Sehening Kalbu

Kelana Berlandaskan Hati, Percaya Mengikat Diri…

Ibadat mesti tepati konsep pengabdian diri

Posted by anakkawi on December 24, 2007

Oleh Mohd Ayop Abd Razid

TUJUAN dan matlamat hakiki hidup insan ialah menyembah dan mengabdikan diri kepada Allah. Sebagai hamba Allah, sepatutnya manusia tunduk dan patuh, mengikut dan menurut serta taat dan setia kepada apa yang diperintahkan Allah.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan ingatlah Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.” (Surah az-Dzaariyaat, ayat 56)

Firman Allah lagi yang bermaksud: “Tidak ada sesiapa pun di langit dan di bumi melainkan ia akan datang kepada (Allah) Ar-Rahman, sebagai hamba.” (Surah Maryam, ayat 93)
Ketaatan dijelmakan melalui amalan dalam bentuk amal ibadat yang dilaksanakan setiap hari. Felo Kehormat Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (Istac), Dr Muhammad Uthman el-Muhammady berkata, ibadat adalah perkara puncak bagi Bani Adam kerana ia satu-satunya jalan menghubungkan hamba dengan ar-Rabb (Tuhan). Ia menjadi penyelamat insan dari alam dunia ke alam akhirat.
Prof T M Hasbi Ash Shiddieqy menjelaskan, ibadat dilaksanakan oleh hamba yang mukmin bergantung kepada hati yang maqashid (memakrifat sifat dan zat Allah) dan wasa’il (mengetahui hukum-hakam Allah) dalam melaksanakan sesuatu ibadat amalan dalam hidupnya. Dengan adanya jiwa yang maqasid dan wasa’il, seseorang itu akan dapat merasakan kebesaran Allah, takut dan harap kepada Allah.

Seluruh ibadat mestilah menepati konsep pengabdian diri kepada Allah, niat kerana Allah serta ikhlas dalam semua perkara dan aktiviti kehidupan mestilah dalam lingkungan syariat serta bersifat ehsan dalam beramal.

Semuanya terangkum dalam solat yang merangkumi rukun perbuatan, perkataan dan hati yang kemudian disimpulkan dalam solat. Ahli sufi melihat solat yang dihadirkan dengan makrifatullah akan mencapai maqam ehsan.

Makrifat terhadap Allah sangat penting dan menjadi asas hamba menyembah Penciptanya. Seorang hamba itu harus mengenal Tuhan sebagai ‘Wujud Hakiki’ melalui sifat dan nama-Nya (Asma ul-husna).

Intisari dan inti pati ibadat pula adalah ikhlas. Ia menjadi nilai dan ukuran di sisi Allah pada setiap bentuk pengabdian dan ibadat. Sementara tawakal pula membawa pengertian menyerah sepenuhnya kepada Allah Yang Maha Agung.

Hanya dengan cara pengabdian yang tepat inilah, maka jiwa manusia akan kembali damai, tenang dan tenteram. Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan sekalian nikmat yang diberikan), lagi diredai di sisi Tuhanmu!” (Surah al-Fajr, ayat 27-28)

Salah satu tanggungjawab manusia sebagai hamba Allah ialah memikul tugas sebagai khalifah seperti firman-Nya yang bermaksud: “Dan Dialah (Allah) yang menjadikan kamu Khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat, kerana ia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakan-Nya kepada kamu.” (Surah al-An’am, ayat 165)

Khalifah Allah adalah satu konsep yang mengandungi maksud manusia sebagai pengganti Allah dalam melaksanakan tugas di muka bumi. Menurut Syahid Syed Qutb, tugas manusia selaku khalifah ialah mengurus dan mentadbir bumi bertepatan dengan iradat Allah.

Manusia diberikan ‘kuasa’ untuk mengurus dan mentadbir alam dalam konteks kedudukannya sebagai khalifah. Ia diberi keizinan mengguna dan meneroka alam bagi membangun tamadun. Dalam memikul tugas itu, manusia tidak boleh lari daripada memikul kesalahan apabila ia gagal menjaga dengan baik alam ini dan melakukan kerosakan di atas muka bumi.

Peranan yang dianugerahkan Allah kepada manusia mendorong sifat hasad dengki iblis (syaitan) untuk tidak sujud menghormati Adam seperti yang diperintahkan Allah sehingga bersumpah akan menyesatkan anak dan cucu cicit Adam. Allah mengizinkannya, tetapi tidak kepada hamba-Nya yang ikhlas dalam menyembah dan beribadat kepada-Nya.

Justeru, segala amalan yang dilakukan manusia perlu ke arah mencapai reda Allah. Dalam mencari keredaan itu, ia harus memenuhi tuntutan hidup berdasarkan acuan yang ditetapkan Allah. Dalam masa sama, menolak tuntutan hidup yang bertentangan dengan tujuan dan fungsi hidupnya.

Allah tidak menciptakan manusia untuk tujuan sia-sia atau main-main dan dibiarkan begitu saja. Allah berfirman yang bermaksud: “Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (daripada tiada kepada ada) saja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu menyangka pula secara main-main saja dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami.” (Surah al-Mukminun, ayat 115)

Tafsir Pimpinan Ar-Rahman menjelaskan, ‘hikmah’ Allah menciptakan insan dalam ayat itu ialah untuk diajar serta ditugaskan mengerjakan suruhan dan meninggalkan larangan. Segala amalan dan ketaatan mereka akan dihitung di akhirat kelak untuk diberikan pembalasan.

Kehidupan dunia adalah medan ujian untuk manusia. Ada banyak ayat al-Quran yang menyatakan manusia akan diuji dengan pelbagai ujian. Firman Allah yang bermaksud: “Dialah yang mentakdirkan adanya mati dan hidup kamu untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya.” (Surah al-Mulk, ayat 2)

Ujian Allah bertujuan untuk menguji manusia yang benar-benar ikhlas serta taat kepada Allah. Segala lakonan dan kisah benar kehidupan insan di dunia akan dicatat dan dirakamkan malaikat yang taat kepada Allah. Semua amalan itu akan diadili di padang Mahsyar kelak.

Antara sifat manusia ialah sering lalai dan jahil mengenai hakikat dirinya sendiri. Kelemahan dan kejahilan manusia mendorongnya mudah tergoda dan terpesona dengan kilauan serta keindahan duniawi.

Apabila tergoda dan tertipu dengan dunia, maka datanglah sifat sombong, angkuh dan riak terhadap dirinya, malah terhadap Penciptanya. Prasangka dan sifat hati yang sering berdolak-balik kerap bermain di kalbunya.

Akalnya yang bersifat terbatas pula sering dipermain, diperdaya serta diperbodohkan oleh khayalan dan sangkaan terhadap keindahan hidup, mengenai kewujudan tuhan. Di sinilah datangnya ujian Allah bagi menentukan siapakah yang baik dan benar amalannya.

Ujian itu datang dari pelbagai arah iaitu dari dalam dan luar dirinya. Daripada dirinya sendiri ialah hawa nafsu dan akalnya yang selalu memperdayakannya. Dari luar atau lingkungannya seperti wanita, isteri, anak, kemewahan serta hiburan duniawi yang melalaikan.

Selain itu, manusia juga diuji dengan bencana seperti banjir, gempa bumi, ketakutan, kelaparan, fitnah, pengkhianatan, peperangan, kehilangan orang disayangi, kesempitan rezeki, kemiskinan serta gangguan yang menyakitkan hati khususnya datang daripada kalangan orang kafir dan munafik.

Ujian juga boleh datang apabila manusia memperoleh dan memiliki kekuasaan, pangkat, kedudukan dan jawatan, keluasan rezeki, kemenangan di medan perang, kejayaan dalam apa yang diusahakan dan kelebihan pada diri.

Insan mukmin yang memahami serta menghayati hakikat hidup sebenar akan menerima segala bentuk ujian dengan penuh tawakal, sabar dan sentiasa kembali kepada Allah (bertaubat). Mukmin yang bersikap demikian dirakamkan oleh al-Quran dalam firman Allah yang bermaksud: “Orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh suatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada-Nya jugalah kami kembali.” (Surah al-Baqarah, ayat 156)

Sikap mukmin yang tidak lupa daratan dan sentiasa bersyukur akan meletakkan dirinya yakin beriman dengan qada dan qadar Allah. Ia mampu hidup secara positif dan optimis dalam mengharungi hidup penuh onak serta duri.

Penulis ialah Pegawai Perhubungan Awam di Jabatan Hal Ehwal Khas, Kementerian Penerangan.

Dipeeoleh dari Berita harian Online.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: