Sehening Kalbu

Kelana Berlandaskan Hati, Percaya Mengikat Diri…

15 perkara boleh undang bencana terhadap manusia

Posted by anakkawi on December 24, 2007

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

TIADA siapa dapat menghalang kekuasaan Allah. Banjir besar yang melanda beberapa negeri di pantai timur Semenanjung kali ini benar-benar menguji kesabaran mangsa dan agensi penyelamat yang terbabit dengan usaha membantu mangsa banjir.

Apa yang dapat disimpulkan, punca pelbagai malapetaka yang berlaku adalah disebabkan kemelut dan krisis yang sengaja dicipta manusia sendiri. Sebahagian manusia hari ini seolah-olah hilang keyakinan untuk menjalankan tanggungjawab sebagai khalifah di bumi Allah.

Disebabkan kerenah dan krisis yang berlaku di kalangan manusia itu juga barangkali Allah sengaja menimpakan bencana ke atas segelintir hamba-Nya sebagai ujian dan takdir yang tidak dapat ditolak.
Sesungguhnya hanya dengan keyakinan, iltizam, istiqamah dan keinsafan mendalam, akan membolehkan kita mencari kekuatan diri bagi mengimarahkan bumi Allah dengan perbuatan diredai kerana kita hanya makhluk Allah yang dipinjamkan sementara untuk menetap di alam ini.
Setiap apa juga kerakusan dan keterlanjuran berlaku, bukanlah disebabkan pihak tertentu saja. Ia mungkin disebabkan rentetan peristiwa berpanjangan akibat daripada keegoan manusia untuk menguasai bumi secara total dan sering menganggap orang lain tidak ubah seperti hamba.

Tanpa sikap toleransi dan saling faham memahami, tentu saja pelbagai kejadian negatif akan mudah meletus. Apabila tercetusnya pertelingkahan, permusuhan dan dendam, sudah pasti meletuslah perbalahan yang akhirnya hanya memusnahkan sebahagian besar makhluk di bumi.

Dapat difahami, Allah berhak menurunkan apa juga ujian ke atas hamba-Nya yang tidak bersyukur dengan nikmat dan kurniaan-Nya bahkan melakukan perbuatan yang sentiasa mengundang kemurkaan Allah.

Ada waktunya Allah hanya menurunkan malapetaka kecil. Ia adalah amaran Allah supaya manusia segera menghentikan daripada berbuat sesuatu yang boleh mengundang kemarahan-Nya. Tetapi, apabila datang bala lebih besar, ia bukan lagi sebagai ingatan dan amaran, sebaliknya adalah bencana yang sengaja diturunkan Allah untuk memberi pembalasan di atas kerakusan manusia.

Firman Allah lagi yang bermaksud: “Wahai kaumku, mintalah ampun daripada Tuhanmu, kemudian kembalilah mentaati-Nya supaya diturunkan hujan lebat dan menambah bagi kamu kekuatan yang sedia ada dan janganlah kamu membelakangi seruan-Ku dengan terus menerus melakukan dosa.” (Surah Hud, ayat 52)

Keengganan menunaikan tuntutan agama seperti mengeluarkan zakat juga adalah salah satu hal yang boleh mengundang kemurkaan Allah. Antaranya melalui kejadian kemarau panjang.

Dalam hal ini Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak menghalang sesuatu kaum itu dari mengeluarkan harta mereka melainkan mereka menghalang langit daripada menurunkan hujan. Kalaulah tidak kerana binatang yang ada di muka bumi ini, nescaya langit pasti tidak akan menurunkan hujan buat selama-lamanya.” (Hadis riwayat Muslim)

Daripada Tarmidzi, daripada Ali, bersabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Apabila umatku melakukan 15 perkara berikut, maka layaklah bagi Allah menimpakan bencana ke atas mereka iaitu:

  • Apabila harta yang dirampas daripada peperangan diagihkan kepada orang tertentu saja.
  • Apabila wang zakat dikeluarkan kerana menebus kesalahan.
  • Apabila sesuatu yang diamanahkan menjadi milik sendiri.
  • Apabila suami terlalu mentaati isteri.
  • Apabila anak menderhaka kedua ibu bapanya.
  • Apabila seseorang itu lebih memuliakan teman daripada ibu bapa sendiri.
  • Apabila kedengaran lebih banyak bunyi bising.
  • Apabila lebih ramai membicarakan hal keduniaan di dalam masjid.
  • Apabila pemimpin sesebuah kaum itu adalah orang dihina oleh kaumnya sendiri.
  • Apabila memuliakan orang lain kerana takutkan ancaman yang akan diambil ke atasnya.
  • Apabila arak menjadi minuman biasa dalam majlis.
  • Apabila ramai lelaki memakai sutera.
  • Apabila wanita dijemput ke dalam majlis untuk menghiburkan lelaki.
  • Apabila wanita mula bermain alat muzik.
  • Apabila orang terkemudian menghina orang yang terdahulu.Maka pada saat itu, tunggulah bala yang akan menimpa dalam bentuk angin (puting beliung) dan gerak gempa yang maha dahsyat atau tanaman tidak menjadi.”

    Diperoleh dari Berita Harian Online.

  • Leave a Reply

    Fill in your details below or click an icon to log in:

    WordPress.com Logo

    You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

    Twitter picture

    You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

    Facebook photo

    You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

    Google+ photo

    You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

    Connecting to %s

     
    %d bloggers like this: