Sehening Kalbu

Kelana Berlandaskan Hati, Percaya Mengikat Diri…

Calon isteri – Kecantikan bukan segalanya

Posted by anakkawi on January 11, 2008

SUKA kepada sesuatu yang cantik dan indah sememangnya menjadi sifat semula jadi manusia, malah bukan perkara menghairankan jika keadaan fizikal dan rupa paras seseorang wanita itu lebih menjadi tarikan utama kepada kaum lelaki dalam mencari pasangan hidup.

Jadi tidak hairanlah jika baru-baru ini timbul isu berhubung trend lelaki Malaysia yang semakin ramai memilih wanita Indonesia sebagai isteri kerana dikatakan rupa paras wanita di sana lebih menawan, cantik dan menggoda.

Trend tersebut seharusnya tidak harus menjadi penanda aras kepada kaum lelaki khususnya di negara ini dalam memilih calon isteri kerana sebuah rumah tangga dibina bukan bertiangkan kecantikan semata-mata, sebaliknya banyak aspek lain yang lebih penting dan menonjol untuk dijadikan sebagai inti kebahagiaan.

Ini persetujui sendiri oleh Mufti Negeri Perak, Datuk Harunsani Zakaria, yang menyifatkan kelemahan lelaki sememangnya mudah tunduk kepada sifat lemah lembut, gaya manja dan menawan kaum Hawa.

Memilih

Bagaimana pun kata beliau, cantik sahaja tidak mencukupi untuk seseorang itu melayari kemanisan berumah tangga dalam keadaan yang benar-benar diredai Allah Taala.

“Cantik tidak menjamin apa-apa kerana ia hanya bersifat sementara. Jika kaum lelaki meletakkan ciri tersebut sebagai perkara utama dalam memilih pasangan hidup sudah tentu pada akhirnya mereka akan diperbodohkan oleh pasangan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Pensyarah Politik dan Polisi Awam Universiti Utara Malaysia(UUM), Profesor Dr. Ahmad Atory Hussain, yang baru-baru ini menyatakan rupa paras menawan dan menggoda dikatakan punca wanita Indonesia menjadi pilihan lelaki Malaysia.

Bagi Harunsani, memilih wanita Indonesia atau tempatan sebagai pasangan hidup bukan merupakan isu besar, lebih penting bagi kaum lelaki adalah mencari calon isteri seperti yang disarankan dalam Islam.

“Islam sendiri menggariskan empat perkara yang perlu diambil kira ketika mencari calon isteri, iaitu, cantik, keturunan, harta dan agama. Jika memilih hanya mana-mana satu daripadanya sudah tentu rumah tangga tidak mencapai kebahagiaan dan kesempurnaan seperti yang diharapkan,’’ ujarnya.

Menyentuh mengenai isu yang dibangkitkan, Harunsani berpendapat, setiap orang dikurniakan cita rasa dan keinginan berbeza.

Nilai perseorangan atau dalam bahasa Arabnya, nisbi seseorang terhadap seseorang yang lain adalah berbeza-beza termasuk ketika membuat penilaian tentang cantik.

“Mungkin lelaki A menganggap wanita kurus lebih cantik dan seksi, berbeza pula lelaki B lebih melihat wanita bertubuh gempal itu lebih menawan,” ujarnya.

Menerangkan lebih lanjut mengenai keempat-empat ciri yang perlu ada pada diri calon isteri, Harunsani memberitahu sememangnya sesetengah orang menganggap untuk menemui seorang wanita yang mempunyai keempat-empat ciri tersebut adalah mustahil, tetapi jika berusaha ia boleh menjadi kenyataan.

“Memang tidak dinafikan bahawa cantik juga penting sebagai penenang kepada si suami, begitu juga keturunan kerana wanita yang baik dan patuh sudah tentu berupaya membina suasana rumah tangga yang diredai.

“Ini kerana merekalah yang bertanggungjawab melahirkan zuriat yang soleh dan solehah.

“Begitu jugalah jika memilih wanita berharta sekurang-kurangnya dapat meringankan beban si suami. Tetapi jika seseorang itu memilih wanita itu kerana agamanya, sudah tentu kehidupan lebih selamat dan menyempurnakan lagi kehidupan mereka sekeluarga,’’ ujarnya.

Sementara itu, Pensyarah Jabatan Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), Dr. Mariani Md. Nor berpendapat, cantik adalah perkara yang subjektif yang mana setiap orang mempunyai pandangan mereka tersendiri dalam menafsir kecantikan.

Sebagai contoh, lelaki A mungkin menyatakan wanita yang langsing, cerah dan menawan itu adalah cantik tetapi tidak bagi lelaki B, yang mungkin menganggap cantik itu lahir dari hati yang bersih maka akan menzahirkan ciri-ciri kecantikan pada diri wanita itu.

Justeru katanya, pendapat yang menyatakan wanita tempatan tidak cantik, menawan dan tidak pandai menggoda, berbanding wanita Indonesia menyebabkan ramai memilih wanita dari negara jiran itu sebagai calon isteri, hanya pandangan peribadi dan bukan mewakili pendapat keseluruhan lelaki di negara ini.

“Kebanyakan lelaki memang menyukai wanita yang cantik, tetapi setiap lelaki itu mempunyai pandangan yang berbeza tentang pengertian cantik itu sendiri,” ujarnya yang juga seorang penceramah bebas.

Baginya, jika wanita luar dikatakan mempunyai kelebihan dari segi kecantikan, apa kurangnya bagi wanita tempatan bahkan mereka mempunyai banyak lagi sifat-sifat terpuji untuk dijadikan calon isteri termasuk bijak, lebih berdikari dan menghormati orang tua.

“Sejak kecil lagi, ibu bapa telah menerapkan ciri-ciri ketimuran dalam diri anak-anak mereka.

“Anak-anak ini dididik dan diasuh supaya apabila mereka berkahwin nanti, mereka boleh menjadi suri rumah tangga yang pandai memasak dan menguruskan hal ehwal rumah tangga,‘’ katanya.

Menurut Dr. Mariani, selain cantik dan menawan, saya percaya lelaki juga sukakan wanita yang bijak membawa diri, tidak terlalu bergantung pada orang lain, tidak suka merajuk dan tahu menghormati orang tua.

Beliau juga berpendapat, tidak semua perkahwinan dengan wanita luar berjalan lancar, bahkan mungkin lebih banyak halangan dan kesukarannya kerana faktor perbezaan budaya dan cara hidup.

“Di banding wanita luar seperti dari Indonesia, wanita kita juga tidak ada kurangnya. Mereka juga pandai mencantikkan diri dan menawan, tetapi lebih penting apa yang mereka lakukan untuk kepuasan diri dan bukan bertujuan untuk menggoda sesiapa,” katanya.

Begitupun, memang lumrah manusia cenderung lebih suka melihat yang jauh daripada yang ada di depan mata, kalau tidak masakan muncul peribahasa-peribahasa seperti ‘kuman di seberang laut nampak, tapi gajah di depan mata tak nampak’ atau ‘kera di hutan disusukan anak di rumah mati kelaparan.’

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: