Sehening Kalbu

Kelana Berlandaskan Hati, Percaya Mengikat Diri…

Mengeluh saja tak guna…

Posted by anakkawi on December 22, 2007

Oleh Salinah Abdullah

dalam Berita Harian Online.

BILA tiba hujung tahun, cuba perhatikan orang sekeliling, paling tidak pun lihat diri sendiri di cermin. Lihat garis yang melintang di dahi, rasanya main bertambah hujung-hujung tahun ini.

Macam-macam nak buat bukan? Bayar cukai, kalau potongan cukai berjadual cukup, Alhamdulillah, kalau tak, tambah duit sendiri gamaknya. Kalau ada duit, tak apalah, kalau tak ada, manalah nak dicekaukan.

Bukan itu saja, hujung-hujung tahun inilah, buat yang sudah berkeluarga dan beranak-pinak, mencongak-congak untuk beli baju dan buku sekolah anak-anak; bagi yang berkenderaan, mulalah pening kepala memikirkan hal cukai jalan dan insurans kenderaan.
Bagi yang bijak menguruskan kewangan, membuat simpanan sikit-sikit sejak awal tahun, mujur…taklah terasa sangat bebannya bila tiba hujung tahun, kala macam-macam bayaran perlu dilunaskan. Tetapi, berapa ramai sangat yang sanggup `mengorbankan’ lebihan wang, mengetepikan keseronokan setiap bulan untuk sesuatu yang `menyeksakan’ pada hujung tahun?
Harap-harap hujung tahun dapat bonus. Yalah, kalau dapat bonus. Zaman ekonomi tak berapa nak sihat ini, janganlah diharapkan sangat bulan jatuh ke riba. Kalau dapat, ringanlah sikit beban, kalau tak dapat, simpanan pun tak ada, mahu botak kepala dibuatnya.

Duit ini sebenarnya ibarat air. Cepat saja mengalir, cepat habis. Bila dapat gaji, hari dapat sudah habis diketepikan untuk bil bulanan. Belum lagi perbelanjaan harian, makan minum, duit petrol, duit tol, kalau ada kenderaan; kalau tak ada, duit bas dan segala jenis pengangkutan awam yang mungkin digunakan. Kadang-kadang fikir, macam mana nak buat simpanan bukan? Hendak pula tinggal di bandar besar, segala-galanya mahal. Hendak pula sekarang, segelas air jernih tak berwarna, tak bergula (air suam) di kedai pun, paling-paling 20 sen, ada yang mencecah hingga 50 ke 60 sen.

Segala-galanya semakin mahal. Kalau setakat gaji dua tiga ribu, berkeluarga dan menetap di bandar besar, kita tetap jatuh dalam golongan miskin sebenarnya. Segala perbelanjaan perlu dirancang, takut perut tak berisi, tidak boleh berbelanja sesuka hati, takut-takut berlaku kecemasan, duit mana yang hendak dicari.

Saya kurang pasti adakah ini impak pembangunan dan kemajuan yang perlu dihadapi. Apabila negara dan rakyat semakin maju, harga barang pun bergerak `maju’ hingga ramai akhirnya yang tidak termampu untuk hidup selesa jauh lagi bermewah.

Kadang-kadang, bila berkesempatan melihat negara orang, tidak dapat tidak, terdetik di hati betapa kos sara hidup di negara yang jauh lebih maju itu begitu rendah dan tidak membebankan rakyatnya. Bayangkan, pakaian, kasut dan keperluan lain boleh didapati pada harga kurang RM10 atau RM20, jika dibandingkan RM1 dengan satu unit mata wang mereka…dan gaji mereka jauh lebih tinggi daripada yang diperoleh kebanyakan kita.
Ada yang cakap, tak boleh diambil kira begitu kerana harga hartanah mereka mahal, terlalu mahal. Apa kurangnya kita? Berapa ramai antara kita yang bergaji sederhana mampu memiliki rumah sendiri hari ini. Tak mampu, itu jawapan biasa dan pengakhirnya sama seperti mereka di negara maju, menyewa lebih baik daripada memiliki.

Tetapi, yalah, hendak mengeluh memanjang pun tak guna. Tiada perkara yang mudah, tiada yang percuma. Hendak hidup senang kenalah berusaha, tidak cukup gaji tetap, banyak kerja sampingan yang menanti. Pucuk pangkal, banyak peluang boleh dicuba, siapa tahu, rezeki menjadi lebih murah, bolehlah buat tambah duit belanja seharian, menampung kala kecemasan, menyimpan untuk masa depan.

Bagi yang tidak pandai merancang kewangan, lembaran baru yang bakal menjelma mungkin titik-tolak terbaik untuk membuat perubahan. Bagi yang mahu berjinak-jinak membuat kerja sampingan atau menceburi bidang perniagaan, inilah masa menunjukkan `keberanian’.

Setiap perubahan menuntut keberanian kerana setiap perubahan itu pasti disertai risiko. Macam orang nak cantik segera, kena berani suntik itu suntik ini, guna kolagen, guna Botox. Risikonya? Muka herot, sembab, tak menjadi, yang cantik menjadi buruk. Tetapi, tetap ramai yang melakukannya kerana terlalu inginkan perubahan.

Begitu jugalah dalam aspek kehidupan lain. Tetapi, percayalah, jika perubahan itu tidak melanggar ketentuan-Nya, insya-Allah, segala-galanya akan berjalan dengan baik. Onak-duri, susah-payah, perit-getir itu hanya dugaan, kesungguhan dan kesabaran yang akan memberi kekuatan untuk sebuah kejayaan.

Selamat membaca…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: