Sehening Kalbu

Kelana Berlandaskan Hati, Percaya Mengikat Diri…

Ulul Albab: Rasional akal tak boleh tandingi wahyu

Posted by anakkawi on December 24, 2007

Oleh Abdurrahman Haqqi

Menyokong penghapusan hukum bunuh bermakna menentang perundangan al-Quran

DENGAN dalih akal yang semu bahawa hukum bunuh adalah ‘undermines human dignity’, 104 daripada 192 negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bersetuju untuk menghapuskan hukum bunuh daripada perundangan negara masing-masing dalam satu resolusinya Selasa lalu. Ketetapan ini ditentang oleh 54 negara manakala 29 negara berkecuali. Di baris hadapan yang menentang resolusi adalah Amerika Syarikat sebagai jaguh demokrasi dunia, China, Iran dan kebanyakan negara Islam.

Nampaknya dalam perkara di atas negara Islam satu barisan dengan AS yang selalu ‘mempermainkan’ dengan permainan licik dan curang mereka tanpa disedari atau memang sedar tetapi tidak kisah. Yang pasti daripada persamaan fikiran mereka dalam penolakan resolusi di atas adalah sebab-sebabnya yang berbeza.

Kita tidak akan berbincang mengenai isu serpihan ‘lapuk’ di atas tetapi yang ingin disentuh di sini adalah isu perlawanan akal dengan agama. Akal manusia mengatakan bahawa hukuman bunuh adalah ‘undermines human dignity’ dan agama mengatakan bahawa ia termasuk dalam undang-undangnya yang antaranya bermaksud: “Dan di dalam qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang yang berakal supaya kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah: 179)

Akal manusia dalam penghapusan hukum bunuh telah berlawan dengan kehendak Pencipta mereka yang membenarkannya. Mereka dengan akal fikiran dalam bab ini seolah-olah menyerupai dengan jalan fikiran musuh moyang pertama mereka ketika berkata kepada Pencipta apabila diperintah untuk sujud maksudnya: “Dan (ingatlah peristiwa) tatkala Kami berfirman kepada malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam”; maka mereka sujudlah melainkan iblis; ia berkata: “Patutkah aku sujud kepada (makhluk) yang Engkau jadikan daripada tanah (yang diadun).” (Surah al-Isra’: 61)

Akal manusia moden mempertikaikan ketetapan agama termasuk hukum bunuh padahal ia telah ditetapkan sejak dulu lagi seperti difirmankan maksudnya: “Dan Kami telah tetapkan atas mereka di dalam Kitab Taurat itu bahawa jiwa dibalas dengan jiwa, mata dibalas dengan mata…” (Surah al-Maidah: 45)

Pertentangan antara akal dan wahyu (baca: agama) sudah berlangsung sejak zaman manusia berasa tidak terikat lagi dengan agama Allah yang dibawa oleh nabi dan rasul dan meberasa yakin akal dan perasaannya mampu menggantikan kedudukan agama Allah dalam membimbing kehidupan manusia di dunia ini. Kecenderungan demikian ini mulai tumbuh setelah agama Allah yang diajarkan oleh nabi dan rasul itu, sepeninggalan mereka, dirasuki oleh pelbagai bidaah dan khurafat sehingga akal yang sihat cenderung menolak agama yang diselimuti oleh pelbagai bidaah dan khurafat itu.

Sepuluh generasi umat manusia pertama selepas Nabi Adam hidup dalam keimanan dan berjalan di jalan yang lurus seperti dikatakan Ibnu Abbas: “Antara Nabi Nuh dan Adam ada 10 generasi, mereka semua berada di atas syariat yang benar. Kemudian mereka pun berselisih, sehingga Allah mengutus Nabi-Nya sebagai pemberi khabar gembira dan peringatan.” (Tafsir al-Tabari II/347)

Pada zaman Nabi Nuh AS inilah bermulanya sejarah panjang pergolakan antara superioriti (kesombongan) akal fikiran dan perasaan pada satu pihak melawan agama Nabi Allah di pihak lain. Sejarah ini pun masih dilanjutkan sampai hari ini dan terus berkecamuk sampai hari kiamat nanti.

Allah berfirman maksudnya: “Pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu (menurut agama Allah yang satu, tetapi setelah mereka berselisih), maka Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang yang beriman dengan balasan syurga), dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar dengan balasan azab neraka); dan Allah menurunkan bersama nabi itu kitab-kitab suci mengandungi keterangan yang benar, untuk menjalankan hukum di antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihan. Dan (sebenarnya) tidak ada yang melakukan perselisihan melainkan orang yang telah diberikan kepada mereka kitab suci itu, iaitu sesudah datang kepada mereka keterangan yang jelas nyata, mereka berselisih semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri. Maka Allah memberikan petunjuk kepada orang yang beriman ke arah kebenaran yang diperselisihkan oleh mereka (yang derhaka itu), dengan izin-Nya. Dan Allah sentiasa memberi petunjuk hidayah-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang betul lurus (menurut undang-undang peraturan-Nya.” (Surah al-Baqarah: 213)

Dalam mentafsir ayat ini, bersandarkan perkataan Ibn ‘Abbas di atas, Ibn Kathir menyatakan: “dulu manusia itu di atas agama Nabi Adam, akhirnya selepas itu mereka menyembah berhala sehingga Allah mengutus kepada mereka Nabi Nuh AS sebagai Rasul pertama yang diutus Allah kepada penduduk bumi.” (Tafsir Ibn Kathir I/250)

Jelas kepada kita daripada petikan di atas bahawa anak Adam sepeninggalan beliau konsisten di atas agama tauhid dan tidak mencampurkannya dengan bidaah dan syirik dalam kurun waktu 10 generasi yang waktu itu usia mereka masing-masing sekitar 1,000 tahun. Masa 10 generasi itu bererti beribu-ribu tahun seperti dikatakan Ibn Kathir dalam kitabnya yang lain al-Bidayah wa al-Nihayah. (I/94)

Selepas itu, pada generasi berikutnya muncul berhala sembahan yang bernama Wadd, Suwa’, Yaghuth, Ya’uq, dan Nasr seperti dalam Surah Nuh ayat 23. Ibn ‘Abbas berkata: “Nama-nama ini adalah nama daripada beberapa orang salih dari kaum Nabi Nuh, ketika mereka meninggal dunia, syaitan memunculkan idea di kalangan kaum orang salih itu agar mereka membuat patung peringatan yang dipancangkan pada majlis mereka tempat dahulunya orang salih itu duduk dan agar memberi nama patung-patung itu dengan nama-nama mereka. Kaum yang ditinggal mati oleh orang salih berkenaan menerapkan idea yang diilhamkan oleh syaitan itu. Patung berkenaan ketika itu belum disembah oleh mereka. Ketika generasi pertama kali yang membuat patung itu meninggal dunia dan ilmu agama dilupakan umat, akhirnya patung itu disembah.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Allah mengutus nabi pertama untuk meluruskan penyimpangan setelah mereka tidak mengikuti lagi ajaran Nabi Adam. Allah berfirman maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah mengutus Nabi Nuh kepada kaumnya, (dengan berfirman kepadanya): “Berikanlah peringatan dan amaran kepada kaummu sebelum mereka didatangi azab yang tidak terperi sakitnya.” (Surah Nuh: 1)

Demikianlah perjalanan sejarah penyimpangan umat manusia, berproses daripada satu generasi ke generasi berikutnya. Dalam al-Quran disebutkan maksudnya “Kemudian mereka digantikan oleh keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka).” (Surah Maryam: 59) Ini adalah proses dominasi akal fikiran dan perasaan manusia dalam memandang nilai kehidupan mereka dengan sedikit menggeser kedudukan agama Allah yang diajarkan oleh Nabi-Nya dan proses itu akhirnya menjadi upaya menyingkirkan sama sekali agama Allah daripada kehidupan manusia dan munculnya agama baru yang bersumber daripada akal dan perasaan semata.

Penggunaan akal fikiran dengan mengetepikan kekuasaan Allah adalah sial dan menghancurkan seperti yang dialami iblis. Dan tidaklah matahari dan bulan itu disembah melainkan dengan sebabnya.

Kaum Nabi Nuh AS yang mengqiyaskan patung-patung yang mereka buat dengan orang salih yang meninggal dunia sehingga mereka menganggap bahawa menghormati patung itu bererti menghormati orang salih berkenaan. Berdoa kepada patung itu dianggap sama dengan meminta doa daripada orang salih berkenaan ketika mereka masih hidup agar mereka berdoa kepada Allah dengan memohon apa yang mereka minta. Pada akhirnya, dengan qiyas demikian ini jadilah mereka penyembah patung-patung itu.

Ibnu al-Qayim dalam kitabnya al-Sawa’iq al-Mursalah, memperincikan orang yang menentang wahyu Allah dengan akal fikiran mereka. Beliau menulis: “Sesungguhnya orang yang menentang wahyu dengan akal fikirannya ada lima golongan iaitu golongan yang menentang wahyu dengan akal mereka dalam menyikap berita dari langit, dalam perkara ini mereka lebih mendahulukan penilaian akal dan mereka mengatakan kepada orang yang beriman kepada wahyu Allah: “Kami mempunyai dalil aqli sedangkan kalian memiliki dalil naqli.”; golongan yang menentang wahyu dengan fikiran dan qiyas mereka, mereka berkata kepada Ahlil Hadis: “Kalian memiliki hadis, sedangakan kami memiliki ra’yu (rasional) dan qiyas.” ; golongan yang menentang wahyu dengan mencari hakikat segala sesuatu menurut pandangan dan perasaan mereka. Mereka menyatakan: “Kalian mempunyai syariat, sedangkan kami memiliki ilmu hakikat.”; golongan yang menentang wahyu dengan ambisi politik dan kepemimpinan. Mereka menyatakan: “Kalian ahli syariah, sedangkan kami ahli politik.” ; dan golongan yang menentang wahyu dengan pentafsiran cara kebatinan. Mereka menyatakan: “Kalian orang yang terpaku dengan perkara zahir, sedangkan kami adalah orang yang mendalami perkara batin.” Semua golongan ini tidak mempunyai lunas yang kuat dalam pemahaman masing-masing, bahkan mereka hanya mengikuti hawa nafsu dalam memahami sesuatu.” (III/1051)

Itulah hasil daripada mengikuti hawa nafsu yang menguasai dan mengawal akal fikiran. Sebenarnya akal fikiran manusia hanyalah satu alat yang luar biasa dan unik di samping ia sebagai nikmat yang tidak ternilai harganya. Ia seperti juga alat lain yang digunakan manusia untuk kepentingan mereka sama ada yang berguna mahupun yang tidak berguna. Akal fikiran tidak pernah menjadi ‘determinator’ ke atas yang hak dan yang batil, tetapi ia boleh ‘menasihati’ manusia akan sesuatu yang hak dan batil. Wallahu a’lam.

Diperoleh dari Berita Harian Online.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: