Sehening Kalbu

Kelana Berlandaskan Hati, Percaya Mengikat Diri…

Itu Adalah Perspektif

Posted by anakkawi on October 22, 2009

Aku membaca Sinar Harian. Online lagi. Terjumpa artikel ini. Kisah Beyonce yang heboh dikatakan ingin membuat konsert di Malaysia. Kawanku berkata, “Lebih baik menjadi MAt Bangla.”

Betis Beyonce dan betis artis kita
ABD JALIL ALI
abd.jalil@karangkraf.com.my

Terus terang saya tidak kenal Beyonce Knowles, malah tidak tahu pun dia seorang superstar di Amerika Syarikat. Faktor usia menyebabkan saya tertinggal jauh dalam arus muzik terkini, baik dalam mahupun luar negara. Maklumlah saya generasi Elvis Presley, Tom Jones, Barbara Streisand, Ahmad Jais, Jefrydeen, J Kamisah, Lilis Suryani, Bob Tutopoli.

Hanya sehari dua ini saya mengetahui bintang kulit hitam berambut perang itu. Bukan kerana menonton persembahannya, tetapi kerana konsert sulungnya di negara ini yang sepatutnya berlangsung di Stadium Bukit Jalil Sabtu ini dibatalkan. Tidak dapat dipastikan bila dia dapat beraksi di tempat kita.

Penganjur memberitahu media penangguhan konsert ‘I am…Sasha Fierce’ adalah atas kehendak artis itu sendiri, bukan sebab desakan mana-mana pihak. Kontroversi sudah bermula sebelum si rambut perang itu datang. Ada pihak, termasuk Pas, menentang penganjuran konsert tersebut. Alasan tidak membenarkan artis luar itu datang ialah bimbang Beyonce berpakaian tidak sopan, juga aksi yang menggiurkan ketika membuat persembahan pentas.

Memang kedengaran kolot, tetapi sebenarnya ada alasan Pas dan pihak-pihak lain menentang konsert berkenaan. Beberapa persembahan artis luar yang dilepaskan sebelum ini bukan sahaja menampakkan kelucahan, tetapi hingga ke tahap mengaibkan. Ambil konsert Inul sebagai contoh. Artis hangat dari Indonesia itu pernah memukau ribuan penonton ketika dia membuat persembahan di Kuala Lumpur, tidak lama dulu.

Terbeliak mata

Penonton (tentunya lelaki!) terbeliak mata, sesak nafas dan meleleh air liur, bukan kerana suara merdu Inul tetapi gara-gara si Ratu Dangdut itu menggoyang punggung dan perutnya di hadapan penonton ketika membuat persembahan. Punggung Inul betul-betul menggerudi perasaan penonton. Maka tidak menghairankan artis itu tidak lagi dibenarkan datang ke sini, walaupun ada permintaan. Biarlah dia menggerudi di negaranya sendiri!

Ada juga artis luar yang membuat onar. Contohnya, apabila Shah Rukh Khan dan rakan-rakan hebatnya dari Bollywood membuat persembahan khas di Pusat Hiburan Genting Highlands tidak lama dulu. Hero ‘Kuch Kuch Hota Hai’ itu menayangkan dadanya yang tampan, kemudian memberi hormat dengan memeluk, dan mencium isteri seorang pemimpin kita. Mungkin ciuman itu tanda hormat, tetapi ia tetap melampaui budaya kita, lebih-lebih lagi yang dicium itu adalah orang Islam. Tidak ada yang berani menegur hero filem Hindi itu. Tahu-tahu Shah Rukh Khan menerima anugerah ‘Datuk’!

Agaknya sebab bimbang yang lucah dan yang mengaibkan itu dibiarkan berleluasa di negara Islam ini, maka Pas dan puak-puak yang sefikiran dengannya menentang Beyonce datang ke sini. Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim tidak menghalang bintang dari negara Obama itu datang asalkan artis seksi itu mematuhi peraturan pakaian yang ditetapkan.

Persoalannya ialah apa tindakan yang akan diambil sekiranya artis berkenaan tidak mematuhi peraturan pakaian ketika naik semangat di pentas? Apakah Inul dan Datuk Shah Rukh Khan dulu tidak diberi peraturan berpakaian. Sekiranya peraturan dicemari apakah tindakan akan diambil ke atas artis dan pihak penganjur? Banyak peraturan kita telah dilanggar, tetapi tidak ada apa-apa tindakan. Peraturan itu akhirnya menjadi bahan lawak. Ini yang kita tidak mahu.

Artis kita juga seksi

Maka, saya menyokong tindakan mana-mana pihak yang memperlihatkan keprihatinan terhadap kesopanan artis luar. Artis luar yang tidak sopan tidak perlu diberi tempat di negara kita. Cuma, pada hemat saya, perhatian juga patut diberikan kepada artis-artis tempatan sendiri. Sebab, sepanjang yang berhubung dengan seksi dan kelucahan, rasanya artis-artis kita pun tidak kalah juga.

Kalau tidak percaya datanglah ke mana-mana konsert, kita boleh lihat bagaimana gaya ‘gedik-gedik’ sesetengah artis wanita kita. Kita juga boleh lihat betapa terdedahnya pakaian mereka semasa membuat persembahan, sesetengahnya lebih menggiurkan dari Inul dan Beyonce. Ada konsert seperti ini yang ditayangkan secara langsung menerusi TV. Ada ulama, termasuk para Mufti, menegur konsert yang tidak sopan itu. Tetapi siapa peduli?

Satu ketika dulu RTM mempunyai kod etika berpakaian terhadap artis-artis yang hendak muncul di kaca TV. Antara etika itu ialah tidak boleh berambut panjang bagi artis lelaki, dan tidak boleh pakaian mendedahkan bagi artis wanita. Perhatikan rancangan-rancangan hiburan RTM sekarang, sama hebatnya dengan stesen TV swasta. Ke mana perginya kod etika berpakaian itu?

Peraturan kesopanan dan pakaian ketika membuat persembahan jangan hanya diberatkan ke atas artis luar yang hendak datang ke sini. Artis kita sendiri pun kena dilatih untuk mempamerkan kesopanan setiap kali membuat persembahan, termasuk ketika muncul di konsert awam. Tidak guna kita menyuruh dan memaksa Beyonce menutup tubuhnya ketika beraksi di pentas, sedangkan artis kita terus dibiarkan membuka benda-benda yang patut ditutup.

Percayalah di mata, dan di jiwa kebanyakan lelaki, betis dan paha wanita sama sahaja kesan elektriknya, tidak kira artis luar atau artis kita. Jadi, kalau kita hendak bertegas, jangan ada double standard.

Leave a comment