Sehening Kalbu

Kelana Berlandaskan Hati, Percaya Mengikat Diri…

Minda Pengarang: Bumiputera wajar manfaat pertumbuhan saham amanah

Posted by anakkawi on December 22, 2007

KADAR pulangan yang lebih tinggi bagi tabung amanah anjuran kerajaan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Tabung Haji tahun ini adalah selaras dengan perkembangan ekonomi negara yang sedang meningkat pada tahap memberangsangkan iaitu pada kadar 6.7 peratus pada suku ketiga 2007. Kadar dividen lebih tinggi itu tentu menambahkan keyakinan orang ramai terhadap saham amanah di negara ini. Peningkatan kadar pulangan ini juga sekali gus meyakinkan bahawa Malaysia akan melangkah ke tahun baru 2008 dengan pertumbuhan membanggakan melebihi kadar enam peratus, yang dicapai hasil keberkesanan dasar yang diperkenalkan beberapa tahun lalu terutama membabitkan pengurusan syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Kadar pulangan tinggi bagi tabung amanah anjuran kerajaan itu bererti sebilangan besar pencarum termasuk mereka yang berpendapatan sederhana dan rendah dapat menikmati faedah lebih baik. Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, mengakui perkembangan itu berlaku berikutan pertumbuhan ekonomi yang baik termasuk kenaikan Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) sejak kebelakangan ini.

Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan agihan pendapatan lapan sen dan bonus satu sen seunit untuk Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2007. Tahun lalu ASNB yang juga anak syarikat Permodalan Nasional Berhad (PNB) memberi agihan pendapatan 7.30 sen dan bonus 1.25 sen. Kejayaan ASNB memberi dividen lebih tinggi dijangka bakal diikuti KWSP, LTAT dan Tabung Haji. Ketiga-tiga tabung itu adalah pelabur utama dalam GLC dan data terbaru menunjukkan pertumbuhan purata keuntungan 20 GLC terbesar mencecah sehingga 70 peratus kepada RM17.4 bilion, berbanding RM10.2 bilion tahun lalu. Lembaga Angkatan Tentera yang mencatat keuntungan RM468.9 juta pada 2006, adalah antara GLC terbaik dan mampu meraih keuntungan menerusi pelaburannya dan sudah tentu prestasi itu akan membolehkannya membayar dividen dan bonus sehingga 15 peratus. Tabung Haji juga menunjukkan kejayaannya menerusi perolehan kasarnya berjumlah RM1.2 bilion tahun lalu, meningkat 15 peratus berbanding 2005. Hakikatnya kedudukan badan berkenaan yang kukuh sekarang berikutan keadaan ekonomi yang baik menyebabkan sukar bagi mana-mana pihak untuk menolak kemungkinan Tabung Haji juga akan memberi dividen lebih tinggi seperti ASNB.

Kita berharap suasana pelaburan yang kondusif itu akan menggalakkan lebih ramai pelabur dan pencarum untuk melabur wang mereka dalam saham amanah yang dianjurkan kerajaan, khususnya Bumiputera, sejajar minat yang tinggi di kalangan bukan Bumiputera. Bumiputera tidak harus menolak pelaburan dalam saham amanah dengan memberi pelbagai alasan tidak munasabah termasuk mendakwa kononnya pelaburan tidak sah di sisi agama Islam dan sebagainya. Kemampuan penganjur saham amanah ini memberi dividen lebih tinggi adalah bukti pelaburan berkenaan diurus dengan teliti dan cekap oleh pihak pengurusannya. Di samping risikonya yang rendah, ia adalah antara pelaburan yang boleh memberi pelaburnya lebih manfaat dalam tempoh masa jangka panjang. Pihak yang menguruskan tabung amanah berkenaan harus terus menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka sebaik mungkin agar kedudukan ini akan berkekalan bagi tahun kewangan seterusnya, selaras hasrat kerajaan untuk melihat rakyat mengecapi nikmat daripada dasar yang dilaksanakan.

Diperoleh dari Berita Harian Online.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: