Sehening Kalbu

Kelana Berlandaskan Hati, Percaya Mengikat Diri…

Ilmuwan tak jana idea isu mat rempit

Posted by anakkawi on December 24, 2007

SESUNGGUHNYA hingga kini apa penyelesaian terhadap isu mat rempit? Hakikatnya, masyarakat dibelenggu ketakutan tindak-tanduk mat rempit yang sememangnya mengancam keselamatan negara.

Ia bukan kali pertama kita diperdengarkan mengenai kebiadaban mat rempit ini. Ke mana pihak berkenaan dan yang sepatutnya tampil dengan strategi jangka panjang dalam menangani isu mat rempit ini?

Malah, ke mana ahli akademik yang sepatutnya menjana idea bernas sepatutnya berganding bahu dengan kerajaan untuk mengatasi isu mat rempit. Semuanya misteri, tinggal persoalan.

Setiap kali isu mat rempit dibangkitkan, tiada suara tampil dan sanggup membela masyarakat yang sememangnya harus diakui berada dalam keadaan ketakutan berikutan perlakuan mereka yang semakin liar dan sukar ditangani ini.

Sampai bila harus wujud keadaan sebegini? Apakah sukar untuk menggubal akta yang menjatuhkan hukuman sebat atau mengarahkan mat rempit melakukan aktiviti kemasyarakatan seperti menempatkan mereka di rumah orang tua atau di hospital.

Selain mengenakan tindakan tegas terhadap mat rempit, tindakan sama tegas terhadap ibu bapa atau pemilik motosikal yang digunakan juga harus dan wajar dalam membantu menangani masalah ini.

Kalau tidak sekalipun, membantu mengelakkan gejala ini daripada menjadi lebih buruk. Ada segelintir ibu bapa dengan mudah membenarkan anak menunggang motosikal walaupun tahu anak tidak mempunyai lesen.

Malah, kerajaan perlu peka dan mengambil kira keselamatan rakyat dan pelancong kerana tindak-tanduk mat rempit boleh menjejaskan nama negara sebagai sebuah pusat pelaburan, pelancongan dan pendidikan antarabangsa.

Ia bukan lagi isu sosial, ia harus dilihat dalam konteks keselamatan rakyat serta kepentingan awam dan negara. Jangan lupa, hakikatnya, mat rempit mengaibkan imej dan nama negara.

Kita pernah panjang lebar berdebat mengenai isu mat rempit hinggakan pada satu tahap, ramai yang berdebat apakah nama gelaran yang sesuai untuk mat rempit ini.

Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr Rais Yatim pernah memberi gelaran secocok seperti ‘penyangak rempit’ atau ‘dajal rempit’ untuk mencerminkan sikap buruk mereka.

Tiada guna lagi menghimpunkan mat rempit dan kemudian memberikan 1,001 seminar, ceramah dan segala macam kursus kerana hitam gagak tiada siapa yang mencelupnya. Andai kata kerajaan benar-benar ingin ‘memanusiakan’ beratus-ratus ribu mat rempit, jawapan hanyalah dengan undang-undang tegas.

Mat rempit yang selalunya bertindak liar seperti membaling bom petrol, melanggar anggota polis dan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang bertugas sudah melampaui batas norma kemanusiaan. Namun kita masih berdiam diri mungkin kerana terlalu kuat elemen ‘tidak apa’ dalam diri kita.

Hari ini, remaja keluar hingga larut malam bukan hanya di Kuala Lumpur. Hampir setiap bandar besar seperti Johor Bahru, Ipoh dan Georgetown, malah bandar kecil seperti Kulim dan Taiping, menunjukkan fenomena sama.

Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Ke-4 (KPKM-4) 2004 oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) setiap 10 tahun sejak 1974 itu mendapati bahawa 13.5 peratus remaja di Semenanjung, 12 peratus di Sabah dan 11.3 peratus di Sarawak keluar tanpa izin ibu bapa hingga larut malam.

Antara fakta menonjol dalam KPKM-4 ialah bilangan remaja lelaki dan perempuan yang keluar tanpa izin ibu bapa hingga larut malam meningkat mendadak berbanding kajian sama pada 1994, iaitu dari 3.7 peratus kepada 22.2 peratus (lelaki) dan 0.8 peratus kepada 4.6 peratus (perempuan).

Perangkaan Jabatan Kebajikan Masyarakat pula menunjukkan sebanyak 6,056 kes juvana dilaporkan pada 2004. Angka ini menunjukkan peningkatan sebanyak 1,058 kes juvana berbanding kes yang dilaporkan pada 2003.

Dengan mengambil kira kes sosial seperti gejala ‘mat rempit’, seks bebas, kongsi gelap, ragut, samun, rogol dan sebagaimana yang sering disiarkan di media massa, kita berani untuk menyatakan bahawa jika beginilah bentuk belia yang dibentuk pada masa kini, maka negara kita sebenarnya akan kekurangan belia yang menepati modal insan.

Keadaan ini akan mengganggu gugat proses pertumbuhan dan pencapaian pelbagai bidang terutama bidang ekonomi.

Apa yang akan wujud nanti adalah mat rempit yang mempunyai tahap pendidikan rendah, kemungkinan terbabit dalam jenayah lebih tinggi kerana kos sara diri yang tinggi.

Jika permasalahan ini tidak dibendung, dikhuatiri permasalahan ini akan merebak menjadi barah dan seterusnya menjadi satu kebiasaan (seperti kes mat rempit) dan ia sesuatu yang menyalahi nilai akhlak ketimuran dan undang-undang negara kita.

EDWIN MICHEAL,
Pusat Pengajian Komunikasi,
Universiti Sains Malaysia,
Pulau Pinang.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: