia menceritakan setiap yang dia dengar”. (Riwayat Muslim dalam Muqaddimah Sahihnya).

Hasil dari sikap yang tidak adil ini, sesetengah pihak menolak pandangan bernas seseorang hanya kerana empunya pandangan tidak satu parti, atau satu ‘kem’, atau satu ‘kapal’, atau satu mazhab dengan mereka. Maka ada pula yang menjadi mangsa kerana menyokong pandangan tertentu sekalipun benar, hanya kerana empunya pandangan itu seorang yang tidak sealiran dengan mereka. Lihatlah dalam politik, parti-parti yang bertembung enggan akur dengan hujah-hujah yang benar yang diberikan oleh pihak yang lain hanya semata disebabkan perbezaan parti. Lebih dari itu seseorang dimusuhi oleh partinya hanya kerana bersetuju atau menyokong pandangan parti lawan, padahal pandangan atau dasar itu benar. Ada pula yang menuduh orang lain sebagai kaki ampu pemerintah hanya kerana memberikan sokongan kepada dasar-dasar baik kerajaan. Dalam masa yang sama, ada pula pihak yang dicop sebagai ‘pro-pembangkang’ hanya kerana mengkritik beberapa keputusan kerajaan. Lebih dahsyat lagi; kadang-kala golongan parti tertentu memandang sinis orang memakai songkok, dan ada pula yang memandang sinis mereka yang memakai kopiah. Sehingga pakaian tradisi dan adat pun dimasukkan dalam kandang politik kepartian. Pemikiran seperti ini adalah lambang ketidakadilan sikap dan kemunduran minda. Sikap buruk ini dinyalakan lagi apinya oleh parti-parti yang suka mengambil kesempatan. Apabila ada tokoh yang mengkritik keputusan kerajaan dalam perkara tertentu dengan niat ikhlas dan bertujuan baik, parti-parti berkenaan jadikan itu isu politik untuk meraih undi. Ceramah dan akhbar parti pun membesarkan isu tersebut untuk kepentingan politik, bukan kebaikan rakyat. Akhirnya, yang menjadi mangsa empunya pemikiran yang baik tersebut dan ideanya juga akan turut terkorban. Politik buruk dan tidak bertamadun ini, jika berterusan akan menjuruskan masyarakat kepada cerita dongeng Hang Nadim yang dibunuh kerana ideanya yang bernas. Sikap suka bersangka buruk yang terhasil dari permusuhan atau kebencian atau kepentingan diri. Firman Allah (maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan, kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa (Surah al-Hujurat: 12).

Taksub adalah antara punca utama hal ini. Taksub pula berbagai-bagai; ada yang taksub kepada sesuatu mazhab, pemimpin, parti politik, bangsa dan lain-lain. Mereka ini akan menghukum sesiapa yang tidak sealiran dengan mereka sebagai tidak baik dan salah. Kata Muhammad bin Salih al-‘Ali: “Kebiasaannya, taksub kepada sesuatu pandangan atau mazhab membawa kepada sejenis sikap keras terhadap sesiapa yang menyanggahi pandangan dan mazhabnya. Inilah yang berlaku kepada sebahagian pengikut mazhab fekah yang lidah mereka petah (mencerca) sesiapa yang berbeza dengan mereka…Orang yang taksub terlindung dari penilaian secara ilmiah dan tidak berhati-hati dalam hukuman. Dia tidak melihat melainkan keburukan dan kesilapan orang yang berbeza dengannya. Ini membawanya kepada sikap keras, mengkritik dan menyakiti..” (Muhammad bin Salih bin Yusuf al-‘Ali, Insaf Ahl al-Sunnah wa al-Jama`ah m.s. 113-114, Jeddah: Dar al-Andalus al-Khadra`).

Penyakit taksub ini kadang-kala mengenai golongan agama lebih parah dari golongan lain. Sentimen agama akan digunakan untuk menghukum mereka yang tidak menyokong mazhab, atau parti atau kumpulan yang mereka anuti. Di Malaysia ini umpamanya, golongan taksub ini apabila melihat ada orang yang memberikan pandangan yang berbeza dari kebiasaan adat atau nenek moyang, maka mereka akan dituduh atau difitnah sebagai kaum muda atau wahabi. Tanpa melihat kepada dalil dan hujah yang dikemukakan. Padahal sebahagian besar mereka yang dituduh itu tidak tahu apa itu kaum muda atau wahabi. Lebih dahsyat lagi lagi; si penuduh itupun tidak tahu apakah sebenarnya istilah-istilah tersebut. Hanya terpengaruh dengan segelintir kelompok yang berkepentingan ‘menjaga sarang’ untuk kemudahan diri. Sikap inilah yang telah memangsa tokoh-tokoh pembaharuan melayu; seperti Za’ba, Syed Syeikh al-Hadi, Abu Bakar Baqir dan lain-lain. Golongan berkepentingan mencetuskan suasana ketaksuban agar perubahan ke arah kemajuan umat tidak dibuat dan kepentingan mereka dapat dipertahankan.

Saya masih ingat seorang yang dituduh wahabi hanya kerana membaca buku fekah mazhab Syafii iaitu al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i. Buku tersebut ditulis oleh tokoh-tokoh semasa mazhab al-Imam al-Syafi’i , iaitu al-Syeikh Mustafa Khin, al-Syeikh Mustafa al-Bugha dan ‘Ali al-Syarbaji. Namun apabila dibaca apa yang disebut dalam buku tersebut: “Daripada bid’ah apa yang dibuat oleh keluarga si mati ialah dengan mengumpulkan orang ramai kepada makanan dengan munasabah yang dinamakan berlalunya empat puluh hari dan seumpamanya. Sekiranya perbelanjaan makanan tersebut dari harta peninggalan (si mati) dan di kalangan waris ada yang belum baligh, maka itu adalah dari perkara lebih haram. Ini kerana ia memakan harta benda anak yatim dan melenyapkannya bukan untuk kepentingan anak yatim tersebut. Terbabit juga dalam melakukan perbuatan haram ini setiap yang memanggil dan memakannya” (1/263, Damsyik: Dar al-Qalam), maka si pembaca dituduh wahabi, sedangkan buku yang dibaca adalah buku mazhab Syafii.

Demikian ketidakadilan sikap. Mereka lupa kitab-kitab jawi melayu juga menyebut hal yang sama. Tokoh jawi melayu yang terkenal Syeikh Daud al-Fatani berkata dalam Bughyah al-Talab: “lagi bid’ah bagi orang yang kematian membuat makanan menserukan segala manusia atas memakan dia sama ada dahulu daripada menanam dia dan kemudian daripadanya seperti yang diadatkan kebanyakan manusia (dan demikian lagi) makruh lagi bid’ah bagi segala yang diserukan dia memperkenankan seruannya” (2/34). Demikian juga kenyataan dibuat oleh Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dalam Sabil al-Muhtadin. Begitu juga al-Marbawi dalam Bahr al-Mazi menyebut: “Maka bid’ah yang tidak elok” (7/130). Kesemua mereka ulama tradisi melayu, apakah mereka semua juga wahabi?!!.

Ada orang tuduh Perlis wahabi. Apabila ditanya, apa itu wahabi? Dia gagal memberi jawaban nya. Ada kata wahabi macam Arab Saudi. Saya katakan: bukan semua fatwa Perlis sama macam Arab Saudi. Wanita di Perlis umpamanya, tidak diwajibkan berpurdah. Ada yang kata kerana Perlis terima ketokohan Muhammad bin Abdul Wahhab, tokoh reformis Saudi. Saya kata: Perlis mengiktiraf kesemua mereka yang menyumbang untuk umat Islam, sama ada Muhammad bin Abdul Wahhab, atau Muhammad ‘Abduh atau Ibn Taimiyyah atau al-Ghazali atau imam-imam yang empat atau selain mereka. Ini bukan juga bererti kita memaksumkan mereka.

Keinsafan dan keadilan sikap mengajar kita menghormati sumbangan ilmuwan dan sikap suka mengkafirkan tokoh tanpa alasan yang benar adalah warisan khawarij, bukan ajaran Ahli Sunnah wal Jamaah. Saya sendiri tidak banyak memberikan perhatian kepada tulisan Muhammad bin Abdul Wahhab, namun saya tidak menuduhnya bukan-bukan tanpa bukti kerana itu bukan akhlak Islam. Apatah lagi apabila saya dapati tokoh-tokoh umat Islam seperti Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam Fiqh al-Aulawiyyat memujinya, dengan berkata: Bagi al-Imam Muhammad bin ‘Abdul Wahhab di Semenanjung Arab perkara akidah adalah menjadi keutamaannya untuk memelihara benteng tauhid dari syirik yang telah mencemari pancaran tauhid dan dikotori kesuciannya. Beliau telah menulis buku-buku dan risalah-risalah dalam perkara tersebut. Beliau bangkit menanggung bebanan secara dakwah dan praktikal dalam memusnahkan gambaran-gambaran syirik. (m.s. 263, Mesir: Maktabah Wahbah).

Bahkan tokoh fekah dunia terkenal yang sering negara kita jemput –beliau ulama dari Syria bukan Arab Saudi- Dr. Wahhab al-Zuhaili juga memujinya dengan menyebut: “Sesuatu yang tiada syak padanya, menyedari hakikat yang sebenar, bukan untuk meredhakan sesiapa, berpegang kepada ayat al-Quran yang agung (maksudnya) “Jangan kamu kurangkan manusia apa yang menjadi hak-haknya Surah Hud: 85), bahawa suara kebenaran yang paling berani, pendakwah terbesar untuk islah (pembaikian), membina umat, jihad dan mengembalikan individu muslim kepada berpegang dengan jalan salafus soleh yang terbesar ialah dakwah Muhammad bin ‘Abdul Wahhab pada kurun yang kedua belas hijrah. Tujuannya untuk mentajdidkan kehidupan muslim, setelah secara umum dicemari dengan berbagai khilaf, kekeliruan, bid’ah dan penyelewengan. Maka Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab ialah pemimpin kebangkitan agama dan pembaikian (islah) yang dinantikan, yang menzahir timbangan akidah yang bersih..” ((Rujukan: Dr Wahbah al-Zuhaili, Risalah Mujaddid al-Din fi Qarn al-Thani ‘Asyar, m.s 57-58). Bahkan banyak lagi puji-pujian beliau dalam risalah tersebut. Saya tidak pasti apakah tokoh-tokoh agama yang begitu ramai memuji Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab patut dituduh wahabi atau tidak?!!!.

Jika hendak mencari orang yang mengutuk, setiap tokoh ada yang mengutuknya. Imam Syafi’I yang agung itupun ada tokoh ilmuwan agung lain iaitu Yahya bin Ma’in yang mempertikaikannya. Imam al-Bukhari juga dituduh oleh ulama hebat pada zamannya iaitu Muhammad bin Yahya al-Zuhli sebagai menyeleweng. Apa yang hendak dihairankan jika ada yang tersalah hukum kerana tersilap fakta. Apa yang malangnya, ada di kalangan kita yang sengaja mencari yang buruk untuk dihidangkan kepada masyarakat.

Saya bukan wahabi, Perlis juga bukan negeri wahabi, namun kami ingin menghargai setiap tokoh yang berjasa, dan tidak dapat menerima sikap suka kafir-mengkafir dan sesat-menyesat. Semua para imam Ahlu Sunnah wal Jamaah, termasuk imam yang empat adalah rujukan kami. Kami tidak mahu menghadkan diri kami mengambil ilmu hanya dari seorang tokoh lalu mengharamkan kesarjanaan dan keilmuan tokoh-tokoh yang lain. Bagi kami, dalil dan hujah itu yang utama, bukan siapa tokohnya. Lihatlah dunia dengan mata yang terbuka dan minda yang bercahaya. Sesiapa yang ingin maju, dia mesti mengambil pengetahuan dari mana sahaja ia datang, bukan menjumudkan diri dengan hanya satu pandangan.

Akhirnya, kita menjadi sempit dan memusuhi dunia yang kita tidak kenali hanya kerana kejumudan kita. Ketika angkasawan kita telah membelah ufuk langit, ada pihak berkuasa agama tertentu yang masih hendak kalut dengan menyesatkan atau mengkafir kaum muslimin hanya kerana menyatakan hendaklah umat mengambil manfaat dari semua sarjana muslim dari berbagai mazhab dan pentingkan dalil al-Quran dan sunnah yang sahih. Saya amat berbahagia dengan sokongan kepada idea-idea pembaharuan yang dicetuskan. Sokongan itu datang dari rakyat Malaysia yang berada di segala pelusuk negara dan dunia. Malangnya, ada yang anti pemikiran progressif dan mengambil jalan mudah dengan menuduh sesiapa yang menyeru kepada sikap dan minda terbuka sebagai wahabi. Kenanglah arahan Allah: “Bersikap adillah, sesungguhnya adil itu lebih dekat kepada taqwa”.

– DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN ialah Mufti Kerajaan Negeri Perlis.

E-mel: moasriza@yahoo.com

Layari http://drmaza.com/

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: