Sehening Kalbu

Kelana Berlandaskan Hati, Percaya Mengikat Diri…

Sumber Tenaga Alternatif

Posted by anakkawi on January 1, 2008

31 Disember, 2007 10:38 AM

Meninjau Sumber Tenaga Alternatif Di Korea Selatan

Oleh Rosyatimah Tukimin

SEOUL, 31 Dis (Bernama) — Sebagaimana drama “Winter Sonata”, sebuah kisah percintaan yang begitu popular ketika ditayangkan di Malaysia dan di kebanyakan negara Asean suatu ketika dahulu, Korea Selatan mungkin bakal menyaksikan teknologi sumber tenaga alternatif yang menakjubkan hasil usaha rakyatnya juga tergolong sebagai “Hallyu” memandangkan kemahirannya dalam bidang teknologi ini sudah pun dirujuk oleh beberapa negara seperti Filipina, India dan China.

“Hallyu” atau Gelombang Korea adalah istilah yang digunakan untuk mencerminkan fenomena kebudayaan popular Korea yang kian berkembang di merata dunia.

Dengan harga minyak dunia yang berubah-ubah, kepanasan global dan perubahan cuaca merupakan isu yang kian meruncing, dan telah menyebabkan beberapa negara terpaksa bergegas mencari penyelesaian bagi mengatasi masalah itu, satu program lawatan ke Korea Selatan yang dianjurkan khusus untuk wartawan dari negara Asean memang tepat pada masanya.

Berhadapan dengan cuaca sejuk, suhu kadangkala berada pada tolak 5 darjah celcius memandangkan musim sejuk baru bermula, wartawan Asean membuat lawatan, antaranya ke tapak tenaga nuklear di bandaraya Uljin dan tapak tenaga hydro di Daejeon. Tempat-tempat ini merupakan antara kejayaan usaha kerajaan Korea Selatan dalam menyediakan sumber tenaga alternatif yang mampan.

“Saya sedar banyak negara Asean kini berusaha bersungguh-sungguh untuk mencari tenaga alternatif dan saya harap lawatan ke tempat-tempat yang berkaitan dengan tenaga di negara ini dapat memberikan anda dan negara anda beberapa idea mengenai apa yang perlu dilakukan,” kata Lee Sang-Pal, Pengarah Bahagian Dasar Alam Semula jadi, Biro Pemuliharaan Alam Semula Jadi, Kementerian Alam Sekitar Korea Selatan.

Beliau bercakap di Kompleks Kerajaan Gwacheon dekat sini setelah mengalu-alukan para wartawan, yang merupakan peserta program “Pertukaran Lawatan Media antara Asean dan Republik Korea (RoK) dari 2 Dis hingga 8 Dis. Seramai 32 wartawan dari 10 negara anggota Asean menyertai lawatan ini.

Dengan program lawatan bertemakan “Pemuliharaan dan Penggunaan Tenaga yang Mampan”, penganjur berharap dapat berkongsi pengetahuan dan usaha-usaha pemuliharaan serta projek yang boleh dilaksanakan berkaitan dengan penggunaan tenaga yang mampan.

KEUTAMAAN TERHADAP SUMBER ASLI

Lee berkata: “Korea memberi keutamaan terhadap sumber-sumber asli. Kami mula merangka dasar-dasar bagi memelihara alam sekitar sejak tahun 1960-an. Setelah melalui tempoh cuba-cuba (trial and error) kini kami mempunyai pelbagai dasar dan undang-undang yang telah menyumbang ke arah usaha pemuliharaan, yang mana contoh tipikal ialah memperuntukkan beberapa kawasan sebagai taman-taman negara, dan penggunaan sumber yang mampan.”

Ditanya mengenai reaksi rakyat Korea terhadap usaha-usaha kerajaan mereka dalam aspek ini, beliau berkata: “Memang kami menghadapi banyak tentangan di peringkat awal pelaksanaan dasar dan projek. Bagaimanapun, kami berjaya mengatasi masalah tersebut menerusi pendidikan dan dengan membabitkan penduduk tempatan dalam pengurusan alam sekitar.”

Kegiatan nuklear di Korea Selatan dikatakan bermula apabila negara ini menjadi ahli Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) pada 1957. Pada 1958 Undang-undang Tenaga Atom diluluskan dan pada 1959 kerajaan Korea Selatan menubuhkan pejabat Tenaga Atom. Reaktor tenaga nuklear pertama negara ini merupakan sebuah unit penyelidikan yang kecil yang telah direalisasikan pada 1962.

Sepuluh tahun kemudian pembinaan dimulakan bagi tapak tenaga nuklear pertama — Kori-1. Usaha itu sebenarnya dimulakan pada 1977 dan beroperasi secara komersial pada 1978. Setelah itu kegiatan pembinaan reaktor tenaga nuklear semakin rancak, dengan lapan lagi reaktor dibina pada awal 1980-an.

South Korea, menerusi syarikat Korea Hydro & Nuclear Power Co. Ltd (KHNP), iaitu syarikat janakuasa tenaga tempatan terbesar yang membekalkan 40 peratus daripada keseluruhan bekalan elektrik tempatan, kini mempunyai 20 reaktor nuklear.

LEBIH BANYAK REAKTOR NUKLEAR

“Kami bakal mempunyai 28 unit reaktor tenaga nuklear dalam masa terdekat. Diharapkan pada tahun 2020, lebih kurang 45 peratus bekalan tenaga di Korea Selatan dihasilkan oleh tenaga nuklear,” kata Jung Jae Woo, pengurus Ulchin Nuclear Power Site 1 di bandaraya Uljin, sambil menambah bahawa pembinaan reaktor tambahan telah mendapat kelulusan daripada IAEA, yang sentiasa menjalankan pemeriksaan dan pengawasan.

Dengan permintaan tenaga di Korea Selatan dilaporkan bertambah lebih daripada 9 peratus setiap tahun sejak tahun 1990, dan bahawa negara ini perlu mengimport kira-kira 97 peratus keperluan tenaga, keputusan menggunakan tenaga nuklear dan hidro yang berpandukan teknologi ini merupakan pilihan yang baik atau alternatif yang paling realistik untuk Korea Selatan, terutamanya dalam suasana kenaikan tinggi harga minyak dunia serta hakikat bahawa negara ini tidak mempunyai rizab minyaknya sendiri.

Dasar tenaga Korea Selatan didorong oleh pertimbangan keselamatan tenaga dan keperluan mengurangkan pergantungan ke atas import, jelas Jung.

Beliau berkata bahawa lokasi pusat tenaga nuklear dipilih secara berhati-hati, lazimnya berdekatan laut bagi memudahkan penyimpanan bahan buangan radioaktif peringkat rendah dan pertengahan, dalam kemudahan pembuangan yang dibina khas.

Tidak ramai masyarakat yang mudah menerima kewujudan pusat tenaga nuklear berhampiran tempat mereka termasuklah rakyat Korea Selatan.

TENAGA YANG MESRA ALAM SEKITAR

“Kami masih lagi menerima tentangan namun kami membelanjakan wang yang banyak bagi menganjurkan program untuk masyarakat tempatan. Kami juga mempelawa mereka ke majlis taklimat kami agar mereka boleh meluahkan pandangan dan cadangan,” kata Jung, sambil menambah bahawa selain mesra alam sekitar, memandangkan tiada penghasilan karbon dioksida, penggunaan tenaga nuklear adalah lebih murah kerana kosnya hanya AS$3.8 sen setiap kilowat (kWh) berbanding AS$110 jika menggunakan petrol. Tambahan pula peluang berlakunya gangguan bekalan tenaga hanyalah 0.05 peratus.

Beliau berkata reaktor nuklear komersial yang terdahulu diimport sebagai projek “turnkey” namun kini “95 peratus teknologi tenaga nuklear adalah hasil titik peluh warga Korea Selatan sendiri.”

Wartawan Asean dibawa melawat di dalam salah satu reaktor nuklear di Ulchin Nuclear Power plant, yang dahulunya merupakan sebuah perkampungan nelayan. Di dalam setiap reaktor terdapat banyak besi pelbagai saiz yang tersusun secara menegak yang dikelilingi keseluruhannya dengan konkrit tebal, begitu juga di bahagian atasnya bagi mengelakkan sebarang kebocoran.

Oleh itu, jika dilihat dari luar reaktor nuklear merupakan struktur konkrit gergasi berbentuk seperti tong drum yang bahagian atasnya agak bulat dan melengkung seperti kubah.

Jung berkata usaha bersepadu syarikat telah membantu dalam melahirkan persetujuan pendapat di kalangan rakyat tempatan Korea Selatan dan berita yang enak didengar ialah “masyarakat tempatan Korea di kawasan-kawasan lain malah meminta mahukan syarikat kami membina atau menyediakan janakuasa nuklear di tempat mereka.”

Sementara itu, lawatan ke tapak kuasa hidro yang dikendalikan oleh syarikat Korea Water Resources Corporation (K-Water), pula memberikan peluang kepada kumpulan wartawan mendapatkan maklumat mengenai teknologi berasaskan satelit yang amat canggih serta sistem pengendalian bekalan air bersepadu.

SUMBER-SUMBER AIR

Bagi pengendalian sumber-sumber air yang lebih efisien dan memastikan pembekalan yang stabil, kemudahan di pusat ini beroperasi dan dikawal dari pejabat pusat K-Water dengan hanya menekan tetikus.

Kumpulan wartawan dibawa melawat ke beberapa bahagian di empangan sebelum “dikejutkan” dengan sesi pendakian tangga yang begitu tinggi melalui terowong yang menghubungkan bahagian permukaan empangan, yang menawarkan pemandangan sekeliling yang sungguh menakjubkan. Semasa pendakian hampir kesemua wartawan terpaksa berhenti seketika semasa pendakian untuk mengambil nafas, namun merasa seronok kerana penat lelah berbaloi apabila sampai di puncak dan keluar dari terowong yang agak sempit dan gelap tadi.

Syarikat K-Water telah membina 15 empangan serba guna dan bendungan rendah di muara Sungai Nakdong sejak 1960-an. Syarikat ini membekalkan kira-kira 11 bilion ton air setiap tahun. Syarikat ini juga telah menyediakan zon mesra air berdekatan empangan untuk tujuan rekreasi dan aktiviti kebudayaan.

Para wartawan memperolehi maklumat yang banyak hasil lawatan ke tapak-tapak sumber alternatif “Tenaga Bersih & Hijau” ini. Pastinya, Korea Selatan telah berjaya mengubah negara yang amat kekurangan sumber asli namun kaya dengan sumber tenaga manusia kepada sebuah negara yang dihormati dan mampu berdikari.

BERNAMA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: