Sehening Kalbu

Kelana Berlandaskan Hati, Percaya Mengikat Diri…

Kata Saya: Kelalaian ibu bapa punca gejala sosial remaja

Posted by anakkawi on December 24, 2007

Oleh Rasid Rahaman

KETIKA memandu seorang diri, tiba-tiba saya teringat beberapa kejadian menyedihkan ketika bertugas sebagai wartawan di Harian Metro sekitar awal 1990-an.

Ketika itu perkataan bohsia dan bohjan masih asing lagi. Begitu juga mat rempit, tetapi penyakit sosial membabitkan remaja berusia antara 13 hingga 18 tahun sudah parah. Apa tidaknya ketika membuat tinjauan masalah sosial di kalangan remaja ketika itu, pelbagai maklumat saya peroleh. Antaranya membabitkan tiga gadis remaja tinggal sebilik dengan dua remaja lelaki. Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun mengandung anak luar nikah, tetapi berjaya menyorokkan daripada diketahui sesiapa walaupun kandungan sudah berusia lapan bulan.

Di dalam beg tangan kebanyakan remaja perempuan, tersimpan pil perancang, kondom dan pelbagai lagi khazanah untuk diri sebagai perlindungan ketika melakukan seks bebas.

Kejadian itu berlaku 15 tahun lalu dan kini saya tidak tahu ke mana perginya remaja terbabit yang mungkin sudah berusia antara 28 hingga 30 tahun. Mungkin mereka insaf atau terus bergelombang dengan dosa sama ada sebagai pelayan perhubungan pelanggan (GRO) atau pelacur.

Pengalaman itu menyedarkan saya bahawa kita sebagai ibu bapa selama ini gagal melaksanakan tanggungjawab kepada anak menyebabkan mereka terlalu lemah menghadapi pelbagai dugaan hidup. Oleh itu, tidak hairanlah ramai daripada anak kita terjerumus dalam masalah sosial dan kegiatan maksiat.

Anak ialah pertaruhan yang Allah amanahkan kepada kita supaya menjaga dan memelihara mereka. Sebagai ibu bapa kita mesti berusaha bersungguh-sungguh melaksanakan didikan agama. Tugas mendidik anak beragama itu adalah wajib hukumnya, bukan setakat pendidikan untuk Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) atau Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Tanggungjawab kita sebagai ibu bapa terhadap anak amat berat. Jika kita salah mendidik atau mengabaikannya, anak kita mungkin menjadi tidak keruan hidupnya.

Sungguh malang, sudahlah kita tidak memberi didikan agama kepada mereka, kita sendiri tidak berpengetahuan agama dan paling dahsyat lagi, kita asyik mengumpul dan terpengaruh dengan pujukan dunia.

Oleh kerana hendakkan kemewahan berlipat ganda, kita abaikan tugas sebagai bapa dan suami. Anak maharajalela dan isteri pula tidak mendengar kata, malah ada yang berlaku curang.

Sedarkah kita ada di kalangan anak tidak tahu membaca al-Quran. Tidak tahu sembahyang bahkan al-Fatihah pun tidak boleh baca, jauh sekali daripada menghafalnya. Ada juga yang tidak tahu menyebut syahadah walaupun sudah baligh.

Akibatnya kebanyakan anak hari ini terdiri daripada mereka yang hanya pandai berfoya-foya, pandai menyakitkan hati dan meracuni jiwa serta menderhakai orang tua mereka.

Apa yang dikesalkan, kita tidak mahu menyalahkan diri sendiri tetapi menyalahkan anak dan paling teruk menyalahkan orang lain. Sebenarnya semua ini berpunca daripada kita yang tidak mengambil berat mengenai didikan agama.

Puncanya kerana perasaan kasih sayang sudah luput daripada kita. Kebanyakan kita sudah tidak menyayangi anak lagi. Buktinya kita tidak ambil pusing hal keagamaan anak kita.

Ingatlah antara tiga bekalan di akhirat kelak ialah amal jariah, ilmu yang diperturunkan kepada orang lain dan doa anak salih. Jika anak hendak membaca al-Fatihah pun tidak tahu, macam mana dia hendak mendoakan kita kelak.

Sebenarnya kita tahu, tetapi sengaja tidak mengambil tahu bahawa anak yang beribadat, bersembahyang dan mendoakan kita, pahalanya juga akan sampai kepada kita lantaran didikan dan asuhan kita dulu. Ibarat pokok yang kering apabila disiram air akan segar semula. Begitulah mustajab anak yang salih mendoakan ibu bapanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: