Sehening Kalbu

Kelana Berlandaskan Hati, Percaya Mengikat Diri…

Tekno Tani: Jambu epal kristal mampu beri hasil lumayan

Posted by anakkawi on January 11, 2008

Oleh Khairul Anuar Abdul Samad

Dari BH.

ADA pelbagai jenis jambu ditanam di negara ini dan kebanyakannya memerlukan penjagaan rapi bagi menghasilkan buah yang cantik serta sedap. Antara yang biasa ditanam ialah jambu madu Indonesia (loceng); jambu batu Bangkok (warna hijau), jambu bol, jambu mawar, jambu susu dan banyak jenis lain lagi.

Kebanyakan jambu ini biasanya ditanam secara kecil-kecilan seperti hiasan di halaman rumah atau diusahakan secara besar-besaran bagi memenuhi pasaran tempatan atau antarabangsa.

Kini ada sejenis jambu baru sedang diperkenalkan Jabatan Pertanian Kelantan iaitu jambu epal kristal (Crystal Wax Apple) yang tergolong dalam keluarga jambu air.
Penolong Pegawai Pertanian (Seksyen Perancangan dan Penilaian) Jabatan Pertanian Kelantan, Wan Najib Sabri Wan Ali, berkata spesies yang berasal dari Taiwan itu mudah dijaga dengan menggunakan pakej teknologi yang disediakan oleh jabatan itu.

Selain itu, katanya jambu air yang mempunyai potensi pasaran besar ini dikatakan berbuah dalam masa singkat selepas ditanam yang membolehkan petani memasarkannya lebih cepat.

“Jabatan sudah berjaya menemui teknologi baja baru yang membolehkan pokok cepat membesar dan subur menggunakan baja cecair dan debu,” katanya ketika ditemui di ladang jambu epal kristal, di Ketereh, Kelantan baru-baru ini.

Wan Najib Sabri berkata, dua baja berteknologi baru ini sudah dibuat kajian terhadap jambu spesies itu dan didapati buah yang dikeluarkan susah gugur berbanding jambu lain.

Selain itu katanya, pembesaran buah juga cepat untuk membolehkannya dipasarkan sebaik mencapai tahap matang di samping mengeluarkan warna pada buah lebih menarik.

“Penggunaan baja baru itu bagi membolehkan pokok jambu yang disembur dengan cecair berkenaan menghasilkan buah dengan cepat dan memenuhi keperluan pengusahanya.

“Melalui kajian kami, buah jambu itu lebih rangup dan sedap selain membesar dua kali ganda berbanding jambu air biasa,” katanya.

Beliau berkata, melalui penggunaan teknologi baru yang diperkenalkan jabatan, anak benih jambu itu yang berusia antara tiga hingga empat bulan sudah boleh dipindah ke ladang untuk ditanam.

“Anak benih sudah boleh ditanam dan ia tidak memerlukan pemerhatian rapi pada tahun pertama di ladang berbanding dengan jenis lain,” katanya.

Beliau berkata, kadar tumbesaran pokok dapat dikawal dengan mengekalkan ketinggiannya 2.1 hingga 2.4 meter melalui kaedah pemangkasan membentuk ketika pokok itu berusia 10 hingga 11 bulan.

“Melalui kaedah ini, pokok jambu berkenaan akan menjadi rimbun dengan saiz daun yang besar dan kelihatan cantik seperti tanaman landskap,” katanya.

Beliau berkata, jambu epal kristal ini lazimnya mengeluarkan bunga banyak sehingga 20 biji setiap tangkai dan kerja penjagaan perlu dilakukan dengan mengekalkan hanya antara lima dan enam biji saja sebelum dibungkus.

Katanya, pembungkusan perlu dilakukan dengan mengguna plastik cerah dan nipis bagi mengatasi masalah dahan patah disebabkan berat buah.

“Penggunaan plastik nipis dan cerah ini penting kerana penanam dapat melihat kadar kematangan buah sebelum dipetik selain plastik nipis mengatasi masalah berat. Selain itu, penggunaan plastik cerah ini juga dapat mengelak serangan serangga ke atas buah,” katanya.

Wan Najib Sabri berkata, bentuk buah jambu ini bulat seperti buah epal dan mempunyai jalur kristal dengan warna hijau kemerahan dan saiz buah dengan purata berat 150 gram hingga 300 gram.

Katanya, dalam setangkai yang mempunyai antara lima hingga enam biji buah, ia mampu mencapai berat sekilogram dengan harga pasaran RM15 sekilogram.

“Buah jambu ini mempunyai rasa yang manis, rangup dan tidak berair dan sesuai dengan cita rasa pengguna masa kini terutama di rantau ini. Dari sudut kesihatan, jambu epal kristal ini mengandungi nilai zat pemakanan yang tinggi antaranya vitamin B, C, protin, kabohidrat, serat dan banyak lagi,” katanya.

2 Responses to “Tekno Tani: Jambu epal kristal mampu beri hasil lumayan”

  1. Lam Lai Phing said

    Dear Sir,
    I am from Taiping, Perak. Where can I get a small kristal jambu plant for my garden?
    How much will it cost?

    Thank you

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: