Sehening Kalbu

Kelana Berlandaskan Hati, Percaya Mengikat Diri…

Cik Kuntum: Tina ibarat habis madu, sepah dibuang

Posted by anakkawi on December 28, 2007

Diperoleh dari Berita harian Online.

TINGGAL tiga hari lagi kita bakal menyambut tahun baru. Apa azam anda? Sudahkah azam tahun ini tercapai? Ada orang tidak suka berazam kerana katanya azam hanya bagi mereka yang tidak mempunyai hala tuju hidup tetapi bagi Cik Kuntum dengan berazam, kita boleh jadikan impian itu sebagai penanda aras dalam peningkatan hidup saban tahun.

Azam Cik Kuntum bagi 2007 masih belum dapat dilaksanakan, bukan berlengah, tetapi kesuntukan masa membuatkan Cik Kuntum gagal melaksanakan impian berkenaan. Apa azam Cik Kuntum? Seperti kata Datuk Siti Nurhaliza, biarlah rahsia. Apabila dah berjaya, barulah Cik Kuntum berani dedahkan azam berkenaan.

Apapun, sejak ruangan ini disiarkan, Cik Kuntum mendapat pelbagai maklum balas. Ada yang suka dan ingin berkongsi cerita, tetapi sampai sudah tidak kesampaian. Ada juga yang marah kerana dikatakan banyak menyiarkan cerita yang memihak wanita, terutama membabitkan kecurangan.

Jangan bimbang, walaupun Cik Kuntum perempuan, Cik Kuntum tetap adil. Kalau ada lelaki yang menghantar ceritanya, tentu Cik Kuntum layan. Tetapi sehingga kini baru dua e-mel daripada lelaki yang Cik Kuntum terima, satu daripada seseorang yang mempunyai gelaran Ir dan terbaru menerima kiriman e-mel daripada daripada seorang pria yang menceritakan kisah sedihnya apabila isteri bermain kayu tiga.

Begitupun, minggu ini Cik Kuntum hendak berkongsi kisah Tina kerana ada pengajaran berguna yang Cik Kuntum harap dapat dijadikan iktibar kepada semua wanita sempena kedatangan tahun baru. Kisah lelaki yang menggelarkan dirinya Pria Terakhir akan disiarkan minggu depan.

Berikut disiarkan kisah Tina yang meminta Cik Kuntum tapis beberapa bahagian jika disiarkan.

“Saya berasal dari utara tanah air dan graduan sarjana muda di institusi pengajian tinggi awam. Cik Kuntum, saya berusia 25 tahun. Saya mengenali seseorang yang bernama F sewaktu saya menjalani latihan amali di daerah saya sendiri. F muda daripada saya dua tahun dan sudah memiliki kerja tetap. Dia berasal dari Pantai Timur dan ketika kami mula kenal dulu, F amat baik kepada saya.

Baru beberapa bulan berkenalan, dia melamar saya. Sebelum majlis pertunangan berlangsung, kami terlanjur. Kesilapan terbesar yang saya lakukan. Namun F tetap ingin memperisterikan saya. Waktu itu saya masih lagi menganggur. Segala persiapan pertunangan dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Saya usahakan juga agar semuanya berlangsung dengan sebaik mungkin.

Hinggalah saat majlis itu berlangsung. Amat mengecewakan saya, ibu F enggan menyarungkan cincin di jari saya dengan alasan hantaran yang pihak kami minta tidak sesuai untuk seorang penganggur seperti saya. Mujur ada seorang ibu kenalan saya datang menyarungkan cincin di jari saya ini. Waktu itu terasa sungguh hinanya diri saya. Saya nekad untuk memutuskan pertunangan selepas majlis itu nanti.

Cik Kuntum, mahalkah hantaran RM 8,000 termasuk mas kahwin pada waktu ini? Sedangkan saya sendiri sudah berbincang dengan F untuk membantunya andai dia tidak berkemampuan nanti dengan harapan saya sudah memiliki kerja sebelum mendirikan rumah tangga.

Saya adalah anak terakhir dalam keluarga yang belum berumahtangga. Keluarga saya amat berharap agar majlis saya itu berlangsung dengan sempurna. Namun, kerana berasa maruah saya begitu hina hanya kerana saya seorang penganggur, saya tidak sanggup menerima kejadian itu. Dimalukan dalam majlis saya sendiri. Seharian saya menangis.

Dua hari kemudian F datang memujuk saya, niat saya untuk membatalkan pertunangan tergendala. F memujuk saya bahawa lambat laun ibunya tetap akan menerima saya juga. Tidak lama kemudian saya ditawarkan kerja. Gaji tidaklah setimpal mana dengan kelulusan saya, namun saya syukur kerana Allah masih lagi memberi rezeki kepada saya.

Tiga bulan bekerja F mengajak saya mendirikan rumah tangga. Saya menolak kerana saya masih belum mampu untuk menyediakan kelengkapan perkahwinan. Namun F tetap berkeras. Saya akur, kerana saya sedar kami sememangnya harus mendirikan rumah tangga dengan segera.

Waktu itu F memujuk saya agar membohongi ahli keluarganya dengan mengatakan saya bekerja setaraf dengan kelayakan yang saya miliki. Saya akur sekali lagi. Makin hampir majlis perkahwinan saya makin tertekan dengan masalah kewangan dan tempat kerja.

Hubungan saya dengan F makin berantakan. Sikap panas barannya makin menjadi-jadi. Diri saya menjadi mangsa caciannya. Kata-kata sokongan yang saya harapkan, cacian dan makian pula yang saya terima. Lagi dua minggu majlis perkahwinan berlangsung, saya makin tertekan. Sikap F juga tidak berubah, malah makin menjadi-jadi. Akhirnya sekali lagi saya meminta dibubarkan saja majlis itu. Kali ini F tidak membantah. Malahan keluarga kedua-dua belah pihak juga bersetuju.

Saya menangis semahu-mahunya. Selepas itu, barulah keluarga saya tahu bahawa rupa-rupanya kami sudah terlanjur. Keluarga saya cuba menghubungi keluarga F semula, namun mereka tidak mengendahkan apa yang keluarga saya katakan. Sebulan selepas itu kami bertemu semula. Kami menjalinkan semula hubungan tanpa pengetahuan ahli keluarga masing-masing. F berjanji akan tetap mengahwini saya, namun dengan syarat saya harus memiliki sebuah kereta.

Ya Allah! Kenapa harus ada syarat dalam menebus maruah diri saya? Saya ikhlas menyayanginya. Alasan F adalah untuk menambat hati keluarganya, saya harus memiliki kereta. Cik Kuntum, keluarga F bukanlah orang berada malah F juga bukanlah orang yang berpangkat tinggi. Namun kenapa harus saya yang dikenakan syarat seperti itu? Saya akur dan terus berusaha untuk mencapai apa yang F minta. Tidak lama kemudian F makin berubah.

Dia makin kerap pulang ke kampung. Masa untuk saya juga makin kurang. Alasannya sibuk bekerja. Sehinggalah satu hari F memberitahu saya bahawa ibunya sudah meminang seorang gadis satu negeri dengannya. F memberitahu bahawa pertunangan itu adalah di luar pengetahuannya. Sekali lagi saya terpaksa akur. Rupa-rupanya inilah hasil kasih sayang yang saya berikan. Cik Kuntum, kini saya betul-betul reda. Mungkin ini balasan Allah terhadap saya kerana sudah melakukan banyak dosa.”

Seperti Cik Kuntum katakan tadi, kisah Tina diharap dapat dijadikan pengajaran kepada wanita di negara ini. Kebanyakan lelaki (tidak semua) gemar menaburkan janji manis, tetapi apabila sudah mendapat madu, sepah dibuang. Kerana cinta, sanggup menyerahkan maruah diri. Kisah klasik yang sepatutnya menjadi peringatan kepada wanita hari ini.

Memang benda yang haram, orang kata `nikmat’ duniawi. Jangan kerana Tina sudah menjadi buah ditebuk tupai, Tina terus melakukan perkara sama apabila berjumpa lelaki lain. Ingatlah jika lelaki itu baik, dia tidak akan melakukan perkara yang dilarang agama. Apapun, nasi sudah menjadi bubur.

Tetapi, bersyukurlah kerana bagi Cik Kuntum keputusan yang Tina ambil, tepat. Nampak sangat F dan keluarganya sebenarnya mata duitan. Jika wanita sering diibaratkan sebagai pisau cukur, F adalah pisau cukur versi lelaki. Nasihat Cik Kuntum, Tina bertaubat dan mohon keampunan kepada Tuhan.

Berdoalah semoga dipertemukan dengan lelaki yang baik. Sempena kedatangan tahun baru ini, Tina harus tanam azam baru dan lebih bersemangat. Lupakan F dan jika dia ingin kembali, jangan toleh ke belakang lagi. Cukuplah dengan apa yang sudah dilakukannya. Lagipun, jika sebelum berkahwin dia sudah buat perangai, apatah pula bila sudah bergelar isteri.

Cik Kuntum harap Tina tidak menjadi seperti kerak nasi yang mudah lembut. Mulakan kehidupan baru, carilah pekerjaan yang bersesuaian dan buktikan kepada semua, Tina boleh menjadi wanita hebat lagi dihormati. Tetapi, jika ingin dihormati, kita terlebih dulu perlu menghormati diri sendiri. Jangan biarkan diri terus dipersendakan orang lain, khususnya lelaki!

Ingin berkongsi perasaan, kisah atau apa saja, hantarkan kepada cikkuntum@bharian.com.my atau alamatkan kepada Ruangan Cik Kuntum. Unit Wanita, Berita Harian, No 31, Jalan Riong, 59100 KL.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: