Sehening Kalbu

Kelana Berlandaskan Hati, Percaya Mengikat Diri…

Masyarakat hancur tanpa muafakat

Posted by anakkawi on December 22, 2007

Oleh Mohd Adid Abd Rahman

Hubungan kasih sayang mesti sentiasa diamal tanpa mengira warna kulit, agamaKEHIDUPAN yang baik, indah, aman, harmoni dan penuh kecemerlangan sesungguhnya akan terbina dalam masyarakat jika di dalamnya tumbuh subur suasana kasih sayang. Apa lagi jika kasih sayang itu berasaskan akidah suci kepercayaan kepada yang Maha Pencipta dan Maha Berkuasa.

Menurut ajaran Islam, hubungan erat sesama insan digambarkan junjungan Rasulullah SAW sebagai ‘satu badan’ di mana setiap anggota badan itu saling lengkap melengkapi, bermuafakat, tolong menolong dan bersama berasa susah senang tatkala mengalami perkara baik atau buruk.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Bandingan orang yang beriman itu dari segi saling cinta-mencintai, seperti satu jasad. Apabila satu anggota merasa sakit maka seluruh anggota yang lain turut sama berjaga dan menderita.”
Satu perkara tidak dapat dipertikaikan ialah masyarakat akan diselubungi iklim kedamaian yang indah jika setiap anggota masyarakat mengamal dan merealisasikan sifat kasih sayang kepada Allah dan Rasul, kepada diri dan keluarga, sesama manusia, alam sekitar dan binatang.

Orang yang beriman, dalam dirinya sentiasa berkembang mekar perasaan mengasihi terutama kepada sesama insan, melebihi kasih kepada dirinya sendiri sebagaimana ditegaskan junjungan besar Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud: “Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga dia kasih kepada saudaranya seperti dia mengasihi dirinya sendiri.” (hadis riwayat Muttafaqun `Alaih)

Rasulullah SAW menekankan sifat kasih sayang harus disemai dalam jiwa sebagai tanda keimanan. Sifat mengasihi sesama insan jika berasaskan akidah yang benar, sudah tentu akan menghasilkan sebuah masyarakat harmoni, cemerlang dan gemilang.

Bagi merealisasikan masyarakat yang baik dan dihormati seperti masyarakat Madinah di bawah kepemimpinan Rasulullah SAW yang menjulang kegemilangan Islam, setiap anggota masyarakat harus memiliki sifat kasih-mengasihi.

Semua ini akan menjadi kenyataan jika ada unsurr akhlak mahmudah seperti:

  • Suka memberi pertolongan dan bantuan. Manusia ada yang hidupnya senang, ada yang susah. Sebagai seorang Muslim, tidak wajar sama sekali membiarkan saudara yang susah begitu saja dan hendaklah menghulur bantuan mengikut kemampuan. Dengan demikian, hubungan antara kedua pihak akan menjadi rapat dan mesra. Bantuan atau pertolongan diberikan sudah tentu akan dihargai dan diingati sepanjang masa oleh pihak yang menerimanya. Allah berfirman yang bermaksud: “…..dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan………” (Surah al-Maidah, ayat 2)

    Sirah nabi membuktikan suasana tolong-menolong dan bantu membantu subur dalam masyarakat Madinah di bawah kepimpinan Baginda Rasulullah SAW. Peristiwa hijrah menunjukkan bagaimana kaum Ansar berkorban apa saja demi menolong kaum Muhajirin yang baru datang dari Makkah.

    Demi Islam dan iman, menyahut seruan Rasulullah SAW supaya sentiasa tolong menolong, kaum Ansar rela menyediakan kebun untuk dimajukan kaum Muhajirin, atau menyediakan tapak / kawasan bagi peniaga Muhajirin.

    Semangat dan pengorbanan kaum muslimin ini dirakamkan dalam al-Quran melalui firman Allah yang bermaksud: “Dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin) atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka sendiri dalam kesusahan.” (Surah al-Hasyr, ayat 9)

    Sikap seperti itu wajar diteladani orang Islam kerana jika dipraktikkan, akan terhindar diri daripada sikap buruk, suka mementing diri sendiri atau sombong. Masyarakat sekeliling akan menyenangi kita. Inilah keperibadian Muslim sejati.

    Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Yang dinamakan orang Muslim ialah bila mana orang lain selamat daripada gangguan lidah dan tangannya, dan dinamakan mukmin ialah bila mana orang lain dibuat merasa aman atas darah (nyawa) dan hartanya.” (Hadis riwayat an-Nasa’i)

  • Memaafkan kesalahan mereka. Bersifat lapang dada, mudah memaafkan kesalahan, benci kepada perangai pemarah dan pendendam, adalah akhlak terpuji yang menghiasi keperibadian Rasulullah SAW. Jika demikianlah akhlak yang diwarisi setiap orang Islam, sudah tentu tidak mungkin terjadi pertelingkahan, perbalahan dan perpecahan dalam masyarakat.

    Ketika hayat Rasulullah SAW, Baginda sering memaafkan kesalahan umatnya walaupun Baginda pernah dicaci, dinista, diumpat bahkan ada yang sanggup mengancam nyawanya. Pernah terjadi, seorang berbangsa Yahudi tidak semena-mena bersikap kasar dan kurang ajar terhadap Baginda.

    Yahudi itu kononnya mahu menuntut hutang daripada Baginda lebih awal daripada masa yang sudah dipersetujui. Lalu, Saidina Umar yang kebetulan berada di sisi Rasulullah SAW, lantas memegang leher baju Yahudi itu dengan tujuan untuk menegur kebiadaban dilakukannya.

    Namun ditegah oleh Rasulullah SAW dengan penuh kesabaran dan ketenangan. Ternyata, dengan layanan baik ditunjukkan Baginda, berjaya memadamkan api kemarahan di hati Yahudi itu. Akhirnya Yahudi itu tertarik dengan keperibadian Rasulullah SAW lalu langsung memeluk Islam.

    Baginda SAW pernah menjelaskan, yang dikatakan seorang berani dan gagah itu ialah orang yang dapat melawan rasa marah dan lembut hati. Sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Orang yang gagah perkasa tidak diukur dengan kemenangan dalam pertarungan, tetapi kekuatan yang sebenar ialah orang yang dapat mengawal dirinya ketika marah.” ) Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

  • Mengucapkan salam. Menghulur salam kepada orang yang dikenali atau tidak dan mengucapkan `selamat pagi’ atau `salam sejahtera’ kepada bukan Islam, adalah salah satu kunci bagi menjalin hubungan erat sesama manusia. Memberi salam sesungguhnya dapat menghapuskan perasaan dengki serta dapat memadamkan api kesombongan dalam diri seseorang. Ia juga tanda penghormatan dan doa kepada orang lain.

    Firman Allah yang bermaksud: “Apabila kamu diberi penghormatan dengan sesuatu penghormatan, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah penghormatan itu (dengan yang serupa). Sesungguhnya Allah selalu membuat perhitungan atas tiap-tiap sesuatu.” (Surah an-Nisa’, ayat 86)

    Rasulullah SAW menyeru umatnya supaya selalu menebarkan salam. Sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Orang yang lebih muda harus memberi salam kepada orang yang lebih tua, orang yang sedang berjalan kepada pejalan kaki yang dilaluinya, dan kelompok yang kecil kepada kelompok yang lebih besar.” (Hadis riwayat Bukhari)

    Hikmah suruhan itu supaya hubungan antara sesama insan menjadi rapat dan akrab seperti satu keluarga. Di samping itu, salam juga bermakna kita mendoakan kesejahteraan orang lain.

    Dalam peperangan Uhud, Rasulullah SAW luka dan patah giginya ketika menentang musuh, sempat juga berdoa: “Ya Allah, ampunkanlah dosa kaumku sesungguhnya mereka tidak tahu”

  • Menjaga maruah orang lain. Hubungan akan menjadi erat dan kuat jika masing-masing menjaga kehormatan, tidak mengumpat atau menceritakan keburukan mereka kepada orang lain. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan orang-orang yang menyakiti orang mukmin dan mukminat tanpa kesalahan yang mereka buat, maka sesungguhnya mereka memikul kebohongan dan dosa yang nyata.” (Surah al-Ahzab, ayat 58)
  • Menyayangi diri sendiri dan keluarga serta masyarakat sekeliling adalah asas kedamaian dan kebahagiaan. Selaku ketua keluarga, kita hendaklah mendidik anak menyayangi Allah dan Rasul, supaya dengan itu syiar Islam dapat dikembang di bumi ini. Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jagalah diri dan keluargamu daripada api neraka, di mana bahan bakarnya adalah batu-batu dan manusia, sedang yang mengawasi adalah para malaikat yang amat tegas dan keras, yang tiada pernah durhaka kepada Allah apa yang diperintahkan kepada mereka, dan mereka sentiasa melaksanakan apa saja yang diperintahkan.” (Surah at-Tahrim, ayat 6).

    Keluarga yang baik dan bahagia, seperti cahaya yang menerangi alam sekeliling yang gelita. Begitulah yang diharapkan, mudah-mudahan akan menjadi contoh dan ikutan kepada jiran berdekatan seterusnya masyarakat sekeliling.

    Diperoleh dari Berita Harian Online

  • Leave a Reply

    Fill in your details below or click an icon to log in:

    WordPress.com Logo

    You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

    Twitter picture

    You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

    Facebook photo

    You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

    Google+ photo

    You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

    Connecting to %s

     
    %d bloggers like this: