Sehening Kalbu

Kelana Berlandaskan Hati, Percaya Mengikat Diri…

Harapan baru lindungi mata pesakit diabetes

Posted by anakkawi on January 11, 2008

LAKUKAN ujian mata secara berkala bagi mengesan kerosakan awal mata akibat penyakit kencing manis.



PENYAKIT diabetes, keadaan di mana kandungan gula di dalam darah lebih tinggi daripada normal kini menjadi antara penyakit paling menular di negara ini dan seluruh dunia.

Namun, keupayaan diabetes membawa bersamanya pelbagai penyakit lain menjadikannya lebih berbahaya dan membimbangkan.

Kandungan glukos yang tinggi di dalam darah bukan sahaja boleh menyebabkan kerosakan kepada salur darah malahan pelbagai komplikasi lain seperti kerosakan buah pinggang, sakit jantung, darah tinggi dan penyakit mata seperti katarak dan glaukoma.

Selain itu, penyakit mata yang dikenali sebagai retinopati akibat diabetes juga amat membimbangkan dengan kadar 80 peratus kes buta di kalangan pesakit diabetes berpunca daripada penyakit ini.

Retinopati menyebabkan kerosakan kepada lapisan retina di bahagian belakang bebola mata akibat salur darah yang tersumbat, bocor atau bertambah terlalu banyak.

Perubahan kepada salur darah retina dan lapisan saraf di bahagian belakang mata yang peka cahaya menyebabkan aliran darah yang terhad ke mata dan menghalang cahaya daripada sampai ke retina.

Jika tidak dirawat dengan segera, pesakit mungkin akan mengalami penglihatan yang kabur atau menjadi buta.

Terdapat empat peringkat retinopati diabetes:

1. Retinopati ringan dan tidak melarat – peringkat awal, berlaku kebengkakan salur darah retina.

2. Retinopati sederhana tetapi tidak melarat – keadaan penyakit yang telah berkembang, beberapa salur darah ke retina tersumbat.

3. Retinopati teruk tetapi tidak melarat – retinopati teruk di mana lebih banyak salur darah ke beberapa bahagian retina tersumbat menyebabkan retina memberi isyarat supaya badan membentuk salur darah baru ke bahagian yang tidak menerima aliran darah.

4. Retinopati melarat – peringkat lanjut yang menyebabkan penumbuhan salur darah baru hasil isyarat dari retina. Salur darah baru yang tumbuh di sepanjang retina dan gel gemaca mata ini bagaimanapun tidak normal dan rapuh.

Konteks Malaysia

Pengarah Kampus dan Profesor Perubatan dari Universiti Sains Malaysia, Kampus Kelantan, Dr. Mafauzy Mohamed yang terlibat secara aktif dalam penyelidikan mengenai penjagaan diabetes tempatan menjelaskan bahawa statistik untuk kes retinopati diabetes adalah amat memeranjatkan.

“Ia bertanggungjawab terhadap lebih 50 juta orang pesakit atau 25 peratus daripada 200 juta pesakit diabetes di seluruh dunia menjadi buta setakat ini.

“Seramai 25,000 orang pesakit diabetes lagi akan menjadi buta akibat retinopati setiap tahun,” katanya.

Dalam konteks negara Malaysia, dianggarkan terdapat 940,000 pesakit diabetes dewasa pada tahun 2000 dan pakar perubatan menganggarkan angka ini akan meningkat kepada 2.48 juta orang menjelang 2030.

Mengikut statistik yang dikemukakan Dr. Mafauzy, daripada salah satu kajian yang disempurnakan oleh beliau pada 2006 mengenai keberkesanan rawatan penyakit diabetes di hospital tempatan, 27.3 peratus daripada 1,099 pesakit di 19 pusat rawatan yang dikaji menghidap retinopati, sementara 19 peratus lagi menghidap masalah neuropati.

“Apabila seorang pesakit menghidap diabetes, pelbagai komplikasi akan muncul. Satu daripadanya ialah penyakit mata yang berkaitan dengan diabetes.

“Ini adalah komplikasi biasa dan jika tidak dirawat atau tidak dirawat dengan betul, akan membawa kepada kemerosotan penglihatan dan akhirnya pesakit akan menjadi buta,” ujarnya.

Dr. Mafauzy menerangkan bahawa pesakit boleh buta jika salur halus mata rosak akibat peningkatan paras glukosa dan kenaikan tekanan darah yang berpunca daripada diabetes.

Tambahnya, selepas lebih kurang 10 tahun menghidap penyakit tersebut, kebanyakan pesakit diabetes akan mengalami masalah penglihatan yang ketara.

Kini, retinopati menjadi punca utama pesakit diabetes menjadi buta, terutamanya di negara maju.

Menurut Dr. Mafauzy, sesuatu penemuan dan kejayaan cemerlang dalam bidang penyelidikan perubatan retinopati sememangnya satu berita yang amat menggembirakan bagi penghidap penyakit diabetes yang dianggarkan kini seramai satu juta orang di Malaysia.

“Proses pemusnahan akibat retinopati terhadap mata berlaku dalam lebih kurang 74 peratus pesakit yang menghidap diabetes selama 10 tahun atau lebih.

“Sering kali tidak terdapat simptom pada peringkat awal penyakit, mahupun rasa sakit. Bagaimanapun, pesakit diabetes tidak sepatutnya menunggu sehingga terdapat simptom untuk menjalankan pemeriksaan mata yang komprehensif sekurang-kurangnya sekali setahun,” katanya.

Menyentuh tentang jenis rawatan yang sedia ada, beliau menerangkan bahawa rawatan laser digunakan terutamanya jika seseorang itu mempunyai salur yang baru tumbuh (retinopati proliferatif), atau apa-apa jenis retinopati yang memberi kesan kepada makula.

Kesan terbakar daripada rawatan laser boleh menutup salur darah daripada tumbuh dengan lebih banyak.

Dr. Mafauzy menjelaskan rawatan laser selalunya berkesan untuk menghalang retinopati daripada menjadi lebih teruk dan menghalang kehilangan penglihatan atau menjadi buta.

Bagaimanapun, rawatan laser tidak dapat mengembalikan penglihatan yang sudah hilang.

Fenofibrat dan FIELD

Fenofibrat adalah sejenis ubat dari jenis agen mengurangkan paras lipid yang dikenali sebagai fibrat.

Fenofibrat juga merupakan satu-satunya ubat untuk mengatur paras lipid dan pertama seumpamanya yang terbukti mengurangkan komplikasi mikro-vaskular dan masalah kardiovaskular bagi pesakit diabetes jenis kedua.

Penggunaan ubat ini juga mengurangkan pergantungan terhadap rawatan laser untuk retinopati dan risiko retinopati berlaku atau melarat.

Ubat ini juga amat berkesan dalam mengawal kadar lipid pesakit dyslipidemia (profil lipid plasma tidak normal).

Ubat ini digunakan terutamanya dalam merendahkan paras kolesterol dalam pesakit yang mempunyai risiko penyakit kardiovaskular.

Seperti fibrat lain, fenofibrat mengurangkan kolesterol lipoprotein berketumpatan rendah (LDL), kolesterol lipoprotein berketumpatan sangat rendah (VLDL) dan trigliserid di samping meningkatkan kadar kolesterol lipoprotein berketumpatan tinggi (HDL).

Fenofibrat juga didapati mempunyai kesan baik terhadap rintangan insulin dalam sindrom metabolik.

Pesakit diabetes jenis kedua yang memandang berat tentang kehilangan penglihatan mereka kini mempunyai harapan baru dengan hasil subkajian Penggunaan Fenofibrat dan Kawalan Peristiwa dalam Diabetes (FIELD) yang diumumkan baru-baru ini kepada persatuan perubatan di Sydney pada 7 November 2007 yang turut diterbitkan dalam isu bulan November 2007 Jurnal Lancet.

Hasil dan kesan FIELD ke atas rawatan diabetes disampaikan oleh Profesor Madya Klinikal dari University of Sydney merangkap Ahli Majlis Persatuan Aterosklerosis Australia, Dr. David Richmond Sullivan yang berada di Malaysia bersempena dengan Persidangan Persatuan-persatuan Endokrin Bersekutu ASEAN (AFES) 2007 baru-baru ini.

Beliau mendedahkan bahawa subkajian itu menunjukkan penggunaan fenofibrat amat berkesan dan berjaya mengurangkan rawatan terapi laser untuk penyakit mata diabetes sehingga lebih daripada 30 peratus.

“Penggunaan fenofibrat juga menunjukkan pengurangan yang ketara dalam perkembangan penyakit mata di kalangan pesakit diabetes,” jelasnya.

Dr. Sullivan menerangkan bahawa pada masa ini, mereka yang menderita akibat penyakit mata diabetes terpaksa bergantung kepada rawatan laser dan hanya separuh daripadanya berkesan bagi mengelakkan medan penglihatan yang berkurangan dan lain-lain kesan buruk.

Hasil subkajian FIELD menawarkan pilihan rawatan baru yang penting untuk mengekalkan kesihatan mata dalam diabetes jenis 2.

Subkajian FIELD adalah satu kajian untuk menyiasat kesan perlindungan agen merendahkan lipid ke atas retinopati diabetes.

Kajian utama FIELD mula-mula dijalankan untuk tempoh lima tahun ke atas 9,795 pesakit diabetes jenis kedua yang berumur antara 50 hingga 75 tahun.

Subkajian itu kemudian dijalankan ke atas 1,012 pesakit lagi untuk menilai perkembangan retinopati diabetes dan simptom penyakit mata.

Tahap lipid tidak normal dalam pesakit diabetes adalah satu perkara biasa dan merupakan satu keadaan di mana jumlah trigliserid, LDL dan VLDL (kolesterol jahat) lebih tinggi sedangkan jumlah HDL (kolesterol baik) lebih rendah.

Disebabkan fenofibrat tergolong dalam kelas agen merendahkan lipid yang dipanggil fibrat, ia amat berkesan dalam pengurusan tahap lipid.

Dengan itu, ia membantu mengurangkan VLDL, LDL dan trigliserid dalam darah sementara pada masa yang sama meningkatkan kandungan HDL dalam darah.

Dalam pada itu, Dr. Mafauzy menjelaskan bahawa sejak bertahun-tahun lamanya fakulti perubatan seluruh dunia telah menjalankan dan menyokong penyelidikan untuk mengesan, merawat dan menghalang kehilangan penglihatan dalam pesakit yang menghidap diabetes.

Dengan keputusan terbaru mengenai fenofibrat, Dr. Mafauzy yakin hasil penyelidikan FIELD akan memberikan pengaruh yang besar dalam rawatan untuk retinopati diabetes dan merupakan langkah ke hadapan yang penting untuk berjuta-juta pesakit diabetes.

– Untuk maklumat lanjut mengenai FIELD dan fenofibrat, sila layari www. fieldstudy.info atau http://www.cholesterol.diabetes.org.my.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: