Sehening Kalbu

Kelana Berlandaskan Hati, Percaya Mengikat Diri…

Perubahan pendidikan perlu lebih daripada PIPP

Posted by anakkawi on December 22, 2007

S Husin Ali | Feb 27, 07 5:58pm diperoleh dalam malaysiakini.com.

Kita sering mendengar keluhan bahawa mutu pendidikan negara semakin merosot. Sering pula kerajaan didesak supaya membuat perubahan besar untuk memperbaiki sistem pendidikan yang meliputi semua peringkat, dari sekolah rendah membawa ke universiti.

Sewajarnya segala kajian serta rancangan untuk memperbaiki sistem pendidikan harus melibatkan semua golongan dalam masyarakat, tidak direka hanya oleh “pakar-pakar” dari sebuah kementerian. Hasilnya hendaklah diperdebat di dalam dan di luar Parlimen, sebelum diterima untuk perlaksanaan jangka panjang. Mesti jelas proses demokrasi dan keadilan diamalkan.

Tujuan PIPP

Baru-baru ini, Perdana Menteri melancarkan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP). Pelan ini bertujuan membawa perubahan dalam sistem pendidikan negara. Usaha kerajaan untuk membuat perubahan yang baik sesuai diberi sokongan. Akan tetapi, perlu ditegaskan ia hendaklah dibincang luas secara terbuka, bebas dan kritikal, supaya pelan ini boleh menjadi lebih sempurna dan pelaksanaanya lebih berkesan.

Dalam proses pembentukan PIPP, terdapat dua kekurangan. Pertama, semasa pelan ini disediakan dan selepas siap, tiada pandangan orang ramai diminta dan tiada perbincangan umum digalakkan. Percubaan sebuah persatuan guru-guru besar hendak menyoal faedah melanjutkan UPSR dibantutkan begitu saja oleh menteri dan media.

Kedua, PIPP menumpu hanya kepada sebahagian daripada sistem pendidikan, iaitu sekolah rendah dan menengah. Itupun dari aliran akademik saja. Ia tidak meliputi sekolah teknikal dan vokasional dan tidak dikaitkan dengan pendidikan universiti. Tugas mengembangkan pendidikan teknikal dan vokasional penting, kerana tenaga kerja Melayu dalam bidang ini masih kurang. Kaitan dengan universiti perlu ditekankan kerana salah satu faktor penting yang menentukan mutu universiti ialah mutu sekolah rendah dan menengah.

PIPP mengemukakan enam teras, iaitu: (a) Membina negara bangsa, (b) Membangunkan modal insan, (c) Memperkasa Sekolah Kebangsaan, (d) Merapati jurang pendidikan, (e) Memertabatkan profesyen perguruan, dan (f) Melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan.

Di bawah tiap-tiap teras ini dihuraikan banyak tindakan yang patut dan boleh dilaksanakan. Tidak semuanya akan diulas di sini. Sebaliknya, ulasan secara umum bertumpu pada hal-hal berkaitan beberapa perkara pokok saja, yang menyentuh teras (a) Membina negara bangsa, (c) Memperkasa sekolah kebangsaan, dan (d) Merapati jurang pendidikan.

Memperkasa Sekolah Kebangsaan

Tidak berapa lama selepas PIPP dilancarkan, beberapa orang menteri bercakap tentang melonjakkan taraf pendidikan di luar bandar. Dua perkara yang mereka tekankan dan diliputi luas oleh media ialah tentang memperbaiki prasarana sekolah luar bandar dan memberikan insentif kepada guru-guru yang mengajar di kawasan pedalaman. Untuk tujuan ini, peruntukan pendidikan sebanyak RM9.7 bilion di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) ditambah dengan RM2.6 bilion lagi, khusus untuk kawasan luar bandar.

Kita mengalu-alukan peruntukan tambahan ini. Sepatutnya jumlahnya lebih besar lagi dan perbelanjaan diperluaskan kepada golongan berpendapatan rendah yang lain, seperti di kawasan ladang dan kawasan pendapatan rendah di bandar. Peruntukan itu pula mesti tepat kepada sasarannya, terutama guru dan murid, dan bukannya menekankan pembangunan fizikal yang bertujuan untuk memberi peluang kepada kontraktor-kontraktor pilihan atau kroni menjadi cepat kaya.

Memang diakui, kebanyakan sekolah di kawasan kampung, ladang, peneroka bandar (setinggan) adalah serba kekurangan. Tetapi, seperti yang ditegaskan oleh seorang bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Abdul Rahman Arshad, peningkatan prasarana belum mencukupi untuk memperkasa sekolah kebangsaan. Ia perlu diperkukuhkan lagi dengan pasukan guru terlatih yang mempunyai motivasi serta dedikasi tinggi untuk menaikkan mutu pendidikan bagi kanak-kanak dari lapisan bawahan.

Sekiranya prestasi kebanyakan sekolah kebangsaan lebih baik, dengan mutu pengajaran, pembelajaran serta pencapaian dalam matapelajaran seperti Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris setanding dengan sekolah-sekolah jenis kebangsaan yang terbaik, maka tentu sekali lebih ramai penuntut dari pelbagai golongan dan lapisan tertarik untuk memasukinya.

Yang menjadi masalah besar sekarang, kelulusan dari sekolah, kolej dan universiti yang menggunakan Bahasa Malaysia sebagai pengantar, dilihat sebagai lebih rendah mutu serta nilai ekonominya daripada yang menggunakan bahasa Inggeris. Keadaan tidak seimbangan ini perlu diatasi dari peringkat sekolah lagi. Pengajaran bahasa Inggeris sebagai satu mata pelajaran perlu dilaksanakan dengan serius dan berkesan, bukannya dengan mengajar Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris saja.

Merapatkan jurang

Menteri-menteri percaya dengan peruntukan tambahan RM2.6 bilion itu, jurang pendidikan dan sosio-ekonomi antara bandar dengan luar bandar dapat dirapatkan. Mungkin harapan ini sedikit sebanyak boleh tercapai. Tetapi perlu ditegaskan bahawa jurang itu tetap akan lebar, selagi tidak dilaksanakan dasar yang benar-benar memperlihatkan sikap kepedulian rakyat yang tegas.

Dibanding dengan jumlah besar perbelanjaan untuk membina jambatan, lebuhraya, bangunan besar dan istana, peruntukan bagi golongan miskin dan berpendapatan rendah masih terlalu kecil. Usaha pembangunan, keuntungan pemodal dan kontraktor masih lebih diutamakan daripada kebajikan rakyat, dan kemajuan bandar lebih diberatkan daripada pembanguan kampung, ladang dan kawasan peneroka bandar.

Sepatutnya, lebih banyak sekolah asrama yang lengkap dengan peralatan serta guru bermutu didirikan di desa, ladang serta kampung baru. Sekolah-sekolah Sains Mara, misalnya, perlu diperbanyakkan dan dibuka kepada semua kaum yang berkelayakan, dengan mencerminkan komposisi penduduk negara seluruhnya.

Idea membina kira-kira 300 buah sekolah “cluster” bermutu tinggi dipertahankan sebagai satu langkah untuk memperkasa sekolah kebangsaan. Jika demikian, mengapakah dibataskan sebanyak itu saja? Mengapa tidak lebih banyak lagi? Ia seharusnya didirikan di segala pelusuk negeri, tidak dibina indah hanya di kawasan-kawasan bandar saja. Sekali lagi, sekolah-sekolah ini harus mencerminkan komposisi penduduk dan tidak eksklusif untuk satu kaum atau golongan istimewa.

Sekolah “cluster”, seperti Sekolah Sains Mara juga, mesti mengutamakan penuntut dari kawasan mundur dan keluarga berpendapatan rendah, tanpa menafikan peluang kepada mereka dari kawasan maju dan keluarga kaya. Hendaklah dielak ia daripada menjadi sekolah elitis, yang terbatas hanya kepada sebilangan kecil terpilih dan memang sudah mempunyai kedudukan istimewa kerana ibu-bapa mereka.

Sekiranya ia menjadi elitis dan peruntukan berlebihan dicurahkan kepadanya, sudah tentu akibatnya jurang antara golongan senang-susah dan bandar-desa akan tambah lebar lagi. Inilah yang patut dielakkan. Jikalau tidak, peruntukan tambahan berbilion-bilion ringgit mejadi tidak bermakna dan akan gagal membantu mencapai matlamat merapatkan jurang.

Membina Perpaduan

Teras pertama PIPP untuk membina negara bangsa merupakan satu matlamat penting. Setelah 50 tahun Merdeka, kita masih belum berjaya membina satu bangsa yang baru dan bersatu padu. Bahkan, melihat keadaan hubungan kaum yang semakin runcing sekarang ini (dengan pelbagai isu kaum dan agama timbul atau ditimbulkan), kelihatan seolah-oleh agenda Merdeka untuk membentuk sebuah negara bangsa sudah gagal.

Sekarang ini, sistem pendidikan kian memisahkan, bukannya menyatukan penuntut/ pelajar dari kaum yang berbeza. Pemisahan mengikut kaum antara sekolah kebangsaan dengan jenis kebangsaan sangat ketara. Cuma tujuh peratus murid sekolah kebangsaan terdiri daripada bukan Melayu, terutama Tionghua, dan hanya tujuh peratus juga murid sekolah jenis kebangsaan ialah Melayu.

Memang benar ada dasar membenarkan kewujudan sekolah yang menggunakan bahasa ibunda. Akan tetapi, telah meluas anggapan bahawa sekolah kebangsaan kurang baik mutunya. Terdapat juga dakwaan sekolah jenis kebangsaan semacam dianaktiri, kerana perkembangan mereka dihadkan dan peruntukan kewangan kerajaan kepada mereka dibataskan. Ini menimbulkan rasa tidak puas hati sehingga menjadikan bahasa dan pendidikan isu hubungan kaum yang sangat sensitif.

Di peringkat pengajian tinggi terdapat 19 buah universiti awam, termasuk sembilan buah kolej yang baru dinaikkan tarafnya ke peringkat kolej universiti. Universiti awam tidak mencukupi untuk menampung semua penuntut yang layak dari semua kaum serta latarbelakang sosio-ekonomi. Ini menimbulkan permintaan bagi universiti swasta. Lagi pula universiti swasta menjadi pilihan kerana menggunakan bahasa Inggersi.

Universiti umum diongkosi kerajaan dari peringkat pembinaan hingga operasinya. Semua naib canselor, bahkan majoriti pensyarah dan siswa di universiti awam adalah Melayu. Bahasa pengantar utama ialah Bahasa Malaysia. Golongan pemodal dan parti politik mendirikan dan menjalankan universiti atau kolej swasta. Terdapat 13 buah kolej universiti dan 51 buah kolej swasta. Kebanyakan pensyarah dan siswanya terdiri daripada bukan Melayu, terutama Tionghua dan India. Boleh dikatakan semua institusi swasta menggunakan bahasa Inggeris sebagai pengantar.

Sistem pendidikan memisahkan kaum. Sistem pentadbiran dan politik mengasing dan kadang-kadang memecahbelahkan kaum. Semangat perkauman masih meluas dan mendalam. Suasana kaum di luar sekolah mempengaruhi guru dan murid di sekolah, walaupun di bawah bumbung yang sama. Benih perpaduan yang hendak disemai di sekolah boleh terbantut jikalau suasana perkauman dibiarkan membayanginya.

Kesimpulan

Akhir kata, agenda membentuk negara bangsa harus melibatkan usaha seluruh negara dan meliputi semua bidang – pendidikan, ekonomi, politik dan sebagainya. Langkah-langkah yang mahu diambil di peringkat sekolah saja tidak akan berkesan seandainya tidak ada usaha besar yang diambil pada peringkat negara seluruhnya.

Sama jugalah untuk merapatkan jurang pendidikan, perlu ada usaha tegas dan berkesan untuk mengurangkan jurang sosio-ekonomi secara keseluruhan. Perbelanjaan serta usaha pembangunan perlu disasarkan, terutama sekali, untuk golongan miskin dan berpendapatan rendah. Ertinya mesti wujud sikap, dasar dan perlaksanaan pembangunan yang memperlihatkan kepedulian rakyat secara menyeluruh. Malangnya ini belum cukup kelihatan lagi.


SYED HUSIN ALI adalah timbalan presiden PKR.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: