Sehening Kalbu

Kelana Berlandaskan Hati, Percaya Mengikat Diri…

Cara hidup pemilik pengaruhi pembinaan taman

Posted by anakkawi on December 25, 2007

SALAM sejahtera! Minggu ini sambungan program ubah suai taman Amzatul Ellita Mohd Yusof, 29, (pemenang pertandingan mencari cerita lawak, petua, tip laman) akan mengupas topik cadangan reka bentuk taman Neo Nusantara. Masih ingatkah anda, perkara asas yang sering kami utarakan mengenai keindahan dan kegunaan taman kepada pemilik? Kedua-dua aspek ini menjadi petunjuk dalam mereka bentuk taman idaman rumah beliau.

Setiap rumah mempunyai karektor tersendiri yang berkait rapat dengan jumlah isi rumah, latar belakang dan cara hidup penghuninya. keluarga Amzatul hanya bertiga termasuk seorang cahaya. Kunjungan ibu bapa, mentua, sanak saudara dan rakan membuatkan jumlah isi rumah dan aktiviti harian berbeza pada masa tertentu. Jadi, keutamaan tertumpu kepada aspek keindahan taman dan bertindak sebagai penyambut tetamu. Dalam aspek kegunaan pula ia berfungsi sebagai tempat bersantai ahli keluarga atau tetamu.

Selepas bertukar-tukar pandangan, reka bentuk yang kami ketengahkan adalah merancang ruang yang sesuai dijadikan tumpuan pandangan `focal point’, mewujudkan ruang yang teduh dan memanipulasi ruang hambar kepada boleh diguna bersesuaian dengan keadaan kesan fizikal.

Bagi mewujudkan sebuah ruang yang dapat menarik perhatian, set kolam cucu digandingkan dengan pancuran air Pucuk Rebung menghiasi ruang laman sebelah kanan rumah. Pemilihan kedudukan ini berdasarkan beberapa faktor seperti kesan peralihan matahari, kemudahan dari aspek teknikal dan dapat dilihat dari pelbagai arah.

Bayangkan bila pulang kerja, mata memandang ke arah pancuran air mengalir nyaman, sekali gus memberi titik noktah bahawa saat itu bukan lagi masa memikirkan hal kerja. Pangkin yang hampir separuh mengelilingi kolam cucu membolehkan kita merebahkan badan seketika.

Sambil duduk, jari jemari menyentuh aliran air dan anak mata asyik memerhatikan anak ikan yang meliuk ke setiap penjuru kolam. Kombinasi ini gaya simbolik dalam mereka bentuk taman Neo Nusantara berdasarkan cara hidup petani merehatkan penat lelah selepas turun ke sawah, melabuhkan punggung di pangkin di bawah pohon merimbun. Suasana dan cara hidup desa menjadi pencetus idea asal dalam merealisasikan sebuah taman Neo Nusantara.

Taman Neo Nusantara yang sempurna, tidak lengkap jika tidak dihiasi pokok cempaka putih bersebelahan kolam. Pokok cempaka putih mempunyai bunga berbau harum di samping silara pokoknya yang mampu memberi teduhan dan mengurangkan kesan pancaran matahari terik. Ini kerana ruang yang menempatkan kolam cucu dan pangkin akan menerima pancaran matahari dari sebelah pagi hingga tengah hari. Untuk mencantikkan ruang ini pada waktu malam, lampu gantung berunsurkan bentuk sarang lebah dan jantung pisang berukir digantung pada dedahan pokok cempaka putih.

Olahan taman dan suasana menjadi terapi jiwa kepada manusia dengan berinteraksi dengan alam menerusi minda. Jadi janganlah kita terkejut bila ternampak ada orang bercakap seorang diri atau bercakap dengan pokok!

Olahan suasana begini terbit berdasarkan lima unsur rangsangan pancaindera dalam konsep taman Neo Nusantara iaitu pandang, dengar, hidu, sentuh dan rasa. Selain itu kekisi atau `lattice’ menjadi layar belakang yang memberi kesan `privacy’ pada bucu kolam cucu. Ia juga bertindak sebagai layar yang dapat memaparkan bayangan riak air dan lampu kolam pada malam hari.

Menerusi mata kita menikmati kecantikan kombinasi kolam, pangkin serta persekitaran taman; telinga asyik menikmati irama aliran air yang mengalir; bau haruman bunga cempaka menerpa hidung membangkitkan rasa segar; sambil duduk di pangkin, jari kaki yang menggesel permukaan batu kerikil bukan saja memberi satu kenikmatan, malah mampu melancarkan pengaliran darah di telapak kaki.

Daripada gabungan keempat-empat unsur deria rangsangan ini, lahir rasa selesa, nyaman dan tenang. Bagi ruang laman di sebelah kiri rumahnya, kami tempatkan sebuah pangkin cucu bersama lampu ukiran kayu membolehkan pemilik duduk.

Kami merumuskan titik permulaan untuk mewujudkan sebuah taman bukanlah semata-mata dengan memilih perabot taman, jenis bahan binaan atau mengikut `trend’ masa kini tetapi ruang lingkup cara hidup sesebuah pemilik rumah harus diberi perhatian dulu. Dengan cara ini setiap pemilik akan peka dan faham tujuan taman dibina selain menepati nilai estetik dan fungsi taman.

Setakat ini saja ruangan kali ini dan jangan ketinggalan mengikuti rentetan program ubah suai taman berikutnya. Topik berikutnya akan mengutarakan, bagaimana mewujudkan taman Neo Nusantara di samping tip berguna. Sehingga berjumpa lagi, bagi masyarakat Islam masih belum terlambat kami orang Neo Nusantara mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa dan salam hormat.

Diperoleh dari Berita Harian Online.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: