Sehening Kalbu

Kelana Berlandaskan Hati, Percaya Mengikat Diri…

Ceriakan kamar tidur

Posted by anakkawi on January 8, 2008

Bersama Hamidon Abdullah (Ketua Program Diploma Reka Bentuk Dalaman, UiTM)

Diperoleh dari Dekor-BH.


PERSEKITARAN bilik tidur perlu membantu dari segi mental, fizikal dan spiritual.

Pemilik kediaman perlu elak guna warna yang boleh menyebabkan diri berasa tertekan

KAMAR tidur adalah ruang privasi atau persendirian. Lokasi kamar tidur biasanya terletak jauh dari ruang sosial yang lain, fungsinya supaya pengguna ruang tamu tidak diganggu oleh aktiviti di ruang sosial.

Bilik tidur ada beberapa jenis mengikut kegunaannya iaitu bilik tidur utama yang digunakan oleh pemilik rumah, bilik kedua terdiri dari bilik anak bujang atau bilik tidur kanak-kanak dan bilik tidur tetamu. Semua bilik tidur itu memerlukan beberapa keperluan bagi menjadikan bilik tidur berfungsi dengan baik.

Kamar tidur boleh dikatakan sebagai penawar jiwa dan raga kerana inilah satu-satunya ruang privasi pemilik rumah beristirehat selain ruang untuk menukar pakaian dan tempat menghias diri. Selain itu, ia juga diguna untuk berbincang secara privasi dan membaca.

Kamar tidur adalah ruang untuk memulakan hari kita, jika hendak memulakan hari yang ceria maka kamar tidur mestilah kita ceriakan dulu. Apa yang perlu dilakukan adalah dengan merancang kamar tidur dengan baik dari segi kedudukan, susun atur, pemilihan bahan, skima warna dan aksesori dalamannya.

Jika kita lakukan dengan baik kita akan berasa lebih lega dan nyaman di dalamnya dan ini tentu sekali akan menceriakan ruang kamar tidur dan hari kita.

Lokasi kamar tidur utama

Bagi golongan muda yang masih kuat dan bertenaga, lokasi kamar tidur tidaklah menjadi isu utama dalam rumah yang mereka diami terutama jika rumah yang mereka miliki itu sebuah rumah teres dua tingkat sederhana.

Pihak pemaju sudah menentukan kamar tidur utama berada di tingkat atas kerana tingkat bawah hanya cukup untuk ruang tamu, ruang makan, dapur dan bilik utiliti. Bagi pemilik yang sudah berusia lokasi kamar tidur utama ini adalah perkara pokok yang harus diambil kira.

Rata-rata mereka mahukan kamar tidur berada di tingkat bawah kerana mudah untuk keluar masuk tanpa terpaksa memanjat tangga yang tinggi apabila tua atau sakit.

Lebih baik lagi jika kamar tidur berhampiran dapur kerana mudah untuk mengambil minuman apabila dahaga. Maklum sajalah apabila sudah pencen, anak pun sudah dewasa dan kebanyakan mereka tidak tinggal bersama lagi kerana inginkan kebebasan atau sudah berumahtangga.

Jadi, semuanya kena buat sendiri. Sememangnya bilik air juga haruslah bercantum dengan kamar tidur ini untuk kemudahan ke tandas. Alangkah indahnya jika kamar juga mempunyai tingkap atau pintu berkaca yang menghadap sebuah taman hijau kecil untuk menyejukkan suasana dan menyamankan pengaliran udara.

Ini akan membantu mengurangkan tekanan jiwa mereka yang terpaksa duduk di dalam kamar tidur untuk jangka masa lama kerana sakit. Bunyi desiran air mengalir juga akan membantu sebagai terapi jika diintegrasikan ke dalam taman berkenaan.

Aksesori kamar tidur utama

Apabila kita sakit dan tidak dapat keluar dari kamar tidur, kita pasti akan berasa bosan dan ini boleh menyebabkan tekanan jiwa yang tinggi dan melambatkan proses pemulihan.

Selain mempunyai pemandangan luar yang redup dan nyaman, kita juga memerlukan kelengkapan lain seperti TV. Jika barangan ini menjadi keperluan, eloklah disediakan perabot yang sesuai untuk aksesori sama ada pasang siap atau ditempah dan tentu sekali ia ditempatkan bertentangan kaki katil supaya kita boleh berehat sambil menonton rancangan kegemaran.

Biasanya, di bahagian kiri dan kanan katil, kita akan meletakkan meja sisi yang dihiasi lampu meja di atasnya untuk membaca sebelum tidur. Meja sisi ini haruslah cukup lebar bukan hanya untuk menempatkan lampu, tetapi alat lain seperti telefon bilik, alat kawalan jauh dan paling penting ialah makanan dan minuman ketika sakit.

Ramai sering lupa apabila sakit, kita sudah tidak larat lagi untuk bangun ke dapur. Semua keperluan harus berada berhampiran kita, maka perabot yang kita pilih juga haruslah menyediakan ruang mencukupi untuk keperluan itu.

Bagi makcik dan pakcik yang sudah biasa dengan tandas cangkung pula haruslah mencuba menggunakan tandas duduk. Hasil soal selidik yang dijalankan secara tidak formal, golongan tua lebih suka menggunakan tandas duduk kerana tidak meletihkan otot badan ketika ke tandas.

Mungkin pada peringkat permulaan berasa agak kekok, tetapi percayalah kalau kita sudah tua dan uzur, tandas duduk lebih kurang membebankan. Jadi, apabila kita merancang untuk memilih aksesori tertentu, kita haruslah memikirkan keadaan yang esktrim sekali iaitu aksesori penyeri tingkap.

Sebaiknya, kita haruslah menggunakan langsir dua lapis dengan satu lapisan yang jarang dan satu lapisan lagi tidak telus cahaya. Ini kerana ada masanya apabila kita sakit, cahaya matahari menjadi masalah utama apabila terlalu terang dan silau.

Jadi, kita haruslah menyediakan aksesori tingkap yang dapat menapis cahaya matahari ini dan pada waktu yang lain memberi kita peluang menikmati pemandangan di luar dengan keadaan lebih terkawal.

Pengaliran udara semula jadi

Apabila kita sakit atau tua, udara semula jadi yang nyaman adalah paling baik untuk tubuh kita. Udara dari pendingin hawa adalah udara yang dikitar semula berulang kali dan tidak begitu menyihatkan walaupun menyamankan kerana suhu rendah.

Paling ideal untuk tubuh kita adalah yang mengalir bebas dengan rongga ventilasi yang membolehkan udara masuk dan keluar dengan sendirinya tanpa menggunakan kaedah mekanikal atau elektrikal.

Ini memerlukan sentuhan seorang arkitek yang bijak dalam soal reka bentuk efektif dan jarang sekali kita temui keadaan ini kerana mereka lebih mementingkan estetik daripada fungsi.

Maka, tugas juru reka dalaman adalah untuk memulihkan keadaan ini supaya penghuni rumah berkenaan dapat menikmati pengudaraan yang efektif tanpa pendingin hawa. Namun, pemilik rumah juga harus sedar akan kepentingan ini kerana ramai juga pemilik rumah hanya mencari jalan mudah dengan memasang pendingin hawa.

Bagaimanapun, tidak salah untuk memasang alat itu kerana kita mempunyai alternatif sama ada hendak dihidupkan atau dimatikan pada waktu tertentu.

Kamar terancang penghuni riang

Persekitaran kita haruslah mampu membantu dari segi mental, fizikal dan spiritual. Kerana itu ia harus dirancang dan direka dengan mengambil kira aspek rasional dan bukan mengikut kehendak trend atau emosi semata-mata.

Skema warna bagi kamar tidur haruslah dipilih dengan bijak kerana kita harus memikirkan juga keadaan tertentu yang kritikal seperti hari tua atau sakit. Jika sesuatu warna itu lebih menimbulkan tekanan emosi dan mental dari sudut kesihatan, mengapa harus kita ikut orang lain semata-mata kerana tren atau fesyen. Ingatlah – ini rumah, bukan ruang komersial.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: