Sehening Kalbu

Kelana Berlandaskan Hati, Percaya Mengikat Diri…

‘Jangan buat spekulasi’ – Temuramah dengan SOI LEK

Posted by anakkawi on January 3, 2008

Dari Utusan Malaysia Online.

SAYA ucap ribuan terima kasih kerana sudi hadir dan dengan ini saya nak umumkan bahawa saya sudah menyampaikan hasrat saya kepada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Presiden MCA bahawa saya meletakkan jawatan sebagai Menteri Kesihatan serta-merta.

Sehubungan dengan itu, saya juga meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Labis, Naib Presiden MCA peringkat kebangsaan, sebagai Pengerusi Perhubungan MCA Johor dan Ketua MCA Bahagian Batu Pahat.

Namun saya tetap akan menyokong kepimpinan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri dan sebagai ahli MCA biasa saya akan taat setia kepada MCA. Dan kerana saya berasal dari Johor dan Batu Pahat, walaupun saya tidak memegang jawatan mulai hari ini, saya akan tetap bersama-sama dengan kawan seperjuangan saya di dalam parti MCA.

Sebagai seorang ahli parti yang sudah memegang jawatan dalam kerajaan selama hampir 20 tahun, saya tetap akan menyokong kerajaan Barisan Nasional.

Soalan dan jawapan di sepanjang sidang akhbar:

Soalan: Apakah sebab Datuk Seri membuat keputusan sedemikian?

SOI LEK: Selepas saya buat pengakuan, saya berharap rakyat Malaysia menerima permohonan maaf saya. Tetapi malangnya daripada maklum balas yang saya terima, saya perhatikan rakyat Malaysia tidak boleh terima.

Dengan itu, saya berpendapat jika saya terus memegang jawatan dalam parti atau kerajaan, ia akan menjadi satu bebanan kepada kerajaan dan parti khasnya dalam konteks Islam Hadhari dan juga dalam konteks apa yang disarankan oleh Presiden MCA mengenai budaya politik bersih.

Walaupun saya berharap peletakan jawatan saya berasaskan isu moral, ia menjadi satu iktibar kepada pemimpin-pemimpin lain dalam parti baik daripada MCA mahupun parti komponen lain.

Saya berpendapat, sesiapa yang melakukan kesilapan atau kerana kelemahan-kelemahan tertentu, maka dia sebagai pemimpin kena bertanggungjawab. Dan saya sudah tampil ke hadapan, berdepan dengan bukan hanya pemimpin negara dan parti bahkan dengan rakyat jelata, (tetapi) nampaknya ia tidak boleh diterima.

Dengan itu, saya ingat lebih baik kepada saya – dan keluarga saya – untuk meletakkan jawatan supaya saya tidak menjadi satu beban kepada kepimpinan negara.

Bilakah Datuk Seri hantar surat peletakan jawatan?

SOI LEK: Saya sudah menghantarnya sebelum saya jumpa kamu semua tetapi saya berasa masa (menghantar surat) tidak penting. Apa yang penting, saya telah membuat pengumuman rasmi dan surat berkenaan telah dihantar kepada pejabat Perdana Menteri.

Mulai dari hari ini saya akan jadi rakyat biasa. Dengan itu saya berharap saya tidak akan dijadikan sebagai sasaran oleh pihak tertentu.

Perdana Menteri telah memberi jaminan kepada saya bahawa kerajaan akan menyiasat punca dan siapa di belakang pita rakaman itu supaya ia tidak menjadi satu amalan di negara ini untuk menjatuhkan sesiapa.

Saya percaya jika ini berjaya, saya bukanlah orang pertama dan terakhir yang menjadi mangsa kepada cara itu untuk menjatuhkan seorang pemimpin baik di peringkat negeri mahupun di peringkat kebangsaan. Saya pasti saya bukan orang pertama dan bukan orang terakhir.

Adakah Datuk Seri tahu siapa yang terlibat?

SOI LEK: Seperti yang saya katakan, saya tidak mahu buat spekulasi.

Saya merayu kepada ahli-ahli MCA jangan membuat spekulasi siapa yang buat atau melakukan tindakan tersebut terhadap saya. Ini adalah tidak sihat.

Apakah yang dimaksudkan dengan budaya politik bersih?

SOPI LEK: Apa yang lebih penting dan apa yang diharapkan oleh rakyat Malaysia dan dituntut oleh rakyat Malaysia ialah kebersihan dari segi tidak ada rasuah dan juga dalam soal tidak ada kelemahan-kelemahan moral dan etika. Itu kepada saya lebih penting dan lebih sukar dicapai.

Pemimpin kerajaan, terutama dalam negara demokrasi, dipilih oleh rakyat. Jadi keputusan terpulang kepada rakyat.

Adakah Datuk Seri masih berminat untuk aktif dalam politik?

SOI LEK: Saya telah meletakkan semua jawatan saya. Jika saya mahu aktif semula saya perlu bermula dari awal seperti pada tahun 1978. Saya perlu mula dari cawangan dan bahagian tetapi saya berasa saya tidak lagi muda untuk melakukan itu semua.

Apakah perancangan Datuk Seri selepas ini?

SOI LEK: Saya harap saya akan jadi seorang wartawan. Saya rasa berdasarkan pengalaman saya dalam politik, saya mampu dan saya boleh jadi (wartawan).

Kenapa pilih wartawan?

SOI LEK: Adakah itu salah? Saya tidak pandai berniaga. Sebab itu saya mengatakan sesiapa yang ingin menjadikan saya sasaran datang daripada komponen perniagaan atau kumpulan yang dikatakan musuh saya dalam perniagaan. Saya tidak pernah terlibat dalam perniagaan semenjak saya jadi ahli politik.

Sesiapa juga yang cakap saya terlibat dalam perniagaan adalah bohong. Mungkin ia menggunakan nama saya atau kawan-kawan saya.

Adakah Datuk Seri tahu siapa yang layak menggantikan tempat Datuk Seri dalam Kabinet?

SOI LEK: Itu kamu perlu tanya kepada Perdana Menteri. Saya berasa saya bukan orang yang berhak untuk berkata sedemikian. Sekarang, setiap kali saya bercakap dengan kamu semua, saya hanyalah sebagai Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek. Bukan Yang Berhormat lagi.

Bagaimanakah Datuk Seri melihat kedudukan MCA Johor berikutan keputusan Datuk Seri?

SOI LEK: MCA Johor mempunyai satu organisasi yang kukuh, sebab itu kita menjadi kubu kuat parti. Tetapi di samping ia menjadi kubu kuat di dalam parti, ia menjadi sasaran. Itu biasa dalam politik. Kalau bukan, ia tidak dipanggil politik.

Semenjak saya dilantik menjadi Menteri Kesihatan, saya sudah berusaha sedaya upaya untuk memenuhi permintaan daripada rakyat, daripada ahli MCA, daripada kepimpinan kerajaan.

Apakah pandangan Datuk Seri terhadap golongan yang membuat rakaman secara curi?

SOI LEK: Dalam bilik peribadi di hotel dan kamu rakamkannya, dan selepas itu kamu edarkannya, adakah kamu berasa itu merupakan budaya politik yang sihat?

Apakah sumbangan terbesar Datuk Seri sepanjang menjadi Menteri Kesihatan?

SOI LEK: Tak usahlah… itu sudah menjadi sejarah. Tidak perlu saya mengulas. Saya sudah jadi rakyat biasa. Lebih baik rakyat yang menjadi pengadil kepada apa yang saya lakukan sebagai Menteri Kesihatan.

Saya ingat itu lebih bermakna. Lagipun saya tidak mahu nanti orang akan cakap saya memandai-mandai.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: