Sehening Kalbu

Kelana Berlandaskan Hati, Percaya Mengikat Diri…

Memahami al-Quran menerusi sains, fizik dan matematik

Posted by anakkawi on December 24, 2007

Oleh Dr Ilias Zaidi

KALAU judul ini ditulis oleh seorang intelektual bertaraf profesor fizik dan matematik atau seorang ulama tersohor, saya tidak hairan. Tetapi hakikatnya Kebenaran Mutlak: Memahami Kesempurnaan ditulis oleh cerpenis dan novelis terkuat Malim Ghozali PK, yang berasal dari Malim Nawar, Perak.

Yang lebih aneh ialah beliau yang pernah berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik selama lebih 21 tahun sebelum bersara pilihan 1994, terdidik di Universiti Malaya, dalam disiplin Pengajian Melayu/Antropologi Sosial, tidak ada kaitan langsung dengan disiplin sains, fizik, dan matematik.

Judul yang terhasil cukup hebat hasil kajian lebih empat tahun, sehingga memaksa beliau memencil dan menyepi diri daripada arena sastera, seperti pengakuannya kepada saya pada satu majlis keramaian orang seni dan penggiat sastera.
Pendekatan surah tertentu dalam kitab suci al-Quran digunakan dalam hujahan beliau berbentuk silogisme terhadap penemuan dan andaian sains, fizik, dan matematik. Sesiapa juga yang rajin dan cukup berminat menelaah dan mengkaji kitab suci al-Quran akan menemui hakikat sebenar di sebalik penemuan sains selama ini.

Premis utama hujahan ialah alam semesta ciptaan Allah SWT, sebagai hakikat dan bukti akan kewujudan Ilahi, pengatur sekalian alam agar bergerak dan bertindak mengikut sistem harmonis sehingga ‘alam semesta ciptaan Allah SWT berputar di sekeliling konsep harmoni bagi semua kejadian. Tidak ada laluan untuk perlanggaran. Rupa, saiz, dan bentuk adalah sukatan dan identifikasi’.

Di sebalik premis utama, yang menariknya hujahan penulis terhadap lima hipotesis sekitar `Alam ghaib dan alam nyata’, `al-Quran, antara nisbah emas dengan tranformasi Ghoz Gt’, `Bulatan dan Misteri Pi’, `Titik Paling Padat Dinamo Kehidupan’ dan `Sistem Suria’.

Hipotesis kecil mengenai Surah al-Fatehah , Surah ar-Rahman dan Muqatta’at mengapit kelima-lima andaian berkenaan.

Persoalan demi persoalan diterjahkan sebelum premis pertama dikemukakan yang disusuli dengan premis kedua menjadikan rumusannya amat kukuh, payah sekali hendak digoyah.

Dalam rentetan hujahan logik menuju rumusan, penulis mengemukakan persoalan dulu, seperti `Apakah sebenarnya wujud infiniti seperti dihuraikan ahli matematik?’ Jawapan penulis sebelum berhujah ialah “Saya mengatakan tidak”.

Kemudian, `Dapatkah kewujudan Allah SWT dibuktikan secara matematik?’ Kemudian dengan tegas penulis menjawab: “Saya memilih untuk mengatakan ya”.

Yang satu lagi “Adakah alam ghaib berlawanan dengan sains moden?”. Sudah pasti tidak kerana hujah penulis “Sains dan fizik menyokong kuat kenapa beriman dengan yang ghaib diletakkan di tempat teratas oleh Allah Yang Maha Berkuasa”.

Alasannya terletak pada kesimpulan yang sudah diterima bahawa ‘matematik, mekanik kuantum, ilmu falak, dan semua bidang sains adalah sebahagian daripada dinamika fizik atau dalam perkataan mudah adalah fragmen daripada gambar yang sebenarnya’.

Justeru, usaha paling mudah mencari Allah SWT ialah dengan mengenali-Nya, sekali gus memahami pengertian ciptaan diri manusia itu sendiri serta hubungan mereka dengan-Nya. Allah SWT menyebutkan kedekatan Dia dengan manusia menerusi surah Qaaf ayat 16 yang bermaksud: Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya’.

Ertinya `Jika manusia dianggap sebagai imej Allah SWT, tidaklah sesulit mana hendak memahami kewujudan-Nya. Apa juga yang berada di bumi dan di langit hanya pengukuhan kewujudan-Nya. Semuanya adalah hakikat isyarat serta petanda Allah SWT’.

Kata penulis lagi: “Semua makhluk sama ada di langit mahupun di bumi menyatakan pujian kepada Allah Maha Pencipta, tanpa sebarang alasan”.

Pastinya yang menarik ialah analisis kritikal lagi komprehensif Malim Ghozali PK terhadap tesis kecil `Sistem Suria’ dengan mempersoalkan jumlah planet sama ada sembilan, sepuluh ataupun sebelas?

Penemuan Quaoar atau bahasa Arabnya disebut `Kwaa’waar’ sebagai planet kesepuluh pada 10 Julai 2002 meminggirkan kehairanan umat Islam jika mereka memahami maksud surah Yusuf ayat 4 yang bermaksud:

(Ingatlah) ketika Yusuf berkata kepada ayahnya: `Wahai ayahku, sesungguhnya aku bermimpi melihat sebelas buah planet, matahari dan bulan; kulihat semuanya sujud kepadaku.

Enam planet dikesani ahli falak zaman bahari iaitu Utarid, Zurah, Marikh, Musytari, Zuhal dan al-Ard. Uranus (1761) dan Nabtun (Neptune) (1876) dikesan kemudian sebelum Bluto (Pluto) ditemui pada 1930.

Buat sekian lama, manusia sudah selesa dengan sembilan planet. Kini ada 10 planet berbanding 11 planet seperti tersurat dalam Surah Yusuf.

Malim Ghozali PK menyifatkan Quaoar planet kesebelas bukannya kesepuluh berdasar hujahannya meletakkan `planet secara bercampur-aduk dalam keadaan nilai planet dalam hadis ditembungkan dengan nilai planet dalam Sistem Suria’.

Bagi kami, buku sebuah karya intelektual yang amat bermakna buat mereka yang ingin dan mampu berfikir merenungi kejadian alam semesta untuk mengenali dan mendekati diri kepada-Nya, demi kelangsungan hidup yang berkat dari dunia hingga akhirat insya-Allah.

Persis kata Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria berbunyi: “Mengikut pembacaan saya, inilah kajian pertama di dunia mengenai al-Quran yang menggunakan pendekatan sains, fizik, dan matematik secara serentak bagi memahami al-Quran. Saya juga mendapati ia tidak terpesong daripada pengertian al-Quran itu sendiri”.

Golongan intelektual dan ulama kita harus membaca karya tersohor ini, yang asalnya ditulis dalam Bahasa Inggeris The Profound Truth : Understanding Perfection, pada akhir April 2006.

Membacanya mencelikkan minda dan mentuntaskan fikiran dan menghanyutkan diri dalam satu perjalanan rohaniah yang bernas dan jitu untuk memahami kandungan kitab suci al-Quran, yang sudah sekian lama dimanfaatkan oleh intelektual sains fizik dan matematik bukan Islam selama ini.

Saya berkongsi pendapat Prof Dr Muhammad Uthman ElMuhammady dalam prakata: `Buku ini akan jadi lebih berkesan untuk memahami makna ayat al-Quran yang sering dihubungkaitkan dengan fakta saintifik atau penemuan yang selalu dibincangkan.’

Tidak keterlaluan kalau dikatakan bahawa karya tersohor ini membawa bersamanya ilmu, kefahaman, keyakinan, malah usaha ke arah kemurnian buat umat manusia seluruhnya.

Malangnya, intelektual kita tidak menulis. Kalau adapun tidak lebih daripada tulisan berkala, longgokan pemikiran yang berpecah-pecah tanpa kesatuan yang teranyam baik seperti tulisan akademik. Ada yang baru menyunting sebuah buku tidak sampai seratus halaman, sudah heboh seluruh tanjung dan teluk, belum lagi hebat sesohor buku ini.

Alberat Einstein dengan berani berkata 71 tahun lampau begini: “Sejauh mana usul matematik dilihat dari sudut kebenaran, ia belum tentu betul dan sejauh mana ia betul, belum tentu pula ia benar”.

Saya teringat akan kata Charles Darwin yang saya petik dalam tulisan saya 43 tahun lampau begini: “Sumber keyakinan lain akan wujudnya Tuhan, yang berhubung dengan akal dan bukan dengan perasaan, memberi kesan lebih mendalam kepada saya. Hal ini timbul akibat kesukaran tidak terkira atau kemustahilan bagi memahami alam yang maha besar lagi ajaib ini, termasuk manusia dengan kesanggupannya memandang jauh ke belakang dan jauh kepada masa depan, sebagai hasil daripada peluang buta atau keperluan.”

Pastinya kelahiran judul oleh buah tangan novelis dan cerpenis berbakat besar ini menjadi cabaran kepada golongan intelektual dan ulama untuk menghasilkan seumpamanya, dan kalau boleh, jauh lebih hebat lagi sesuai dengan kelulusan, pengalaman dan kemahiran mereka demi tuntutan mencelik akal budi umat seluruhnya.

Diperoleh dari Berita Harian Online.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: