Sehening Kalbu

Kelana Berlandaskan Hati, Percaya Mengikat Diri…

Zakat tangani kemiskinan

Posted by anakkawi on January 11, 2008

DALAM fenomena ‘serba naik’, kalangan rakyat khususnya yang tinggal di bandar dengan jumlah pendapatan bulanan isi rumah di bawah RM2,000 paling berasa kesannya. Ini kerana, kos sara hidup purata pendapatan perindividu (pendapatan:tanggungan) adalah tinggi di bandar besar.

Seorang suami bergaji RM1,500 dengan tanggungan tiga anak dan seorang isteri mungkin cukup ‘mewah’ bagi daerah Lenggong di Perak misalnya, namun amat ‘cemas’ bagi seorang pegawai kerajaan yang berkhidmat di Ampang, Selangor misalnya. Segala ketidaktentuan ini boleh menjadi bumbu yang menyumbang kepada gejala kemiskinan seandainya kita gagal menyekatnya sedari awal.

Islam sebagai agama sejahtera mempunyai pakej penyelesaian yang komprehensif. Memang tidak dapat disangkal, antara punca berlakunya ketidakseimbangan ekonomi hingga membentuk jurang kaya-miskin yang terlalu luas, adalah dek kerana gagalnya umat Islam melaksanakan sistem ekonomi Islam secara total.

Namun, dalam proses ke arah ‘sistem ekonomi mengikut Islam’, kita tidak wajar berpeluk tubuh. Sekadar menjadi pemerhati pasti gagal menatijahkan apa-apa dan ia adalah tabiat yang ditegah dalam Islam.

Untuk menangani gejala kenaikan harga hingga menjebakkan kaum fakir miskin ke kancah ‘kemelut hutang’ yang sadis, maka di sinilah peranan zakat dapat diaktifkan. Zakat adalah instrumen khusus yang diwahyukan Allah s.w.t sebagai senjata serampang dua mata. Zakat mengambil peranan menjadi tempat penyaluran dana bagi si kaya membersihkan diri dan zakat pada masa yang sama menjadi sumber dana bagi pembangunan umat. Inilah cantiknya syariat zakat di dalam Islam.

Zakat dapat didefinisikan dalam bahasa mudah adalah badan kebajikan kepada umat Islam. Zakat yang dijana dengan baik dan menepati falsafah syariat, dapat berperanan untuk menstabilkan ekonomi umat Islam. Konsep zakat dalam menstabilkan ekonomi hendaklah dilihat dalam konteks yang luas, tidak hanya terbatas sekadar mengutip dan mengagihkan wang zakat dalam konteks yang konservatif.

Hakikatnya zakat dapat digembleng sebagai instrumen memperkasakan ekonomi umat Islam. Sifirnya mudah, seandainya umat Islam dapat mendominasi ekonomi negara, maka kawalan atau keseimbangan terhadap penawaran dan permintaan yang memungkinkan ketidakstabilan harga barangan atau perkhidmatan dapat dikawal.

Umat Islam sendirilah yang mengawalnya dan tidak membiarkan para peniaga yang mengamalkan sistem kapitalis tajaan Barat daripada memonopolinya. Bagaimanakah zakat berfungsi di sini?

Seandainya kita melihat kepada skop agihan zakat secara makro, maka Allah s.w.t telah menggariskan lapan kumpulan manusia yang layak menerima wang zakat. Kumpulan manusia atau asnaf itu ialah fakir, miskin, mualaf, amil, gharim, riqab, fisabilillah dan ibnu sabil. Namun perspektif secara mikro membolehkan kita menerokai ruang baru dalam penjanaan wang zakat. Inilah yang diistilahkan membuka ruang baru atau ijtihad. Bukankah ruang ijtihad sentiasa terbuka. Andaikan tiada seorang pun yang mampu memberikan ijtihad kini, namun umat Islam masih mempunyai kesepakatan ulama’ yang boleh menghasilkan kesepakatan pendapat sama ada dalam bentuk fatwa atau konsensus yang jumhur sifatnya.

Saya melihat, wang zakat sepatutnya dapat digunakan bagi menangani simptom kemiskinan dalam bentuk pencegahan. Hal ini sesuai dengan kaedah Islam yang lebih mengutamakan pencegahan daripada perawatan.

Hari ini, majoriti pengamalan zakat ialah memberikan bantuan kepada fakir dan miskin yang telah pun terjebak ke dalam kancah kemiskinan. Ia bermula dengan mengenal pasti tahap kemiskinan dan diikuti dengan pelbagai mekanisme demi membina kembali kehidupan mereka.

Sungguhpun membina kembali kehidupan fakir miskin adalah pekerjaan mulia, namun membiarkan mereka terjebak dahulu kemudian baru dipulihkan adalah satu perkara yang tidak begitu tepat. Sepatutnya, umat Islam perlu dielakkan daripada jatuh miskin terlebih dahulu. Kisah Rasulullah s.a.w memberikan kapak dan seutas tali kepada seorang peminta sedekah mungkin patut dijadikan model dalam mengiktiraf pendapat ini.

Hakikatnya, wang zakat dapat dimanfaatkan di sini dengan mengutamakan kualiti kehidupan yang menyeluruh di kalangan umat Islam. Salah satu kaedah meningkatkan kualiti menyeluruh umat Islam ialah menerusi dominasi perniagaan.

Bukankah sejarah juga pernah menunjukkan, semasa hijrah umat Islam ke Madinah, maka Abdul Rahman Auf telah meminta ditunjukkan pasar dan kehadiran umat Islam di pasar Yathrib akhirnya telah membantutkan perniagaan Yahudi yang bersifat cekik darah dek pengamalan riba. Roh perniagaan inilah yang perlu dihidupkan kembali.

Menerusi pengagihan wang zakat khususnya dalam penjanaan modal, maka umat Islam perlu diberikan prasarana lengkap agar menjadi peniaga yang jujur dan tinggi kompetensinya. Setiap lapangan perniagaan menyaksikan ada umat Islam yang mengambil bahagian, sama ada perkhidmatan, pertanian, makanan, pengangkutan hatta pembinaan. Umat Islam juga mesti terlibat sebagai pembekal atau pengedar, ayam dan sayur-sayuran misalnya. Apabila umat Islam aktif dalam bidang pengedaran dan pemasaran, maka wujudlah rangkaian yang bersifat A – Z, iaitu rangkaian pembekal, pengedar, penyedia dan pengguna yang kukuh. Maka umat Islam tidak lagi khuatir andai ada pihak-pihak yang tidak bertanggung jawab cuba memanipulasikan harga barangan, khususnya menjelang musim-musim perayaan saban tahun.

Saya yakin, seandainya wang zakat dapat dijana dengan baik melalui kaedah membiayai perniagaan umat Islam maka nasib umat Islam lebih terjamin. Hari ini, hanya sektor perbankan dan agensi kerajaan tertentu sahaja yang memberikan bantuan kepada mereka yang berminat untuk menjalankan perniagaan. Tidak dinafikan, ada sesetengah institusi zakat yang turut menyediakan pakej modal perniagaan kepada umat Islam, namun ia bersifat terhad kepada segelintir penerima sahaja, iaitu golongan fakir, miskin dan mualaf. Bagaimana pula dengan umat Islam lain, yang belum jatuh ke tahap miskin tetapi kehidupannya betul-betul di sempadan garis kemiskinan. Mereka mungkin mempunyai minat untuk berniaga demi mengelakkan diri daripada garis kemiskinan itu, tetapi sukar memperoleh bantuan modal sama ada daripada pihak bank, agensi kerajaan terbabit termasuklah juga dari institusi zakat kerana masih tidak ‘layak’ (belum diiktiraf kemiskinannya).

Zakat memang dapat berperanan secara aktif seandainya ia diaktifkan secara optimum. Sekiranya pengagihan wang zakat dapat dijana dengan baik, maka ia sudah memadai menjadi pemangkin yang mampu memacu kutipan zakat selaju yang mungkin.

* PENULIS ialah Pegawai Perhubungan Awam di Lembaga Zakat Selangor (MAIS).

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: