Sehening Kalbu

Kelana Berlandaskan Hati, Percaya Mengikat Diri…

Tekno Tani: Biotech XT hasil baja berkualiti untuk petani

Posted by anakkawi on December 28, 2007

Oleh Mohd Amin Jalil

Diperoleh dari Berita Harian Online.

BERMULA dengan hanya menumpukan perhatian kepada projek penanaman padi secara kecil-kecilan di beberapa kawasan di Selangor, syarikat Biotech XT Corporation Sdn Bhd (Biotech XT) yang dimiliki Bumiputera sepenuhnya kini muncul antara penyumbang utama kepada pembangunan sektor pertanian negara.

Sumbangan syarikat itu yang diterajui anak muda tempatan nyata meningkatkan potensi sektor pertanian dan pendapatan petani melalui penggunaan teknologi tinggi dinamakan ‘XT’ dalam bidang pembajaan tanaman.

Biotech XT yang beroperasi di Pusat Perniagaan Senawang, Negeri Sembilan membuat kajian selama tujuh tahun secara berperingkat bagi menghasilkan produk baja berkualiti yang kemudian diuji ke atas semua tanaman bagi memastikannya benar-benar berkualiti dan memberi pulangan memuaskan.

Hakikatnya, produk yang dihasilkan Biotech XT dengan menggunakan teknologi tinggi itu terbukti memberi kesan baik kepada tanaman sekali gus mampu meningkatkan pendapatan pengusaha.

Pengarah Urusannya, Shuhaimi Abdul Latif, 35, berkata syarikatnya kini mengeluarkan tiga produk iaitu Padi XT, iaitu makanan seimbang untuk tanaman padi, Plant XT untuk semua jenis tanaman dan Sawit XT, khusus untuk tanaman sawit.

Katanya, ketiga-tiga produk itu dikeluarkan menerusi rumusan khas unsur organik merangkumi beberapa komponen utama yang sesuai untuk tanaman dan meningkatkan lagi pengeluaran.

“Ketiga-tiga produk itu dikeluarkan menerusi tiga komponen asas iaitu N-P-K, unsur makro-mikro dan multi vitamin selain turut diperkaya dengan aloe vera dan asid humik serta tidak mengandungi bahan buangan.

“Produk ini bersifat mesra alam dan mesra pengguna kerana ujian makmal mendapati kandungan nutrien pada tahap PH 4.52 ketika dalam keadaan padat dan PH 6.5 dalam keadaan dicairkan. Bagaimanapun kandungan nutrien bagi setiap jenis produk adalah berbeza untuk disesuaikan dengan keperluan jenis tanaman.

“Apa yang jelas ialah produk pembajaan tanaman ini bukan saja mampu meningkatkan hasil pengeluaran, malah turut memberikan kualiti tanaman terbaik serta boleh menyelesaikan permasalahan yang membelenggu tanaman berkenaan,” katanya.

Shuhaimi berkata, semua produk keluaran syarikatnya sudah diuji dan penggunaannya kini boleh dikatakan meluas, merangkumi Padi XT di kawasan Tanjung Karang, Sekinchan dan Sungai Besar di Selangor selain di Kuala Perlis, Perlis dan Sik di Kedah.

Katanya, produk Sawit XT pula diuji di Pedas, Negeri Sembilan serta Bukit Beruntung dan Tanjung Karang di Selangor, manakala Plant XT diuji dan digunakan kebanyakan pengusaha tanaman buah naga di Utan Aji, Perlis.

“Daripada kajian yang dibuat terhadap pengusaha, penggunaan baja ini berjaya meningkatkan hasil pengeluaran melebihi 30 peratus, mengurangkan kos ladang sehingga 20 peratus, selain aplikasi yang lebih mudah dan guna tenaga efektif.

“Selain itu, baja ini juga dapat menghapuskan masalah pokok tidak berbuah, sebaliknya menghasilkan kualiti buah yang lebih baik kerana ia turut berupaya menggalakkan percambahan buah dan mengurangkan serangan serangga,” katanya.

Suhaimi yang berkelulusan ijazah kejuruteraan automotif dari Universiti Hanyang, Korea Selatan dan pernah berkhidmat selama 10 tahun di sebuah syarikat elektronik di Senawang, memberi contoh seorang pengusaha tanaman padi di Selangor yang menggunakan Padi XT.

Katanya, pengusaha berkenaan berjaya menambah pendapatan daripada kira-kira RM9,000 kepada RM15,000 semusim melalui tanaman padi seluas kira-kira 1.2 hektar.

Shuhaimi berkata, kilang pemprosesan produk keluaran syarikat itu di Seremban Selatan kini berupaya mengeluarkan cecair baja kira-kira 2,000 liter sehari dan sedang dipertingkatkan kepada 20,000 litar sehari.

“Kami juga sedang berusaha mendapatkan pensijilan kualiti daripada Sirim bagi menjamin mutu serta kualiti produk yang dikeluarkan. Namun kajian keberkesanan produk secara lebih bersistematik sedang diusahakan dengan kerjasama Mardi),” katanya.

Beliau berkata, setakat ini produk keluaran syarikat itu dipasarkan terus oleh Biotech XT selain melalui beberapa ejen dan individu Bumiputera yang dilantik, kebanyakannya di Pantai Barat Semenanjung.

“Selain itu, produk kami yang dikeluarkan dalam saiz empat liter dan 500ml juga dijual secara terus di beberapa pasar tani sekitar Seremban dan Kajang,” katanya dan menambah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) turut membantu dalam usaha pemasaran produk itu.

Beliau mempelawa orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai produk keluaran Biotech XT, menghubungi talian 06-6779427/019-6524644.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: