Sehening Kalbu

Kelana Berlandaskan Hati, Percaya Mengikat Diri…

Tinta Citra: Pantau e-mel perdaya wanita

Posted by anakkawi on December 24, 2007

Oleh Fadzlena Jafar
fadzlena@bharian.com.my

Assalamualaikum

PERNAH seorang teman bertanya kepada saya, bagaimana hendak cepat kaya? Ketika itu kami masih belajar di menara gading. Melihat beberapa teman yang berkereta di kampus dan tidak perlu meredah panas terik atau hujan ribut untuk ke dewan kuliah yang letaknya hampir dua kilometer dari asrama, timbul juga rasa cemburu.

Bukan menyesal dilahirkan dalam keluarga kurang berkemampuan, tetapi sebagai insan biasa sudah tentu kita ada rasa atau mengimpikan untuk berada di tempat mereka. Lebih-lebih lagi, apabila melihat teman berkenaan bergaya hebat dengan baju dan kasut berjenama sedangkan kita ala kadar saja.

Tetapi, tidak pula sampai sanggup menggadai maruah diri untuk menikmati wang saku lebih. Saya pernah mendengar mengenai beberapa pelajar yang dikatakan menjalankan aktiviti sampingan untuk menikmati `kekayaan yang pura-pura’. Hidup bertemankan lelaki tua ganyut walaupun dalam hati hendak muntah melihat kulit yang kedut seribu itu.
Hakikatnya paparan gaya hidup mewah yang sering dilihat dalam majalah dan televisyen boleh mempengaruhi fikiran seseorang. Tidak cukup dengan itu, kehadiran gadis kampung yang berjaya menjadi jutawan apabila filem atau lagu mereka meletup di pasaran turut membuatkan kita termenung mengenang nasib.

Belajar macam nak rak hampir berpuluh tahun, orang lain yang belajar main-main, tetapi mampu hidup mewah kerana mempunyai bakat menyanyi atau sekadar wajah jelita yang membuatkan lelaki kaya angau melihat mereka.

Kita? Hendak kata ada bakat, hanya bilik air yang sudi mendengar nyanyian, rupa pula orang kata ala-ala gitu. Hmm…bagaimana nak cepat kaya, ya. Masuk peraduan? Kalau orang lain cukup sekadar satu penyertaan sudah boleh menang sebuah kereta, kita yang hantar 10 borang pun belum tentu menang walaupun hadiah sagu hati. Itulah orang kata, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia…

Apapun, saya percaya tiada jalan singkat untuk berjaya atau memperoleh kekayaan. Tanpa usaha, jangan mimpi hendak menjadi kaya. Ingatlah janji Tuhan `nasib seseorang tidak akan berubah melainkan dia sendiri yang berusaha mengubahnya’.

Dalam hubungan ini, saya ingin menjadikan kisah Umi Azlim yang kini meringkuk di Pusat Tahanan Shantou sebagai iktibar kepada diri sendiri dan juga anda semua, khususnya wanita muda yang sedang mencari pekerjaan. Sayang sekali kerana Umi Azlim gadis berpendidikan tinggi, tetapi terpedaya jua.

Kepada anak muda hari ini, jangan cepat kabur mata melihat tawaran gaji lima angka tanpa menyelidik dulu syarikat yang menawarkan peluang pekerjaan itu. Dalam keghairahan kita mencari kerja, biarlah kita pastikan syarikat berkenaan benar-benar wujud dan berdaftar secara sah.

Apa yang penting dengan taraf pendidikan yang ada, biarlah kerja yang dicari bersesuaian dengan kelayakan kita, bukan sekadar menjadi `penghantar’ bungkusan atau barang yang meragukan. Saya percaya ada banyak lagi syarikat atau kumpulan yang menjalankan modus operandi seperti itu. Entah berapa ramai lagi gadis yang kini menjadi `alat’ untuk menjalankan kerja kotor mereka.

Pada masa sama, jangan mudah percaya kepada pelbagai tawaran dan cerita yang disiarkan di internet. Sejak kebelakangan ini, jika anda lihat di kotak e-mel anda, ada pelbagai e-mel kiriman daripada insan tidak dikenali yang `memujuk’ supaya menyertai skim cepat kaya.

Buang saja kerana tawaran sebegitu sebenarnya hanya penipuan. Percayalah tiada jalan mudah untuk kaya, melainkan anda berusaha untuk mendapatkannya. Saya pernah menerima kiriman e-mel daripada luar negara yang kononnya memaklumkan saya memenangi loteri bernilai ratusan ribu pound. Pada mulanya, teruja juga walaupun terkejut membacanya sehingga berkali-kali membaca kandungan e-mel berkenaan.

Bayangkan kita `terpilih’ memenangi hadiah sebegitu dan apa yang boleh kita lakukan dengan wang sebanyak itu! Tetapi, apabila difikirkan balik, mustahil pula rasanya alamat e-mel kita terpilih daripada jutaan e-mel seluruh dunia. Justeru, apabila mendapat tahu teman lain juga menerima e-mel berkenaan, hati tertawa dengan kebodohan sendiri.

Terbaru, satu e-mel yang mengatakan bilionaire Bill Gates hendak berkongsi hartanya dengan sesiapa saja, menjadi taruhan pihak berkenaan. Bimbang satu hari nanti, ada juga yang terpedaya kerana ada kalanya cerita sindiket penipuan internet itu amat meyakinkan.

Apa yang membimbangkan, e-mel sebegitu seolah-olah sengaja memilih wanita sebagai mangsa. Tawaran kerja lumayan, peluang melancong ke luar negara sambil membeli-belah dan kerja mudah yang sesuai untuk wanita antara janji mereka.

Justeru, diharap pihak berkuasa memantau pihak yang menyebarkan e-mel sebegitu. Jangan biarkan lebih ramai wanita di negara ini terpedaya atau membiarkan diri mereka diperalatkan pihak tertentu. Cukuplah 30 keluarga yang menderita apabila anak mereka ditangkap di luar negara kerana kesalahan yang tidak sepatutnya berlaku.

Benar mereka bersalah kerana membiarkan diri diperdaya tetapi dengan menyiasat pihak tertentu dan mengenakan hukuman setimpal akan memastikan pihak lain tidak berani untuk melakukan jenayah atau penipuan yang sama.

Jumpa lagi! fadzlena@bharian.com.my

Diperoleh dari Berita Harian Online.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: