Sehening Kalbu

Kelana Berlandaskan Hati, Percaya Mengikat Diri…

Mengalah tidak bererti kalah…

Posted by anakkawi on December 22, 2007

KATA orang, mak dan bapa mentua itu ibarat ibu dan ayah kandung. Layanan kita pada mereka seharusnya sama seperti layanan dan hormat yang diberikan pada ibu dan bapa sendiri. Begitu juga dalam menerima layanan mereka terhadap kita, tidak kira kasih sayang, teguran mahupun kemarahan.

Tetapi, berapa ramai yang dapat menerima hakikat ini dan menerima ibu bapa mentua secara sepatutnya? Kalau ibu dan bapa mentua baik, waaaahhh…kitalah menantu kesayangan, kononnya. Tapi, bila kena tegur, terus tak mahu bertegur-sapa, menjenguk kerana terpaksa, layanan ala-ala (ala kadar) saja.

Mengapa? Bukan mudah menerima kehadiran `orang asing’ dalam hidup secara tiba-tiba, tambah pula apabila sudah dewasa, sesudah diri menjadi buluh. Ini perkara biasa dalam apa juga jenis perhubungan. Persahabatan dengan rakan pun, kita biasanya akan terus bersahabat baik dengan rakan yang kita kenali sejak kecil.

Kehadiran orang baru dianggap orang asing. Syak wasangka menangani sangka baik. Teguran dan nasihat berlandaskan rasa tanggungjawab serta kasih sayang dianggap bertujuan `mengena’, tidak ikhlas, semata-mata untuk menyakitkan hati. Tak baikkan fikir macam itu? Tapi, hendak buat macam mana? Lumrah…

Lumrahnya juga, kita sering terlupa, hakikatnya bukan kita saja yang lebih muda, berperanan sebagai menantu yang sukar membuka hati buat mentua. Mentua juga berperasaan serupa.

Jangan lupa, ada ketikanya, lebih sukar untuk mereka, khususnya si ibu menerima menantu, yang dianggap `perampas’ anak kesayangan mereka dan selalunya, dalam kebanyakan kes `perang dingin’ menantu-mentua ini, anak kesayangan ini jantinanya lelaki.

Maka, bermulalah kisah `penderitaan’ menantu perempuan. Kurang sikitkan dengar kisah menantu lelaki menderita? Biasalah, lelaki selalunya jenis tak kisah, buat selamba, lantaklah mak mentua hendak `membebel’, marah, tegur, masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.

Semua ini mungkin kerana perbezaan sifat dan naluri dengan lelaki. Wanita penuh emosi, sensitif hingga adakalanya (atau lebih tepat, selalunya) terlalu sensitif, suka membesar-besarkan perkara kecil dan remeh hingga bertindak di luar kawalan, tidak rasional.

Ini bukan dakwaan tetapi kenyataan berdasarkan kajian saintifik. Otak wanita berbeza dengan otak lelaki. Otak wanita membentuk wanita menjadi lebih beremosi, lebih sensitif dan kurang berfikir secara rasional berbanding lelaki.

Tetapi, kerana sifat ini jugalah wanita sering bertindak sebagai `penghibur, penceria dan penyelamat’ hubungan menantu-mentua. Kalau si wanita ini sendiri tak `ngam’ (tak sesuai) dengan mentua, terutama ibu mentua, dia masih boleh `berlakon’ ngan, begitu juga si ibu mentua demi menjaga hubungan baik seluruh anggota keluarga.

Kalau suami pula yang tidak `ngam’ dengan mentua, wanita sebagai anak juga akan memainkan peranan supaya `perang dingin’ itu tidak ketara, tidak melarat. Betul?

Apapun, pantai mana yang tidak dilanda ombak, sedangkan lidah lagi tergigit, terkecil hati, berasa hati, marah, sedih, geram, asam garam dalam kehidupan. Adik-beradik pun bertegang leher, anak dan ibu bapa juga adakalanya berasa hati, inikan pula dengan orang baru, keluarga baru.

Tolak-ansur, mengalah, amat penting. Berdiam diri, mengalah tak bererti kita kalah. Elakkan bersangka buruk dan yang muda, menantu, sebaik-baiknya lebih banyak mengalah dan menerima segala teguran dengan hati terbuka.

Ingat satu perkara, ibu bapa mana yang tidak mahukan perkara terbaik untuk anak-anak mereka. Kita juga pasti akan jadi `cerewet’ bila anak-anak berumahtangga kelak. Setuju?

Selamat membaca…

Diperoleh dari Berita Harian Online.

Leave a comment