Sehening Kalbu

Kelana Berlandaskan Hati, Percaya Mengikat Diri…

Cerpen: Hati Seorang Abah

Posted by anakkawi on December 26, 2007

Diperoleh dari Berita Harian Online.

SATU

DIA pernah marahkan abah. Kalau bukan kerana abah, pasti dia tidak akan tercampak di situ. Bergelumang dengan debu pepasir, terkejar ke sana ke mari hingga lelah mengurus diri. Memang abah punca keberadaan dia di situ. Keputusan abah ibarat batu besar menghempap diri. Dia diserang amarah tidak terluah apabila abah menyuarakan keputusan.

“Adik harus patuh kata abah. Kalau kata abah adik sanggah, abah terpaksa jadikan ia satu perintah.”
Mengapa abah begitu berkeras? Sedang pintanya tidaklah seruwet mana untuk ditunaikan. Dia hanya mahu menyusul jejak abang-abang dan kakak-kakaknya memilih haluan hidup atas tangan sendiri. Itu sahaja, takkan itu pun abah tidak mengizinkannya. Bukan tiada yang sudi membela dirinya, tetapi sikap abah yang membatu diri, memekak telinga dan menuli gegendang menghalang ibu dan adik-beradik mempertahankan pilihannya.

“Manusia dikurniakan dua telinga dan satu lidah supaya dia mendengar dua kali dan berbicara satu kali.” Dia mencenung wajah tenang abah, cuba memahami maksud kata-kata abah.

DUA

“Luqman, kamu harus cepat. Kita tidak akan dapat mengikuti kelas jika tidak segera.” Lambat baru dia menoleh Elyath yang memeluk erat bahunya. Gontai menghayun langkah, keluh terpacul daripada bibir. Mengingat dia dihalau pensyarah kelmarin, akibat terlewat tiba di dewan kuliah hatinya bertambah sakit pada abah. Dia belum mampu menyesuaikan diri di bumi itu biarpun sudah hampir sebulan dia menyandang gelar siswa Al-Azhar cawangan Kaherah.

Dia sudah letai berurusan dengan masyarakat tempatan di situ apalagi segala urusan pengajian harus diberesi sendiri. Minggu sudah dia berurusan di Madinatil Bu’uth untuk urusan menyambung visa pelajar. Seawal jam enam setengah dia menapak ke perhentian bas. Sudahlah keletaian menunggu bas yang tidak mempunyai waktu perjalanan tetap, perut bas pula sendat melebihi tin sardin hingga dia terpaksa berhimpit rapat dengan penumpang lain yang punya perangai entah apa-apa – terjerit-jerit apabila berkomunikasi antara satu sama lain. Bas juga tidak berhawa dingin, ditambah jalan raya yang senantiasa sesak, hingar-bingar dengan bunyi hon – masing-masing keras kepala mahu tiba dahulu tanpa mahu patuhi peraturan lalu lintas. Selamat tiba ke destinasi telefon bimbitnya pula kecopetan.

Hampir setiap hari dia menghubungi ibu mengadu kesulitan yang dihadapi, tidak putus juga dia memohon bantuan ibu agar memujuk abah membatalkan keputusannya. Namun setiap kali itulah abah menitip pesan, “Adakalanya kita perlu menangis agar kita tahu bahawa hidup ini bukan sekadar untuk ketawa dan ada kalanya kita perlu ketawa agar kita tahu menilai mahalnya setitis air mata. Kalau adik tidak rasai kesulitan hari ini, adik tidak akan rasai kemanisan kemudian hari.”

Ah! Abah hanya tahu berfalsafah, bukannya mahu memahami masalah. Semenjak itu dia tidak lagi mahu berbicara dengan abah apabila menghubungi keluarga. Terasa marahnya pada abah kian membara.

TIGA

Ramadan yang bertandang menyingkap hikmah keputusan abah. Dia mula sedar bahawa abah tidak pernah silap dalam menentukan masa hadapannya. Orang tua biasanya menilai sesuatu berdasarkan mata dan imannya, sedang orang muda hanya menilai melalui matanya sahaja. Bukankah orang tua sentiasa mahukan yang terbaik untuk anak-anak mereka?

Ternyata Ramadan di situ lebih meriah daripada Aidilfitri di bumi Malaysia. Dari celah fanus yang bergantungan pada setiap penjuru rumah dan bangunan-bangunan bagai terasa cahaya pembentukan syakhsiah yang mulia. Meski pernah diajar abah suatu ketika dahulu, dia kini kembali melazimi amalan menjaga solat lima waktu berjamaah, bertadarus al-Quran, berzikir – memperbanyak selawat ke atas Nabi saw, solat tarawih, berqiamullai dan muhasabah diri. Saat itu, jiwanya hidup atas kebesaran Tuhan yang selama ini dibutakan.

Pada kemerduan alunan mashaf yang dibacakan dalam sembahyang membuatkan jiwa rohaninya betul-betul mempunyai keterikatan pada Allah swt. Marahnya pada abah lebur dalam satu juz alunan Al-Baqharah. Meski kaki terasa penat, nafas terasa lelah berhimpitan, dia tegak berdiri, sedikit pun tidak berganjak meninggalkan saf. Dia jadi cermat memandu emosi agar tidak keluar dari saf akal yang dibumbu nafsu.

Pada maidah ar-rahman yang dijamah, dia temui keteguhan ukhwah, sifat meringankan beban yang susah dalam huluran sedekah.

Betapa besar limpahan nikmat dan kasih sayang Tuhan yang terkandung dalam hidup yang diberkati. Dan dia cukup tahu, ia tidak datang begitu sahaja. Perlu ada usaha dan kesungguhan mendapatkannya. Melalui hari-hari Ramadan, berembesan manik jernih dia mensyukuri hidup di lantai Kaherah.

Benar abah tidak salah, dia yang silap memahami. Pada debu pepasir yang menjerba dia menilai ketulusan keputusan abah, menyalin ketabahan tentera Islam yang menjulang panji kemenangan dalam peperangan Badar 17 Ramadan 2 Hijrah. Jumlah seteru yang jauh lebih besar bukan bermakna mereka akan tewas, sedang senjata manusia beriman adalah doa pengharapan kepada Tuhan Yang Esa. Begitu dia mencantum persamaan; kerumitan yang wujud bukan penyebab dia berputus asa. Dia mahu lahir sebagai pejuang di bumi kelahiran Musa as.

EMPAT

Dia tercegat di kaunter bagasi. Menanti ketibaan barang-barang yang di kargo sebelum berlepas kelmarin sambil rongga trakea menyedut dalam-dalam oksigen tenang Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Aromanya yang jauh berbeza dengan geger kota Kaherah mengundang ketenteraman jiwa.

Kedengaran pengumuman ketibaan bagasi. Kelibat barang-barang yang berpusing memakai tanda CAI – KUL jelas di hadapan. Kira-kira 15 minit dia akan menaiki train ke balai ketibaan cukup untuk dia melangsai zikir dan doa penghujung Syaaban melangkaui angka puluhan. Sesekali korneanya menangkap isi kandungan telegram abah di tangan.

Tiba di balai ketibaan, abah sudah menanti.

“Assalamualaikum, bakal pejuang.” Abah menghulur tangan. Dia menyambut kejap membawa ke hidung. Tubuh abah dirangkul erat bersulam rasa terima kasih yang sarat.

“Bagaimana sekarang?”

“Alhamdulillah, semakin baik. Berkat kedatangan Ramadan terdahulu adik sudah boleh menyesuaikan diri. Banyak perkara yang dipelajari. Kesulitan mengajar manusia bahawa lorong seorang pejuang jalannya berliku.” Abah tersenyum. Rangkulan terlerai, rindu berpapasan pergi.

“Baguslah. Abah dengar, durian yang ditanam masak elok di padang sahara. Bau yang enak belum tentu menjamin isi dalamnya. Manalah tahu enak hanya pada baunya, tapi isinya lompang. Bagi memastikan, abah mahu belah dan rasai manis ranumnya.” Dia mencenung abah dengan cepu kepala masih terisi tanda tanya.

Kepulangan dia ke tanah air setelah hampir tiga tahun bermukim di bumi Musa atas permintaan abah. Apabila ditanya, jawapan abah tetap macam dahulu sarat dengan falsafah yang memerlukan kepada tafsiran kata-kata lain. Berpaling pada ibu, ibu segera menyatakan yang abah mahu rasai pengalaman Ramadan bersamanya.

LIMA

Petang menjelang Ramadan di kampung, abah membawa dia menjenguk madrasah. Memperkenalkan pada Imam tua di kampung. Abah bersungguh-sungguh membantu jamaah madrasah bergotong-royong membersih madrasah yang sederhana besar kawasannya.

“Sudah lama madrasah ini sunyi Haji, elok juga kalau kedatangan Ramadan kali ini diserahkan pada orang muda. Saya pun sudah terlalu tua, kalau mengajar orang-orang kampong sudah jemu. Untung ada orang muda. Orang muda ni lain Haji, kudrat kuat, akal pun cerdas. Tambahan pula mengaji di Negara Arab, banyak yang tersimpan dalam kepalanya tu.” Senyum abah melebar mendengar kata-kata Imam Sidek, sedang dia berkordial di tangkai hati masih cuba memahami falsafah abah kelmarin.

Ramadan musim itu dia diawasi abah. Waima tidak semeriah di Kaherah, Ramadan tetap indah bersama abah. Rutinnya banyak dihabiskan di madrasah. Sebelah pagi sesudah subuh, memberi kuliah. Menjelang tengah hari, dia disuruh abah membetulkan bacaan al-Quran penduduk kampung. Manakala apabila sore menjelang, dia akan mengepalai majlis tadarus al-Quran. Kala malam menjelma dia mengimami sembahyang Tarawih dalam qiraat Hafs satu juz satu malam. Usai tarawih abah merencana kelas agama untuk dia kendalikan bagi santapan penduduk.

Masanya banyak dihabiskan bersama abah. Jika dia mengendali kelas, abah akan duduk di belakang jemaah. Terkadang, iris dan korneanya menangkap senyum di bibir abah dari kejauhan.

ENAM

“Kenapa tidak kejut abah tadi?” Abah baru selesai berwuduk menyua pertanyaan kepadanya sebelum tertib mengangkat takbiratul ihram.

“Adik ingat abah tidak mahu qiamullai,” dia menjawab tenang keharuan dengan kesungguhan abah mahu merebut malam Lailatul Qadar di akhir sepuluh Ramadan.

“Adik lupa, Nabi bersabda: Siapapun mengintainya, maka hendaklah dia mengintai pada malam ke dua puluh tujuh.”

Dia mengangguk memahami maksud abah. Meniti malam-malam terakhir Ramadan adalah kesempatan emas bagi umat Muhammad saw untuk meraih keutamaan ibadah yang sangat istimewa dengan modal ketekunan maksimum. Dan keutamaan yang istimewa itu dilipat gandakan pahala ibadah seribu bulan.

Dia menyeka kolam mata dengan kura tangan apabila mendengar patah-patah bicara abah menitip doa dan munajat yang diiringi empangan jernih yang pecah. Terasa dekatnya abah dengan Allah SWT sebagaimana dia mencari diri di permulaan Ramadan di bumi Kaherah. Cukup besar harapan dia agar doa dan munajat abah dimakbulkan dengan keberkatan sepertiga malam di hujung Ramadan yang berlimpahan rahmat.

“Ramadan hanya tinggal sehari. Esok atau lusa kita akan beraya. Entah bertemu lagi dengan Ramadan atau tidak di tahun akan datang. Sayang, biarpun ramai yang mengetahui kehebatan bulan ini tetapi kesempatan Ramadan hanya dibiarkan berlalu begitu sahaja. Tujuh hari kita berpuasa sudah banyak kempen menyambut hari raya.” Kata abah kedengaran di telinganya apabila lembar mashaf ditutup. Cerlang matanya dihalakan pada abah mohon pengertian.

“Keingkaran manusia terhadap agama hari ini adalah akibat daripada keterasingan agama dalam kehidupan alamiah, sehingga manusia tidak merasakan erti agama kecuali dalam sembahyang Jumaat, ketika azan dikumandangkan dan ketika Ramadan.”

“Maafkan abah kerana pernah memaksa adik akur pada kehendak abah.”

TUJUH

“Adik, waktu berbuka hampir tiba.” Lembut suara ibu singgah di corong telinganya. Dia mengangkat wajah lalu sinar matanya mengambus dua musim Ramadan yang berlalu bersama abah dan pengalaman di lantai Kaherah.

Dia duduk membetulkan posisi tafakur memperkemas layar ingatan pada seraut wajah yang telah pergi. Moga dua musim Ramadan yang berlalu tidak sekadar mentradisikan agama. Mengakui kata-kata abah, agama bukan falsafah. Tetapi dengan merenungi falsafah akan bertambahlah iman dan agama seseorang.

Dia menghantar gugusan doa dan jambangan al-Fatihah untuk abah pada malam terakhir Ramadan. Syawal kali ini terasa pilu tanpa kehadiran abah.

Glosari:

Fanus: lampu yang dinyalakan oleh masyarakat Mesir di rumah-rumah atau bangunan bagi meraikan kedatangan Ramadan.

Maidah ar-rahman: juadah berbuka puasa yang disediakan oleh golongan tertentu di Mesir bagi menjamu tetamu terutamanya orang asing.

BIODATA

SAMMAITUHA NAJWA, nama pena bagi Siti Khadijah Abd Ghaffar yang dilahirkan di Negeri Sembilan dan kini menuntut di Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir. Menulis dalam genre puisi dan cerpen. Karyanya pernah mendapat tempat dalam Berita Minggu, majalah Tunas Cipta, Nur dan Dara.com, serta radio IKIM.fm. Beberapa karya beliau turut dimuatkan dalam Antologi Cinta Dan Rona Kinanah, Komik Lagenda, Gema Negeri, Suara Kampus, Warta dan Suara Hewi serta Pertubuhan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM). Beliau adalah peserta Bengkel Penulisan Musim Panas Karyawan Muda Luar Negara 2007 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: