Sehening Kalbu

Kelana Berlandaskan Hati, Percaya Mengikat Diri…

Persediaan sebelum bersara

Posted by anakkawi on March 18, 2008

Persaraan tanpa melengkapkan diri dengan persediaan yang sewajarnya boleh merumitkan kehidupan, lantas membuatkan ada segelintir yang terpaksa bergantung harap kepada anak-anak.


SEJAUH manakah simpanan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencukupi untuk menampung hidup di hari tua? – Gambar hiasan



SIAPA yang tidak menanti dan menyambut dengan penuh keterujaan saat-saat untuk bersara?

Inilah masa yang dinanti-nantikan. Apa jua hobi atau keinginan melakukan sesuatu kini boleh dilakukan yang sebelum ini terpaksa dipendam dan ditunda dek kekangan masa dan kesibukan tugas.

Dalam pada itu, mungkin ramai juga di antara kita yang tidak terfikir untuk merancang persaraan kerana mereka beranggapan simpanan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencukupi untuk menampung hidup di hari tua.

Malangnya, ia tidak sedemikian. Persaraan yang dilalui tanpa persediaan yang sewajarnya boleh merumitkan kehidupan, lantas membuatkan ada segelintir yang terpaksa bergantung harap kepada anak-anak.

Bagi memastikan anda tidak ditimpa nasib yang sama, Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA) menawarkan beberapa saranan seperti yang digariskan dalam buku panduannya mengenai kewangan individu.

ACCA menyifatkan amat penting bagi kita merancang persaraan seandainya kita mahu hidup selesa dan teguh kewangan pada tahun-tahun keemasan.

Perancangan persaraan melibatkan beberapa langkah mudah yang boleh anda lakukan sendiri. Ini termasuklah menentukan berapa banyak yang anda perlukan sewaktu persaraan, berapa banyak yang anda miliki sekarang dan apa yang boleh anda lakukan untuk membetulkan keadaan.

Berapa banyak wang yang diperlukan?

Jawapan ini memerlukan pemikiran dan perancangan yang bersungguh-sungguh memandangkan jumlah wang yang anda perlukan semasa persaraan mempunyai hubung kait dengan gaya hidup yang anda inginkan.

Misalnya, andaikata anda merancang untuk berpindah ke sebuah rumah yang lebih kecil di sebuah kawasan pinggir bandar, justeru kos hidup mungkin lebih rendah berbanding tinggal di sebuah rumah besar di kawasan bandar.

Sebaliknya, anda mungkin memerlukan wang lebih jika merancang untuk memulakan satu hobi yang mahal atau ingin melancong mengelilingi dunia.

Sebelum memenuhi impiam itu, anda harus lihat perbelanjaan semasa dan menganggarkan bagaimana ia mungkin berubah semasa persaraan.

Umpamanya, anda boleh mengurangkan kos pengangkutan dan perbelanjaan hiburan tetapi anda mungkin perlu meningkatkan perbelanjaan perubatan kerana kemungkinan anda jatuh sakit meningkat seiring peningkatan usia.

Secara alternatif, anda boleh membuat andaian bahawa anda hanya memerlukan 70 peratus hingga 80 peratus daripada perbelanjaan semasa sewaktu persaraan.

Misalannya, katakan gaji terakhir anda ialah RM66,000 setahun. Anda hanya memerlukan kira-kira RM52,800 daripada pendapatan tahunan setelah bersara (80 peratus x RM66,000).

Berapa lama anda perlukan wang itu

Jawapannya ada kaitan langsung dengan jangkaan hayat anda.

Perangkaan bulan Disember 2007 Jabatan Perangkaan mencatatkan purata jangka hayat bagi lelaki ialah 72 tahun dan 76 tahun bagi wanita. Bagaimanapun, jika sekarang anda menikmati kualiti hidup yang tinggi dan kesihatan yang bagus, anda boleh lanjut usia sehingga 80 tahun.

Jadi, jika anda bersara pada usia 56 tahun, anda memerlukan sekurang-kurangnya 24 tahun pendapatan persaraan.

Faktor inflasi

Ancaman paling besar dalam memenuhi keperluan kewangan semasa persaraan adalah inflasi. Inflasi ialah peningkatan kos hidup yang diterjemahkan sebagai peratus kenaikan harga berbanding tahun sebelumnya.

Anda mungkin tidak memberi tumpuan terhadap inflasi ketika anda bekerja kerana pendapatan anda cenderung meningkat seiring dengannya.

Bagaimanapun, apabila anda berhenti bekerja, pendapatan anda lebih kurang tetap dan ini membuatkan inflasi muncul sebagai masalah besar.

Seperti contoh terdahulu, anda perlu mempunyai pendapatan tahunan sebanyak RM52,800 setelah bersara. Bagaimanapun, ekoran inflasi, jumlah itu perlu dinaikkan bagi membolehkan anda mengekalkan gaya hidup anda. Oleh itu, pendapatan persaraan sebanyak RM52,800, katakan lima peratus daripada purata kadar inflasi untuk 25 tahun akan menjadi:

Pendapatan persaraan

= RM52,800 x faktor nilai faedah

masa depan (25 tahun, 5 peratus)

= RM52,800 x 3.386

= RM178,781.

Jumlah dana yang diperlukan

Kini anda tahu bahawa inflasi boleh menjejaskan pendapatan semasa persaraan, langkah seterusnya ialah untuk mengetahui jumlah dana yang boleh bertahan sehingga 24 tahun.

Andaikan bahawa purata kadar pulangan ke atas pelaburan untuk 25 tahun akan datang ialah lapan peratus. Memandangkan kadar inflasi ialah lima peratus, maka kadar sebenar pulangan ke atas pelaburan ialah tiga peratus.

Jumlah dana yang diperlukan ialah:

= RM178,781 x Faktor anuiti nilai

faedah masakini (25 tahun, 3

peratus)

= RM178,781 x 17,413

= RM3,113,114.

Jumlah aset yang anda ada

Mencari jawapan ini agak rumit kerana anda perlu tahu nilai setiap pelaburan masa depan, termasuk KWSP, nilai tunai insurans, pelaburan dalam syarikat yang melabur dan membayar dividen dan hartanah.

Bagi memudahkan pengiraan, katakan anda telah mengumpulkan sejumlah RM1 juta tatkala bersara.

Dengan hanya RM1 juta dalam tangan, ia tidak mencukupi bagi jumlah dana yang diperlukan yakni RM3,113,114. Anda kekurangan RM2,113,114.

Bagaimana untuk menambah kekurangan itu?

Cara terbaik untuk mengatasinya ialah menabung secukup wang setiap tahun. Persoalannya, berapa banyak simpanan yang mencukupi untuk memenuhi kekurangan itu.

Jumlah simpanan

= RM2,113,114/ Faktor anuiti nilai

faedah masa depan (25 tahun, 8

peratus)

= RM2,113,114 /73.106

= RM28,905

Berdasarkan butiran ini, jumlah simpanan yang anda perlukan ialah RM28,905 setahun atau RM2,409 sebulan.

Langkah seterusnya

Bagi rancangan persaraan, anda dinasihatkan memilih pelaburan jangka panjang seperti saham, bon dan mutual funds memandangkan pelaburan jenis ini menghasilkan pulangan yang tinggi berbanding bentuk pelaburan lain umpamanya faedah daripada akaun simpanan atau deposit tetap.

Melabur dalam saham memberikan anda status pemilik dalam sesebuah syarikat yang anda melabur. Jika syarikat itu berjaya, anda seharusnya boleh menjana wang dengan menjual balik saham-saham itu.

JUMLAH wang yang anda perlukan semasa persaraan mempunyai hubung kait dengan gaya hidup yang anda inginkan.



Anda juga mungkin boleh meraih keuntungan daripada dividen yang dikeluarkan oleh syarikat itu secara tetap.

Bon pula sebenarnya adalah pinjaman kepada perniagaan dan kerajaan yang dipegang untuk sesuatu masa. Lazimnya ia lebih selamat untuk melabur dalam bon dan sesetengahnya disokong oleh kerajaan.

Mutual funds adalah wang yang ditabung bersama oleh pelabur. Wang itu kemudiannya dilaburkan dalam beberapa syarikat, yang dengan demikian ia dapat meminimumkan risiko.

Melalui kepelbagaian ini, kerugian sesebuah syarikat boleh diserap oleh keuntungan syarikat lain.

Nyata sekali, anda perlu memikirkan satu perancangan kewangan yang lengkap untuk persaraan anda dengan mengambil kira aset, hutang, perbelanjaan, tabungan, matlamat kewangan anda.

Seandainya anda buntu untuk melakukannya, usah risau. Dapatkan bantuan perancang kewangan yang berkelayakan. Tetapi, jika anda memilih untuk melakukan sendiri, sebuah perisian kewangan yang ada di pasaran boleh membantu anda.

Dengan perisian itu, anda boleh melihat graf malah pelbagai saranan mengenai jenis pelaburan boleh anda pertimbangkan.

Malah lebih menarik, anda boleh mencuba butiran yang ada untuk mengetahui sejauh manakah kukuhnya kewangan anda berada dalam keadaan berbeza.

Pokok pangkalnya, lagi awal anda merancang persaraan anda, lagi cerah masa depan persaraan anda. – Bernama

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: